Ulama Benteng

Ulama Benteng

Sabtu, 18 Julai 2020

Return Item dalam Pembelian Online : Perbandingan dengan Konsep Khiyar dalam Muamalat Islam

Gambar : hanya sekadar hiasan 

Catatan ini adalah sebahagian daripada pengajian kursus Fiqh Muamalat dan Jinayat, Sarjanamuda Pengajian Islam Syariah, UKM 


Pada zaman kini dengan kemajuan teknologi maklumat, budaya dan kebiasaan jual beli secara dalam talian menjadi semakin meluas dan popular. Sesetengah penjual dalam talian memberikan peluang pemulangan semula barangan dalam tempoh tertentu, bahkan ada yang membenarkan pemulangan kerana perubahan fikiran meskipun barangan tiada kecacatan. Antara contoh polisi yang dibuat penjual ialah : “free return for all products to ensure you are happy with your purchase”, “easy returns for products”, dan “don’t want item or it doesn’t suit me – return reason applicable”. Polisi tersebut akan dianalisis berdasarkan perspektif muamalat Islam dan akan dikemukakan cadangan penambahbaikan.

Polisi ini dapat dinilai berdasarkan konsep khiyar (membuat pilihan dalam jual beli) dalam muamalat Islam.

Sebagaimana dinukilkan oleh Majdy Amiruddin dalam Falah : Jurnal Ekonomi Syariah, Vol. 1, No. 1, 2016, dalam artikel berjudul Khiyār (hak untuk memilih) dalam Transaksi On-Line: Studi Komparasi antara Lazada, Zalora dan Blibli, khiyar atau pilihan adalah hak yang diberikan kepada pembeli dan penjual sama ada akan meneruskan atau membatalkan transaksi mereka. Dalam transaksi secara atas talian, pengguna-pembeli tidak memiliki kontak langsung dengan penjual sebagaimana yang berlaku secara hakiki dan fizikal, dan tidak mampu dengan mudah mengesahkan kualiti barang, sehingga mewujudkan situasi di mana pihak-pihak melaksanakan transaki tidak pada kekuatan tawar-menawar yang sama.

Oleh sebab itu, penerapan khiyar akan membantu dalam melindungi hak-hak pengguna di dunia maya.

Menurut Aziz Azam (2010), secara terminologi para fuqaha’ memberikan definisi khiyar sebagai usaha untuk memilih yang terbaik akibatnya daripada dua pilihan yang baik, dalam konteks ini berupa meneruskan transaksi atau membatalkannya.

Sayyid Sabiq memberikan takrif khiyar sebagai upaya untuk menuntut yang terbaik daripada dua perkara, berupa meneruskan (akad jual beli) atau membatalkannya.

Khiyar bermaksud untuk menjamin adanya kebebasan berfikir antara pembeli dan penjual atau salah seorang yang memerlukan khiyar.

Namun oleh sebab sistem ini ada waktunya menimbulkan penyesalan kepada salah seorang daripada pembeli atau penjual iaitu jika penjual menginginkan baranganya segera laris dan laku, tentu tidak senang kalau barangnya dikembalikan semula sesudah jual beli atau jika pembeli sangat menginginkan mendapat barang yang dibelinya, pasti gusar perasaan kalau wangnya dikembalikan sesudah akad jual beli berlangsung.

Oleh sebab demikian, untuk menetapkan khiyar harus ada ikrar daripada kedua-dua belah pihak yang terlibat atau salah satu pihak yang diterima oleh pihak lainnya atau kedua-dua pihaknya, kalau kedua-dua belah pihak menghendakinya (Sudarsono, 1992).

Sebagaimana dicatatkan oleh Majdy Amiruddin juga, daripada definisi yang telah dikemukakan di atas dapat disimpulkan bahawa khiyar adalah pilihan untuk meneruskan jual beli atau membatalkannya, kerana terdapat cacat terhadap barang yang dijual, atau ada perjanjian pada waktu akad, atau kerana sebab yang lain. Tujuannya adalah untuk mewujudkan kemaslahatan bagi kedua-dua belah pihak sehingga tidak ada rasa menyesal setelah akad selesai berlaku, kerana mereka sama-sama rela atau bersetuju (Ahmad Wardi Muslich).

