Ulama Benteng

Ulama Benteng

Isnin, 7 Jun 2021

Ulasan : Peranan Bapa dalam Pembangunan Sahsiah Remaja dan Implikasinya terhadap Nilai Kekeluargaan

 Butiran artikel jurnal diulas:

Amla Salleh, Zahara Aziz, Zuria Mahmud & Abd. Aziz Mahyuddin. 2020. Peranan Bapa dalam Pembangunan Sahsiah Remaja dan Implikasinya terhadap Nilai Kekeluargaan. Jurnal Pendidikan Malaysia 35(2)(2010): 9-17


1.0 PENDAHULUAN

Islam ialah sebuah agama yang meletakkan peranan dan tanggungjawab bapa yang begitu jelas. Suami dan bapa adalah ketua keluarga yang digalaskan tanggungjawab memberi nafkah, menjamin keselamatan dan kesejahteraan ahli keluarganya serta membimbing mereka, iaitu isteri dan anak-anak supaya menjalani kehidupan yang berlandaskan prinsip Islam. Namun begitu, dengan melihat kepada isu-isu yang berkaitan dengan remaja terutama remaja lelaki dalam masyarakat Malaysia, wujud keperluan untuk melaksanakan kajian-kajian empirikal yang dapat mengenal pasti faktor-faktor yang berkaitan terutamanya peranan bapa. Menurut sebahagian pengkaji dan penulis, remaja lelaki menunjukkan ciri sahsiah yang lebih rendah daripada remaja perempuan, baik dalam bidang akademik, kerjaya serta aspek pertumbuhan sahsiah. Butiran mengenai artikel jurnal ini dimuatkan pada penghujung ulasan ini.

 

2.0 ISU UTAMA

Terdapat beberapa isu utama yang diketengahkan dalam artikel jurnal ini. Antaranya adalah berkenaan peranan dan kesan penglibatan bapa dalam mengasuh anak-anak. Pemisahan sokongan ibu daripada sokongan bapa menunjukkan perbezaan serta hubungan ketara pada pola sokongan bapa dengan tindak-tanduk remaja. Penglibatan bapa yang tinggi semasa proses asuhan meningkatkan perasaan penerimaan, hubungan positif antara bapa dengan anak berupaya mengurangkan tingkah laku antisosial dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, gaya asuhan bapa memberikan kesan kepada pencapaian akademik anak-anak dan perkembangan mereka.

Selanjutnya, asuhan bapa telah terbukti membentuk anak-anak. Antara model asuhan bapa yang dikemukakan adalah daripada Lambs yang merangkumi tiga aspek: (1) masa bersama (engagement) iaitu penglibatan bapa dalam berinteraksi bersama dengan anak dalam pelbagai aktiviti, (2) mudah dihubungi, iaitu interaksi bapa secara langsung dan tidak langsung dan (3) tanggungjawab, iaitu bapa bertanggungjawab menyediakan kebajikan dan perhatian terhadap anak-anak. Turut dicadangkan ialah penglibatan bapa yang optimal berlaku sekiranya bapa memiliki motivasi yang tinggi.

Di samping itu, isu utama yang diketengahkan ialah perbincangan tentang remaja yang digambarkan sebagai zaman yang bercirikan cabaran dan penuh gelora. Remaja melalui satu tahap untuk mencari dan membentuk serta menilai identiti diri. Justeru, perkembangan psikososial seseorang pada tahap ini dianggap sangat penting.

Seterusnya, isu yang turut dibincangkan adalah berkenaan kebiasaan masyarakat yang mengukur kejayaan keibubapaan melalui pencapaian cemerlang anak-anak dalam negara. Kebiasaan ini dilihat turut biasa berlaku dalam kalangan masyarakat Asia, berbeza dengan masyarakat Amerika.  

Kajian ini turut memuatkan pemerhatian terhadap corak pencapaian akademik, kematangan dan efikasi kendiri kerjaya remaja lelaki adalah lebih rendah berbanding perempuan. Keadaan demikian adalah merisaukan.

