Ulama Benteng

Ulama Benteng

Khamis, 27 Januari 2022

Hukuman Bunuh kepada Pengedar Dadah : Beberapa Catatan

 Catatan ini adalah dikumpul berdasarkan literatur yang ada dan dapat dicapai. Kredit kepada penulis asal.


HUKUM MENGEDAR DADAH DARI PERSPEKTIF SYARIAH

            Prinsip Islam amat tegas dalam menyatakan hukum bahawa sesuatu yang menyokong sesuatu kebaikan, maka dia juga mendapat balasan atas perbuatan tersebut. Begitu juga dalam terlibat dalam sesuatu maksiat, maka semua yang bersubahat dihukum haram dan berdosa kerana membantu maksiat. Prinsip ini selari dengan kaedah fiqh yang dinyatakan oleh Imam Izzuddin bin Abdussalam وما أدى إلى الحرام فهو حرام (perantaraan yang membawa kepada tujuan yang haram adalah haram). Jumhur ulamā berpendapat perbuatan yang terlibat dengan maksiat dadah seperti membeli, menjual, menjadi perantaraan yang menjual, mengedar hattta menanam pokok untuk menghasilkan bahan dadah juga dilarang dan berdosa (Azman Mohd Noor & Mohd Al-Ikhsan bin Ghazali, 2010).

            ‘Abd al-Qadīr ‘Audah memperincikan bahawa apabila seseorang menyebabkan mudarat ke atas orang lain dengan memberikannya racun dan mangsa menerimanya dengan sengaja dalam keadaan dia menyedari akan kemudaratannya maka itu dianggap membunuh diri adapun sekiranya mangsa tidak mengetahui atau dipaksa mengambilnya maka itu merupakan membunuh dengan sengaja. Dalam hal ini, mana-mana pengedar dadah melakukan kerjanya adalah dengan sengaja dalam keadaan mengetahui kemudaratannya. Rentetan itu, secara asasnya pengedar dadah wajar dikenakan hukuman yang diberikan kepada pembunuh dengan niat sengaja.

            Menurut kajian, kebanyakan pengedar dadah memberikan alasan mereka tidak bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelanggan. Mereka berhujah bahawa pengguna dadah membeli dan mengambil dadah atas kehendak dan pilihan mereka sendiri tanpa dipaksa. Hujah sebegini adalah tidak berasas kerana penagih dadah mempunyai pilihan yang hendak dibuat namun kewujudan bahan dadah adalah disebabkan usaha pengedar dadah itu sendiri yang sengaja membawa masuk dadah dan mengedarkannya bagi mengaut keuntungan atas dasar kepentingan diri sendiri. Sekiranya tiada pengedaran dilakukan, maka mustahil penagih untuk mendapatkan bahan tersebut.

            Menurut Azman Mohd Noor & Mohd Al-Ikhsan bin Ghazali (2010), pengedar dadah telah melakukan dua kesalahan dalam satu masa. Pertama, dia menjadi punca seseorang menjadi penagih dadah dan keduanya dia juga bertanggungjawab atas sebarang jenayah yang berlaku berpunca daripada pengambilan dadah itu. Sebagaimana arak menjadi punca kepada kebanyakan jenayah, lebih dahsyat pengambilan dadah ke atas diri seseorang.

            Memetik wasitah nirmala dari Rosni Wazir et. al (2019), hukuman asas kepada penagih dadah wajar dikiaskan kepada pengguna arak. Hukuman had kepada peminum arak dikenakan 40 kali sebatan. Pemerintah dengan kuasa takzirnya harus menjalankan hukuman tersebut sehingga 80 kali sebatan selaras dengan tindakan Saidina Umar bin al-Khattab. Setelah Nabi SAW mendapat syariat pengharaman arak, baginda melaknat golongan yang terlibat dengan arak. Ini isyarat kepada seseorang yang terlibat dan bersubahat dalam sesuatu maksiat maka dia mendapat saham dosanya juga. Menurut Ibn Asyur (1984), maqasid sunnah dalam syariat hukuman sebatan ini adalah bagi melaksanakan tuntutan pencegahan ke atas umum. Hukuman akan membentuk suatu amaran dan mewujudkan perasaan gerun terhadap orang lain yang hendak melakukan jenayah yang sama.

            Hanis Camelia et.al (2017) dalam kertas kerjanya berpendapat kewajaran peruntukan hukuman menurut syarak ke atas penagih dadah kali pertama dikenakan 40 kali sebatan dan kesalahan berulang dikenakan dalam kiraan yang sama sebanyak dua kali ganda. Kesalahan berikutnya diperuntukan bawah prinsip takzir samada dikenakan 120 kali sebatan atau penjara dalam suatu tempoh masa yang bersesuaian. Kewajaran peruntukan hukuman ini adalah berdasarkan kepada had yang dikenakan kepada peminum arak. Manakala, pengedar dadah wajar dikenakan hukuman mati qiyas kepada niat sengaja untuk membunuh ketika pengedar melakukan jenayahnya.

KEWAJARAN PERUNTUKAN HUKUMAN MATI KE ATAS PENGEDAR DADAH MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

            Ketepatan hukuman gantung ke atas pengedar dadah akan dinilai berteraskan kaedah Siyasah Syar’iyyah, merangkumi:

a.              Berdasarkan kehendak nas-nas syarak dan hukuman bunuh dalam konteks hukuman takzir

b.              Berdasarkan keadah ijtihad

c.               Berdasarkan qawa’id fiqhiyyah

 

Kehendak nas-nas syarak dan hukuman bunuh dalam konteks hukuman takzir

            Apabila dilihat ketepatan hukuman gantung sampai mati ke atas pengedar dadah menurut nas-nas syarak, diamati tiada percanggahan yang berlaku. Hal ini menjadi lebih utama seandainya hukuman itu bagi memelihara, mencegah, membaiki dan melindungi masyarakat dari segala bahaya. Kesemua ini adalah selaras dengan matlamat berkenaan mendokong tujuan pelaksanaan undang-undang Islam.

            Seterusnya, ketepatan hukuman gantung sampai mati dilaksanakan kepada pengedar dadah dengan merujuk kehendak nas-nas syarak adalah berteraskan keharusan hukuman itu dijalankan dalam konteks hukuman takzir. Penentuan hukuman bunuh dalam hukuman takzir ditentukan berpandukan kaedah dilalah al-nas, iaitu dengan meluaskan pemakaian nas kepada kes-kes baru melalui tafsiran nas. Oleh sebab yang demikian, melalui kaedah ini, hukuman bunuh boleh dilaksanakan kepada pengedar dadah kerana jenayah berkenaan mempunyai ‘illah yang sama tahap kritikal dengan jenayah al-hirabah.

Berdasarkan Kaedah Ijtihad

            Bagi mengkaji ketepatan hukuman bunuh ke atas pengedar dadah, tiga kaedah ijtihad akan digunakan iaitu Istislah (Masalih Mursalah), Sad al-Zara’i dan Qiyas. Ketiga-tiga kaedah ini diutamakan kerana lebih bersesuaian dalam menguraikan permasalahan ini.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...