Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Berada di hadapan TocH Camp, Victor Harbor. Alhamdulillah, saya baru pulang daripada "field trip" geologi yang diadakan selama dua hari (23 dan 24 Mei 2009). Banyak proses pengukuhan iman dan penghayatan mengenai kebesaran ALLAH yang dilalui.
Bagi adik-adik yang masih mencari-cari bidang pengajian peringkat universiti, saya boleh mencadangkan jurusan geologi sebagai salah satu jurusan yang bermanfaat, lebih-lebih lagi jika anda jenis individu yang minat menerokai alam ini dan menghayati penciptaannya oleh ALLAH Yang Maha Agung.
Dalam hampir 100 dan lebih peserta, saya hanya satu-satu pelajar Islam. Alhamdulillah, ALLAH masih mengizinkan saya beribadah secara biasa. Perancangan masa adalah amat mustahak, khususnya dalam menentukan waktu bagi ibadah solat. Pada kali ini, saya menggunakan kemudahan (rukhsah) solat jama' dan qasar, serta khuf. Wuduk menggunakan air botol yang dibawa. Kompas juga dibimbit bersama untuk menentukan arah qiblat. Ada yang saya sujud berlapikkan "clipboard", baju, dan juga kain ponco. Ada juga masa dapat bersolat di tempat yang agak tersembunyi, namun ada juga masa perlu bersolat di tempat yang kebanyakan orang dapat lihat. Subhanallah, keenakan sujud ketika solat dalam keadaan sebegini sangat terasa, dalam keadaan 'gharib. Orang di sekeliling mungkin memandang pelik.
Kami banyak berjalan melihat permukaan bumi, jenis batu, komposisi batu, lipatan batu, darjah lipatan batu dan beberapa perkara lagi. Usia batu yang dikaji adalah dalam unit Ma (jutaan tahun yang lepas). Ada juga perlu menuruni dan mendaki kawasan berbatu yang sangat curam dan berbahaya. Inilah kali pertama saya berasa sangat "gementar", ketika menjelajah permukaan bumi.
Tempat berikut ialah destinasi kami:
1. Sleeps Hills Quarries, Torrens Park.
2.Point Willunga
3. Carrickalinga Beach.
4. Petrel Cove and Rosetta Head. (Victor Harbor)
5. Pt. Elliott. (Victor Harbor)
4. Lady Bay south of Normanville. (Victor Harbor)
Berada keseorangan sebagai pelajar Islam dan Malaysia, memang terasa kerdil diri jika ingin terus menyombongkan diri. Saya ada juga berbual dan bertegur sapa dengan mereka, tetapi tidaklah terlalu rancak dan leka. Banyak buruk dan baik yang ada. Masyarakat Australia ini kebanyakkannya sopan. Mereka tidak berat mengucapkan "sorry" andai ada sedikit perkara sekalipun yang dilihat silap. Mereka juga tidak berat mulut untuk menjawab persoalan yang ditujukan.
Makan minum ketika waktu sebegini memang kena hati-hati. Saya memilih makanan "vegetarian". Alhamdulillah. Bagi mereka, meminum arak ringan seperti wine adalah perkara biasa.
Tiada batasan bagi pakaian. Pergaulan lelaki perempuan tiada kekangan. Asrama lelaki dan perempuan terletak bersebelahan pintu sahaja. Yang halal jelas kehalalannya, yang haram jelas keharamannya. Kuatkan iman. ALLAH sentiasa melihat dan mengetahui apa sahaja yang difikirkan. Semampu yang mungkin, jauhi segala pintu bagi perkara haram.
Saya mencadangkan jika kita banyak bergerak bersama-sama golongan bukan Islam berlainan jantina, sarung tangan antara bahan yang sangat berguna. Ada kemungkinan, keadaan yang tidak dapat dielakkan boleh berlaku, menyebabkan persentuhan kulit antara lelaki dan perempuan.
Alhamdulillah, benar geologi ialah satu bidang ilmu yang sangat bermanfaat dan dapat mendekatkan diri kita kepada ALLAH s.w.t. apabila kita mengkaji alam ciptaan-Nya.
Syukur, pada awal pagi kedua, setelah membelek-belek terjemahan Quran yang dibawa dan juga bagi tujuan 'iadah, saya dipertemukan dengan ayat al-Quran:
يَوْمَ تُبَدَّلُ الأَرْضُ غَيْرَ الأَرْضِ وَالسَّمَاوَاتُ وَبَرَزُواْ للّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ
(
Yaitu) pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit, dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) berkumpul menghadap ke hadirat Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.) Surah Ibrahim, 14: 48
Subha nallah, ayat ini sangat berkait rapat dengan penciptaan bumi, dan saya sendiri sedang mengkaji bumi. Sepanjang perjalanan dan pengkajian, ayat ini berlegar-legar dalam ruang pemikiran saya.
Berikut ialah gambar-gambar keindahan alam yang dapat saya ambil menggunakan kamera telefon bimbit. Subha nallah. Memang sangat indah alam ciptaan ALLAH ini. Memang hati terasa sedap, puas, kenyang menatap keindahan alam dan menghubungkan terus dengan Penciptanya.
Dari puncak The Bluff di Victor Harbor. Antara peserta "field trip" ini. Subha nallah, gambar keindahan pantai dan laut ini benar-benar memikat hati saya. Ayat dalam surah Ar-Rahman yang sentiasa diulang-ulang, "Maka ni'mat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?" wajar menebalkan rasa kehambaan dan kesyukuran atas segala ni'mat ALLAH.
Insya ALLAH, doakan kami terus diizinkan untuk belajar menjadi ahli geologi Islam yang mengaitkan ilmu ini dengan ALLAH s.w.t. dan pada masa yang sama beroleh kekuatan untuk mengajak rakan-rakan yang lain untuk mengenali Islam.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.