Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Islam ialah agama yang sangat mengutamakan 'ilmu. Kedudukan orang yang ber'ilmu dan tidak ber'ilmu di sisi ALLAH adalah berbeza.
Sebagaimana yang disebutkan Profesor Wan Mohd Nor dalam buku beliau, Penjelasan Budaya Ilmu:
Di sini ditegaskan lagi bahawa perletakan 'ilmu sebagai "kebaikan utama" penting kerana proses pencapaian dan penyebaran 'ilmu, antara lainnya, memerlukan usaha yang gigih, kesabaran yang banyak, dan pengorbanan yang ikhlas dan jiwa yang berani. Ganjaran setiap usaha untuk mencari dan menyebarkan 'ilmu adalah berbentuk dalaman (intrinsic) dan keakhiratan.
Juga termuat dalam buku tersebut contoh-contoh berikut, yang memberikan panduan kepada kita dalam membentuk sikap dan kesungguhan terhadap 'ilmu:
Kemiskinan, kecacatan dan keadaan persekitaran yang tidak stabil bukan alasan gagal mencapai kecemerlangan 'ilmu:
Imam Syafi'i (meninggal dunia 820 Masihi), anak yatim dan miskin, telah menghafal al-Qur'an ketika berusia 7 tahun, dan menghafal pula kitab fikah Imam Malik ketika berusia 10 tahun. Beliau juga dikira layak membuat fatwa ketika berusia 15 tahun. Sewaktu dewasa al-Syafi'i biasa menghabiskan 1/3 malam belajar.Abul Hasan al-Tamimi (meninggal dunia 918 Masihi) seorang yang buta, tetapi kecintaannya kepada 'ilmu membolehkan beliau belajar melalui pendengaran sahaja sehingga menjadi 'ulama fikah Mazhab Syafi'i yang terkenal.Ibnu Taimiyyah (meninggal dunia 1328 Masihi), yang dilahirkan ketika keadaan politik umat Islam kacau bilau di bawah keganasan Mongol dan Perang Salib, hidup dalam iklim ke'ilmuan keluarganya. Beliau mempelajari al-Qur'an, hadis, fikah, matematik, sejarah, sastera dan ilmu kalam serta falsafah, dan tamat belajar ketika berusia 21 tahun.
Kesenangan hidup juga tidak harus memanjakan diri menjadi malas:
Ibn Hazm (meninggal dunia 1064 Masihi) yang dilahirkan di Kordoba, dan Ibnu Khaldun yang dilahirkan di Tunis (meninggal dunia 1406 Masihi) dalam lingkungan keluarga yang berada, berpendidikan dan berpengaruh. Mereka yang dibesarkan dalam suasana ke'ilmuan yang biasa dialami oleh anak-anak seperti itu mempelajari semua bidang agama dan falsafah. Bidang kajian Ibn Hazim lebih luas lagi sehingga meliputi perubatan yang beliau tidak amalkan secara serius mungkin kerana terpaksa berpindah randah disebabkan suasana politik yang tidak stabil.
Seterusnya, kedudukan dan umur bukan faktor penghalang untuk terus belajar!
Imam Abu Hanifah, walaupun sudah mempunyai pengikut dan kemasyhuran, masih lagi belajar dengan Imam Malik yang 13 tahun lebih muda daripadanya.Al-Jahiz (meninggal dunia 869 Masihi), bangsa Negro abdi, penjual roti dan ikan, mencapai ketinggian 'ilmunya bukan sekadar dengan cara menghadiri kuliah tetapi dengan cara bergaul dengan 'ilmuwan di Mirdad, sebuah kawasan terbuka di pinggir Basra. Mirdad tempat pertumpuan kabilah dan para 'ilmuwan membanding nota tentang berbagai-bagai ragam bahasa 'Arab Badui. Al-Jahiz juga sering mengunjungi masjid dan mempelajari hal-hal yang berguna daripada para pengunjung masjid yang lain (masjidiyun). Kisah kematian beliau mencerminkan kehidupan yang cintakan akan 'ilmu. Beliau yang lumpuh tubuh badannya mati tertindih oleh buku-buku yang selalu tersimpan di sekelilingnya.Al-Biruni (meninggal dunia 1048 Masihi), menguasai berbagai-bagai disiplin dan bahasa seperti Arab, Parsi, Turki, Yahudi, Sambani, dan ketika mengikut Mahmud Ghaznawi ke India selama 14 tahun, beliau mempelajari bahasa Sanskrit untuk menulis tentang agama dan budaya orang India.Ibnu Haitham (meninggal dunia 1039 Masihi) menyara hidup dengan menyalin buku-buku dan menjualnya semasa membuat kajian dan penulisan tentang geometri dan optik di Al-Azhar.Ibnu Rushd (meninggal dunia 1198 Masihi) hanya bercuti dua hari sepanjang hidupnya kerana bekerja yakni mengajar, menulis dan memberi fatwa sebagai kadi: iaitu pada hari kematian bapanya dan pada hari perkahwinannya.
Budaya 'ilmu yang sebenar akan memberi peluang kepada semua anggota masyarakat untuk mencari 'ilmu dan memperoleh kecemerlangan, betapa pun rendah taraf sosioekonomi pelajar itu.
Demikianlah sedikit petikan daripada buku yang ditulis Prof. Wan Mohd Nor, Penjelasan Budaya Ilmu. Memang jelas bagi kita bahawa sikap dan kesungguhan kita adalah perkara paling mustahak dalam usaha menuntut 'ilmu ini. Semoga kita akan mendapat pedoman dan dorongan hasil daripada penelitian kepada bukti kesungguhan yang telah ditunjukkan 'ilmuwan Islam sebelum ini.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.
Knowledge is power. Power is knowledge. Without knowledge, we can't change the world for the better.
BalasPadamYou are definitely right my brother. (^_^)
BalasPadambanyak betul ilmu bleh kutip kat sini.
BalasPadamsyukron ya ats perkongsian..
=)
salam ukhwah..
'afwan, segala-galanya berpunca daripada ALLAH s.w.t.
BalasPadamsalaam ukhuwwah
setuju dgn budaya ilmu, ana pn otw nak habiskan buku budaya ilmu tu.. terlampau banyak petikan bermanfaat yg boleh diambl
BalasPadaminsya ALLAH, moga Dia izinkan kita memperoleh manfaat daripada pembacaan tersebut.
BalasPadam