Lanjutan daripada itu, kepentingan peranan bapa dilihat mustahak dalam membimbing serta mengasuh anak-anak. Data sedia ada tidak begitu banyak dan jelas menunjukkan kesan penglibatan bapa kepada perkembangan anak-anak. Justeru, kajian ini bertujuan untuk menambah maklumat yang dapat meningkatkan kefahaman tentang gaya dan tahap penglibatan bapa dan kepentingannya terhadap perkembangan remaja.

 

3.0 METODOLOGI

Kajian Tinjauan

Reka bentuk kajian tinjauan ini menggunakan soal selidik untuk mendapatkan data kuantitatif daripada pelajar (remaja) sekolah menengah. Tiga pemboleh ubah utama yang dikaji ialah (1) tahap penglibatan bapa dalam asuhan anak-anak, (2) pencapaian akademik serta (3) konsep kendiri remaja. Kajian bertujuan melihat korelasi antara pemboleh ubah tahap penglibatan bapa dengan pencapaian akademik dan dengan konsep kendiri anak.

 

4.0 ISU UTAMA DAPATAN ARTIKEL

Bapa memainkan peranan asuhan dengan baik

Bapa dilihat menjalankan peranan asuhan dengan baik. Bapa dipandang tinggi pada usaha mereka menyediakan keperluan makan minum, persiapan persekolahan sokongan yang diberikan kepada ibu mereka. Anggapan terhadap bapa adalah positif sungguhpun mereka beranggapan bapa kurang mesra dalam perhubungan dan meluangkan masa bersama.

Faktor Kurang Kemesraan dan Masa Diluangkan Bapa dengan Anak-anak

Antara faktor yang menyebabkan kurang kemesraan dan masa bapa dengan anak-anak adalah pekerjaan dan pendapatan bapa yang memerlukan mereka bekerja lebih daripada satu pekerjaan, justeru masa adalah terhad. Selain itu faktor pengaruh nilai tradisional Melayu yang meletakkan bapa sebagai ketua keluarga memiliki “kuasa yang perlu dihormati dan ditakuti” berkemungkinan menjadi penyebab bapa tidak berkelakuan mesra dengan anak.

Kesan Asuhan Bapa kepada Perkembangan Kendiri Anak-anak

Kajian ini juga mendapati tahap asuhan bapa mempunyai impak ke atas perkembangan konsep kendiri anak-anak. Terdapat satu bentuk hubungan yang positif antara persepsi remaja terhadap asuhan bapa dengan konsep kendiri mereka terutama dalam kalangan remaja perempuan.

Tiada Peranan Bapa kepada Pencapaian Akademik Anak-anak

Kajian ini mendapati penemuan menarik yang mana bapa seolah-olah tidak mempunyai peranan dalam perkembangan akademik anak-anak walaupun peranan mereka dilihat secara positif oleh anak-anak. Pencapaian akademik anak-anak dilaporkan agak tinggi namun hal ini tidak dapat dikaitkan dengan asuhan bapa.

 

5.0 REFLEKSI

Bagi tujuan refleksi saya terhadap artikel jurnal Peranan Bapa dalam Pembangunan Sahsiah Remaja dan Implikasinya Terhadap Nilai Kekeluargaan, berikut disenaraikan pandangan dan perspektif saya mengikut susunan berdasarkan isu utama dapatan kajian artikel jurnal tersebut (pada halaman seterusnya).

 

 

 