Hukum khiyar adalah harus / mubah.

Ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, yang mafhumnya :

“Penjual dan pembeli boleh melakukan khiyar selama mereka berdua belum berpisah. Apabila mereka berdua benar dan jelas, maka mereka berdua diberi keberkatan di dalam jual beli mereka, dan apabila mereka berdua berbohong dan merahsiakan, maka dihapuslah keberkatan jual beli mereka berdua”.

Khiyar adalah bermatlamatkan menjaga hak dan kemaslahatan kedua-dua pihak penjual dan pembeli.

Kitab Fiqh Manhaji menyebutkan Allah tetap mengambil kira keutamaan manusia. Penjual dan pembeli berkemungkinan tidak teliti, tergesa-gesa dan gopoh semasa membuat keputusan. Jadi, jual beli sah atau batal tidak semestinya berdasarkan hanya apabila syarat dan rukunnya dipenuhi. Kedua-dua pihak mempunyai hak untuk meneruskan atau membatalkan aqad yang telah dipersetujui. Tujuannya adalah keprihatinan dan memastikan kerelaan menjadi asas berlakunya aqad tersebut.

Syarak memberikan pilihan sama ada meneruskan atau membatalkan kontrak yang dipersetujui kepada pihak terlibat dalam aqad jual beli dalam tiga keadaan yang dirujuk sebagai khiyar.

Menurut kitab Matla’ Badrain Majma’ Bahrain, definisi khiyar adalah hukum dalam jual beli sebelum qabd (penerimaan) barang jualan dan harga belian. Syarak membolehkan pembeli atau penjual menarik balik keputusan jual beli menurut syarat-syarat dan jenis khiyar.

Terdapat 3 jenis khiyar :

1) Khiyar majlis
2) Khiyar syarat
3) Khiyar aib.

Khiyar majlis – kedua-dua pihak memiliki hak menarik balik aqad jual beli walaupun kontrak tersebut telah dipersetujui dan disahkan. Dengan syarat dilakukan pada majlis yang sama dan secara fizikalnya mereka belum lagi berpisah. Sekiranya mereka telah berpisah daripada majlis jual beli tersebut, khiyar ini tidak lagi sah dan kontrak perlu dilaksanakan. Maksud berpisah adalah berdasarkan uruf (amalan yang diguna pakai). Namun, hak khiyar yang dimiliki tidak boleh dilaksanakan jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya berkeputusan untuk memeterai aqad jual beli tersebut. Begitu juga jika salah satu pihak menuntut pihak satu lagi membuat pilihan, maka tindakan ini menggugurkan hak khiyarnya. Dalam konteks jual beli dalam talian, didapati kedua-dua pihak tidak berada dalam satu majlis secara fizikal. Mereka hanya berada dalam ruangan maya (aplikasi dalam telefon) dan juga tidak serentak pada masa sama.

Khiyar syarat – berlaku apabila salah satu pihak atau kedua-dua mereka meletakkan syarat dia mempunyai hak khiyar iaitu hak untuk membatalkan akad kontrak dalam suatu jangka masa tertentu. Syarat ini dapat dinyatakan semasa memeterai kontrak atau setelah daripada itu, namun mestilah sebelum mereka berpisah dari majlis. Bernama khiyar bersyarat kerena pihak yang berada dalam kontrak menetapkan syarat tertentu. Dalam situasi jual beli dalam talian, didapati khiyar bersyarat tidak begitu meluas dipaparkan dalam aplikasi pembelian secara jelas dan tepat seperti adanya butang tanda bagi pembeli menyatakan “saya berhak menuntut khiyar”.

Khiyar ini memerlukan syarat-syarat berikut dipatuhi:

1) Perlulah terhad kepada tempoh tertentu. Jika tidak dihadkan suatu tempoh, ataupun tempoh itu tidak jelas, keadaan jual beli menjadi tidak sah kerana ada unsur risiko dan ketidakjelasan. Menilai aspek ini dalam polisi jual beli dalam talian seperti menetapkan dalam masa tempoh 15 hari, maka sudah menjadi jelas bagi tujuan khiyar aqad jual beli.