Bapa memainkan peranan asuhan dengan baik

Persepsi dan penerimaan umum adalah positif kepada peranan bapa dalam asuhan kepada anak-anak. Peranan lebih ketara bapa dalam menyediakan keperluan hidup dan dipandang tinggi. Islam sebagai agama yang syumul memberikan panduan yang jelas berkenaan peranan bapa dalam mendidik anak. Saya tidak menafikan bahawa kita sentiasa melihat kebanyakan bapa sememangnya melaksanakan peranan ketua keluarga dalam mencari rezeki untuk keluarga. Namun pandangan saya lebih tertarik untuk mencatatkan bagaimana panduan Rasulullah sollaAllahu alaihi wa sallam dalam mendidik anak-anak. Walaupun puteri Baginda memiliki iman yang kental, namun Baginda tetap berpesan kepada anakandanya itu: “Wahai Fatimah, bebaskanlah dirimu daripada neraka.” Contoh ini adalah jelas dan mulia kepada para bapa untuk mengikutinya dalam mendidik dan mengasuh anak-anak. Lebih-lebih lagi, saranan mendidik anak-anak ini juga dirakamkan dalam firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Tahrim ayat ke-6 : “Wahai orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka”. Panduan Quran kepada para bapa juga ditunjukkan dalam Surah Luqman ayat ke-13: "Dan ketika Luqman berkata kepada anaknya, pada waktu dia memberi pengajaran kepada anaknya: Hai anakku, janganlah kamu menyekutukan Allah, sesungguhnya menyekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman besar." Di sini, Luqman sebagai seorang bapa mengutamakan didikan kepada anaknya terutamanya dalam tauhid kepada Tuhan, dan tidak mensyirikkan-Nya. Seandainya aspek paling asas (tauhid) sudah perlu dididik bapa kepada anak, maka pastinya didikan aspek-aspek cabang seterusnya juga menjadi kewajaran bagi bapa untuk melaksanakannya.

Jika dilihat secara umum konteks Malaysia, kita dapat menyatakan pemerhatian yang sederhana bahawa kebanyakan bapa menzahirkan komitmen mereka bekerja mencari rezeki menyara keluarga. Dari sudut didikan kepada anak-anak, tidak keterlaluan dikatakan bahawa dalam konteks Malaysia, masyarakat kita lebih melihat peranan ini tergalas kepada para ibu semata-mata. Oleh sebab yang demikian, hal ini amat perlu dibaiki dan diperkasakan. Para bapa perlu sedar akan hal ini dan tidak terus lepas tangan kepada para ibu. Hal ini demikian kerana peranan bapa sememangnya benar. Bapa sebagai ketua yang memimpin keluarga seharusnya menjadi ‘role model’ kepada isteri dan anak-anak. Personaliti bapa yang baik dapat menjamin kesejahteraan dalam keluarga (Izzah & Salasiah, 2018).

Faktor Kurang Kemesraan dan Masa Diluangkan Bapa dengan Anak-anak

Berbicara soal kurangya masa dan kemesraan diluangkan bapa dengan anak-anak, saya berpandangan secara umum bahawa realiti ini secara pastinya berlaku. Hal ini menjadi lebih ketara apabila si bapa berhadapan tekanan untuk bekerja lebih daripada satu jenis pekerjaan atau perniagaan bagi menampung kekurangan jumlah yang diperlukan untuk menyara keluarga. Hal ini berlaku lebih-lebih lagi kepada keluarga yang datang daripada kelompok miskin dan sederhana yang pastinya mereka bertarung dengan keperluan mencukupkan wang perbelanjaan dalam realiti kos hidup yang semakin meningkat. Kita perlu berlaku adil kepada mereka juga. Bagaimana mungkin kita dapat menjangkakan mereka mampu meluangkan masa yang begitu banyak untuk bermesra dan bersama anak-anak. Boleh jadi, sewaktu mereka tiba di rumah sudah lewat dan diri mereka penat. Fokus dan tenaga mungkin tidak begitu optimum kepada anak-anak. Sungguhpun demikian, cabaran ini boleh dihadapi dengan mengusahakan masa berkualiti bersama keluarga. Para bapa hanya perlu meluangkan kira-kira 5 minit pertama mereka berjumpa dengan isteri dan anak-anak, berkomunikasi dengan penuh perhatian, bertentang mata dengan mata. Kita yakin bahawa masa berkualiti ini akan memberi impak kepada hubungan dan kemesraan. Masa berkualiti ini turut berkait rapat dengan pengurusan masa. Claessens et al. (2004) mendefinisikan pengurusan masa sebagai tingkah laku yang menyasarkan ke arah penggunaan masa secara efektif semasa melaksanakan aktiviti yang bermatlamat.