2) Menetapkan tempoh yang tidak boleh melebihi tiga hari seandainya barangan tersebut tidak mudah rosak dalam tempoh tersebut. Hal ini demikian kerana pada kebiasaannya masa bagi pihak terlibat untuk memikir tidak perlu melebihi tempoh tiga hari. Oleh sebab itu, jual beli dianggap terbatal jika melebihi tempoh tersebut. Demikian juga keadaanya apabila barang menjadi rosak dalam tempoh masa tiga hari itu, biarpun belum melebihi tiga hari itu. Membandingkan apa yang disusun ulama berdasarkan kitab Fiqh Manhaji dengan pelaksanaan polisi jualan dalam talian selama 15 hari untuk pemulangan, didapati tempoh ini jauh lebih lama sebanyak 5 kali ganda. Polisi ini mungkin disusun penjual berdasarkan pengalaman penjual dan trend yang ditunjukkan para penjual dalam realiti pada masa hari ini dan memberikan toleransi yang lebih untuk mereka.

3) Tempoh perlulah berturut-turut dan bersambung dengan akad kontrak. Seandainya khiyar bersyaratkan bermula sebaik sahaja mereka berpisah atau ditetapkan pada hari-hari yang tertentu sahaja yang tidak berturut-turut, atau tempoh khiyar tidak bermula sebaik sahaja akad dimeterai, jual beli menjadi batal dan kontrak itu adalah tidak sah. Ini adalah kerana mereka menetapkan syarat yang tidak sesuai dan syarak tidak menerimanya. Jika dibandingkan dengan pelaksanaan polisi jualan dalam talian semasa, tempoh 15 hari itu hendaklah berterusan tanpa selang selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan aqad pembelian. Polisi oleh penjual bahawa pembeli boleh mengembalikan barangan walaupun tidak ada kecacatan dapat dikaitkan dengan lebih dekat dengan khiyar bersyarat.

Hak khiyar dibatalkan ketika pihak yang mempunyai hak khiyar berkeputusan untuk membatalkan aqad, maka aqad itu batal. Seumpamanya penjual berkata: saya batalkan jual beli ini. Atau beliau berkata: saya batalkan menarik balik jualan ini. Atau pembeli mengatakan: saya menarik balik bayaran ini. Atau apa-apa sahaja perbuatan sedemikian rupa. Dalam situasi jualan dalam talian, hak khiyar terbatal apabila situasi seperti di atas berlaku.

Hak khiyar syarat dianggap terbatal dengan sebab-sebab:

1) tamat tempoh yang disyaratkan,
2) jual beli itu diteruskan dan mendapat persetujuan dalam tempoh khiyar
3) apabila pemegang hak khiyar melakukan sesuatu yang pada kebiasaannya hanya dilakukan oleh seorang pemilik.

Hukum barangan semasa tempoh khiyar – hak milik barang jualan dalam tempoh khiyar menjadi beku sekiranya kedua-dua pihak memegang khiyar, sekiranya kontrak dibatalkan barang kekal menjadi milik penjual dan jika diteruskan barang menjadi milik pembeli dan bayaran menjadi milik penjual.

Seandainya hak khiyar hanya dipegang oleh satu pihak sahaja, barang itu menjadi hak miliknya sebab beliau sahaja mempunyai hak menggunakan barang itu.

Dari segi hukum barang apabila berlaku kerosakan semasa tempoh khiyar – jika kerosakan berlaku sebelum barang diterima oleh pembeli, jual beli tersebut batal dan hak khiyar terbatal.

Dalam konteks jual beli dalam talian, selagi mana barangan tidak diterima oleh pembeli, jika berlaku kerosakan, jual beli tidak sah dan hak khiyar terbatal. Jika kerosakan barang terjadi selepas diterima oleh pembeli dengan maksud berada dalam tangan pembeli, jual beli itu tidak terbatal. Khiyar masih diteruskan.

Sebab seperti termuat dalam kitab Fiqh Manhaji adalah keperluan untuk menjaga kepentingan kedua-dua pihak daripada penipuan masih wujud. Jika jual beli dibatalkan, pembeli perlu mengembalikan barang dalam bentuk gantian yang sama atau membayar nilai barangan tersebut pada ketika kerosakan berlaku. Dari sudut bayaran yang telah dibuat oleh pembeli perlu dikembalikan.

Khiyar aib – sebagaimana tercatat dalam kitab Fiqh Islam wa Adillatuhu, khiyar aib adalah khiyar yang ditetapkan berdasarkan syarat secara dilalah (isyarat). Fiqh Manhaji mencatatkan bahawa pada asasnya urusan seorang muslim dengan orang lain perlu dilaksanakan atas landasan saling menjaga hak dan bersih daripada segala unsur penipuan. Menyembunyikan aib pada barang yang dijual adalah salah satu penipuan.

Setelah aqad jual beli berlaku dan pembeli telah menerima barangan yang dijual tanpa dinyatakan sebarang kecacatan aib yang wujud pada barangan tersebut dan kemudian baru menyedarinya, jual beli tersebut masih sah. Namun, pembeli mempunyai pilihan sama ada untuk merelakan aib yang ada atau mengembalikan semula barangan yang dibeli itu kepada penjual dan dia membatalkan jual beli tersebut dan mengambil bayaran yang telah dibuat kepada penjual. Syarak membenarkan pembeli melakukannya kerana dia tidak mengetahui aib tersebut ada sewaktu aqad dimeterai, mahupun semasa penerimaan.

Dalam kitab Fathul Mu’in disebutkan bahawa para ‘ulama mengutamakan khiyar aib bagi pembeli kerana secara ghalib pembayaran telah dijelaskan dengan lebih lanjut, oleh sebab itu jarang sekali adanya cacat yang dimaksudkan.

Menurut kitab Matla’ Badrain Majma’ Bahrain, harus khiyar dengan nyata tiap-tiap aib yang mengurangkan ainnya atau harganya di mana kekurangan itu meluputkan tujuan yang sahih. Jika aib itu berlaku setelah barang itu diterima, tidaklah boleh pembeli khiyar lagi. Dari segi mengembalikan barang dengan sebab aib, hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera mengikut ada.


Kitab Fiqh Islam wa Adillatuhu pula mencatatkan bahawa para ulama menetapkan khiyar bagi pembeli antara mengambil barang jika dia menyetujuinya, atau mengembalikannya ditambah satu sha ' kurma kering jika dia tidak menginginkannya. Abu Yusuf sepakat dengan jumhur ulama atas pendapat ini. Sedangkan Abu Hanifah dan Muhammad berpendapat bahwa pembeli mengembalikan dengan barang yang kurang saja jika dia menghendaki.

Melihat kepada fenomena jual beli dalam talian, khiyar aib dilihat lebih banyak berpotensi berlaku. Hal ini adalah kerana maklumat diterima oleh pembeli hanya berdasarkan gambar, butiran, review daripada pengguna-pembeli lain. Realitinya pembeli tidak dapat melihat, menyentuh, mencuba secara hakiki dan fizikal barangan yang ingin dibeli. Besar kemungkinan ada aib pada barangan yang tidak diketahui pembeli semasa akad jual beli, dan hanya diketahui selepas penerimaan barang.

Syarat dibenarkan khiyar aib berdasarkan kitab Fiqh Manhaji

1) dapat dibuktikan kecacatan tersebut sememangnya ada
2) berdasarkan amalan perniagaan, kecacatan tersebut dianggap sebagai kecacatan yang boleh menjejaskan nilai barangan
3) pada kebiasaannya, kecacatan tersebut tidak wujud.


Dalam pemulangan barangan akibat aib kecacatan, hendaklah dilakukan sebaik sahaja dikenal pasti kecacatan dan menurut uruf. Jika pembeli melewatkan pemulangan barang sedangkan dia mampu melakukannya lebih awal, hak khiyarnya digugurkan. Kelewatan memulangkan barangan atau menggunakannya sebelum memulangkan menjadi indikator pembeli memilih untuk meneruskan aqad jual beli sungguhpun mengetahui wujud aib kecacatan. Dalam menilai konsep polisi semasa jual beli dalam talian, tempoh dalam 15 hari untuk memulangkan barangan, jika dipersetujui oleh pembeli, termasuk jika barang itu ada kecacatan, maka hendaklah pembeli berhati-hati dengan tidak menggunakan barang itu dan segera memaklumkan penjual akan kerosakan dan aib kecacatan.