Seterusnya mengulas tentang pengaruh nilai tradisional Melayu yang meletakkan bapa sebagai ketua keluarga memiliki “kuasa yang perlu dihormati dan ditakuti”, saya berpendapat bahawa pemurnian pandangan ini wajar diperkasakan. Tanpa mengurangkan tradisi nilai Melayu yang memuliakan bapa, pelaksanaanya wajar dicantikkan lagi dengan unsur kasih-sayang, mesra, lembut namun tetap tegas berprinsip. Hal ini akan menyebabkan rasa hormat terhadap bapa terus kuat dimilki, pada masa yang sama jurang kemesraan antara bapa dengan anak-anak dapat dikurangkan. Anak-anak akan tahu di mana sempadannya. Mereka juga tahu adanya ketegasan disiplin yang akan membentuk sahsiah dan jati diri mereka. 

Kesan Asuhan Bapa kepada Perkembangan Kendiri Anak-anak

Menyentuh aspek perkembangan kendiri, saya berpandangan untuk menyetujui dapatan kajian ini yang mendapati adanya impak asuhan bapa kepada perkembangan kendiri anak-anak. Dalam konsep kendiri, seseorang itu melakukan penilaian ke atas dirinya sendiri atau bagaimana ia menganggap tentang dirinya sama ada secara positif atau negatif. Perkembangan kendiri kanak-kanak sememangnya melalui fasa yang kritikal semasa mereka membesar, meneroka dan mengetahui lebih banyak perkara. Justeru, dengan penglibatan bapa yang dengan personaliti tersendiri memberikan maklum balas, teguran, nasihat, cadangan kepada anak-anak : bapa akan mempengaruhi pemikiran anak-anak bagaimana mereka melihat diri sendiri, keyakinan dan harga diri. Oleh sebab yang demikian, amat wajar para bapa memberikan perhatian yang sepatutnya sepanjang tempoh anak-anak menjalani proses perkembangan kendiri. Sebarang perkataan yang diluahkan kepada anak-anak akan memberi kesan, sama ada positif atau sebaliknya.

Tiada Peranan Bapa kepada Pencapaian Akademik Anak-anak

Pada hemat saya, dapatan kajian yang menunjukkan seolah-olah tiada kaitan peranan bapa dengan pencapaian akademik anak-anak tidak sepatutnya dipukul secara rata kepada semua bapa. Situasi ini mungkin berbeza mengikut latar belakang tahap kesedaran dan pendidikan bapa tersebut. Boleh jadi bapa yang mempunyai kesedaran tinggi adalah bermotivasi menunjukkan peranannya dalam pencapaian akademik anak-anak. Selain itu, boleh jadi penglibatan mereka adalah tidak secara langsung yang boleh dilihat oleh anak-anak. Mereka sebenarnya terlibat dengan cara mengusahakan kelengkapan pembelajaran yang terbaik, memberikan wang belanja ke sekolah yang mencukupi, bertanya kepada ibu tentang perkembangan akademik dan juga doa yang dilafazkan agar anak-anak cemerlang. 

Sungguhpun demikian, saya tetap berpandangan bahawa para bapa sememangnya boleh berusaha untuk membaiki penglibatan peranan mereka yang lebih jelas dilihat kepada pencapaian akademik anak-anak. Cadangannya adalah dengan menggunakan masa yang berkualiti, mereka boleh bertanya kepada anak-anak tentang perkembangan akademik, mengajar mana-mana topik yang mereka boleh.

 

Kesimpulan bagi ulasan saya adalah potensi dan peranan bapa sememangnya diperlukan bagi membentuk anak-anak sebagaimana yang telah dibincangkan dalam perbincangan artikel dan ulasan peribadi saya.


Rujukan

Claessens, B.J.C., Van Eerde, W., Rutte, C.G., & Roe, R. A.. 2004. A review of time management literature. Personnel Review, 36(2): 255-276

Izzah Nur Aida Zur Raffar, Salasiah Hanin Hamjah. 2018. Personaliti Bapa Menurut Perspektif Islam dan Aplikasinya dalam Keluarga.  Islāmiyyāt  40, no. 1




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...