Setelah meneliti keterangan-keterangan secara fiqh berkenaan khiyar dan jenis-jenisnya, serta usaha membandingkan dan mengaitkannya dengan pengamalan oleh penjual dalam talian, didapati dua jenis khiyar yang lebih kerap berlaku dalam konteks atau memiliki hubung kait walau tidak secara 100% sepenuhnya ialah khiyar syarat dan khiyar aib. Dengan melihat kepada hasil kajian Majdy Amiruddin berkenaan khiyar dalam transaksi atas talian dan kajian perbandingan terhadap tiga laman jualan dalam talian di Indonesia, didapati khiyar aib diamalkan oleh ketiga-tiga laman tersebut, manakala khiyar ru’yah hanya diamalkan oleh satu laman.

Secara kesimpulannya, konsep khiyar dari sudut syariah adalah amat diperlukan dan menjaga kepentingan setiap pihak daripada dizalimi. Pelaksanaan konsep pemulangan oleh penjual dalam talian dapat dibandingkan dengan konsep khiyar dalam syariah dan ada aspek-aspek yang berkaitan sungguhpun mungkin pelaksanaan konsep pemulangan oleh penjual itu adalah lebih kepada konvensional, strategi daya tarik untuk mendapatkan pelanggan dan pembeli.


Cadangan penambahbaikan:

1. Seperti dibincangkan secara analisis terperinci tadi, kesemua aspek khiyar dalam syariah yang masih belum termuat secara lengkap dalam pelaksanaan peluang pemulangan oleh penjual dalam talian wajar diserap masuk dan menjadi cadangan penambahbaikan yang utama. 

2. Khiyar majlis boleh dirancang dan dikaji pelaksanaanya secara kaedah fiqh yang membenarkan, seperti pelaksanaan dalam suatu sesi secara langsung dalam maya, pada masa yang sama dan kedua-dua pihak berada dalam satu majlis yang sama, ruang maya yang sama.

3. Perlu ada butang pilihan dalam aplikasi pembelian bagi pembeli mengesahkan mereka bersetuju terima barang (qabd) dan teruskan akad (luzum) atau membatalkannya serta memulangkan. Ini menjadi rekod hitam-putih dan menjadi rujukan kemas dan jelas.

4. Ada bahagian butang pilihan atau nota berkenaan sama ada khiyar majlis, khiyar syarat atau khiyar aib.

5. Jika ada aib semasa terima, pembeli harus segera memaklumkan penjual dan mengambil gambar dan video bukti.

6. Pembeli perlu memastikan tiada kecacatan barang semasa pemulangan.

7. Penjual perlu jelaskan kos delivery pemulangan barang itu bagaimana dan adakah wujud hidden cost yang lain.

8. Dalam iklan, perlu dijelaskan dengan terperinci butiran barang dijual seperti gambar jelas pelbagai sudut, warna, berat, ukuran panjang, tinggi, lebar dan dimensi lain supaya benar-benar tinggi kualiti maklumat kepada pembeli semasa dalam proses sebelum memulakan akad. Sehingga jadi amat tinggi keberangkalian pembeli berpuas hati dengan barang yang diterima nanti.

9. Pembeli tidak boleh menganiaya penjual dengan sewenang-wenang membatalkan tanpa ikut peraturan syariat.

10. Penekanan adab jual beli, tasamuh dalam kalangan penjual dan pembeli dengan ruh ibadah dan ta’awun sesama mereka demi kemantapan ekonomi.


Rujukan citation:


Muhammad Azzam, Abdul Aziz. 2010. Fiqh Muamalat Sistem Transaksi dalam Fiqh Islam, (Jakarta: Amzah)
Sudarsono, Heri. 1992. Pokok-pokok Hukum Islam, (Jakarta: Rineka Cipta)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...