Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Alhamdulillah, saya kini berada dalam bulan keempat di Adelaide, Australia. Masa terasa kian pantas berlalu, lebih-lebih lagi rutin harian dipadatkan. Sedikit sebanyak, saya dapat melakukan penyesuaian diri di tempat ini.
Amal Islam Secara Fardiah dan Jama'ah
Pujian dipanjatkan kepada ALLAH s.w.t. kerana mengizinkan kami di sini untuk terus berada pada landasan perjuangan agama-Nya. Setiap tindakan yang benar kaedah pelaksanaannya di sisi syari'at dan juga matlamat (niat) ialah amal Islam yang diperjuangkan demi menegakkan kalimah tauhid. Usaha seperti usrah, halaqah, daurah dan lain-lain giat dijalankan oleh kelompok pelajar Malaysia di sini.
Belajar Mengenali Manusia dan Membina Persahabatan
Keberadaan di sini telah banyak mengajar dan mendidik saya untuk bersedia mengenali pelbagai jenis manusia dan membina persahabatan dengan mereka. Nyata dan jelas bahawa pengasingan diri daripada masyarakat sepanjang masa tidak akan membawa kebaikan yang besar, juga tidak mencerminkan peribadi Muslim yang dianjurkan untuk bergaul dengan masyarakat berdasarkan kaedah yang diizinkan. Sesuai dengan keadaan di sini, saya banyak belajar perkara tersebut dalam berhadapan dengan pelajar Malaysia dan juga bukan pelajar Malaysia.
Kemahiran Memasak Semakin Meningkat
Perkara ini adalah antara perkara yang sangat menggembirakan saya. Dalam setiap minggu, saya dijadualkan untuk masa pada dua hari. Resipi masakan semakin hari semakin ditambah. Kemahiran asas masakan berjaya dipelajari. Kebanyakan lauk kami berasaskan ayam, kerana di sini harga ayam lebih murah berbanding ikan. Bahan-bahan memasak senang diperoleh kerana rumah kami terletak berhampiran kedai runcit Asia. Bangga terasa apabila melihat banyak produk Malaysia yang turut dijual di situ. Nampak gayanya nanti apabila pulang bercuti, perlulah saya berada di dapur lebih lama.
Belajar Bahasa Perancis
Alhamdulillah, terasa beruntung sangat apabila dikurniakan pinjaman boleh ubah Petronas. Walaupun duit secara tunai yang kami terima pada setiap bulan adalah paling rendah berbanding pelajar tajaan yang lain, kemudahan dalam bentuk lain banyak diberikan kepada kami. Antara contoh kemudahan tersebut ialah elaun pengangkutan, elaun buku tambahan, elaun bagi kemudahan eletrik, air dan gas, elaun internet, elaun bagi menyertai persatuan atau sukan, dan juga elaun bagi mempelajari bahasa asing. Saya telah memeriksa sukatan pembelajaran bahasa Arab yang ditawarkan di sini, nampaknya apa yang ditawarkan tidak jauh lari daripada apa yang telah dibelajar pada peringkat PMR dahulu. Insya ALLAH, saya bakal memulakan kursus jangka masa pendek bagi bahasa Perancis mulai Julai nanti.
Merancang Aktiviti Semasa Cuti Musim Panas (Disember 2009-Februari 2010)
Jauh ke hadapan difikirkan perancangan masa. Saya lebih terdorong untuk memanfaatkan masa kira-kira hampir dua bulan di Malaysia, bagi melaksanakan tugas dan amanah di tanah air, dan juga masa sebulan di bumi kinanah (Mesir) bagi mempelajari ilmu yang bermanfaat di sana. Antara medan khidmat saya di tanah air ialah APIS, PKPIM, kawasan dan daerah kelahiran saya di Kedah. Keberadaan di perantauan banyak memberikan keinsafan untuk terus mencurahkan bakti kepada tanah air tercinta. Bagi tujuan musafir ilmu di bumi kinanah, alhamdulillah berjaya saya hubungi seorang ustaz yang merupakan salah seorang AJK PMRAM bagi membantu urusan persediaan ke sana.
Bicara mengenai kepulangan ke tanah air turut mengingatkan saya untuk bersama-sama pulang membawa buah tangan Australia buat insan-insan yang diingati. Insya ALLAH, perkara ini akan diusahakan, kerana saya yakin bahawa amalan saling memberikan hadiah ini dapat mengukuhkan ikatan kasih sayang antara satu sama lain, sebagaimana yang telah diajarkan baginda Nabi Muhammad s.a.w.
Peperiksaan Akhir Semester Satu
Insya ALLAH, kami bakal menduduki peperiksaan ini bermula pada bulan Jun kelak. Persediaan wajar dimulakan sekarang, kerana kecemerlangan akademik turut menjadi amanah yang besar bagi para petugas Islam.
"Autumn Trip"
Musim sejuk merupakan antara detik yang ditunggu-tunggu pelajar tahun pertama. Insya ALLAH pada tahun ini, abang-abang persatuan pelajar Islam Malaysia di sini bakal menganjurkan trip musim sejuk, mengembara di benua Australia ini dengan menggunakan kenderaan yang dipandu sendiri secara konvoi. Antara tempat yang bakal dilawati ialah Sydney, Canberra, dan juga Melbourne. Turut menjadi daya tarikan bagi trip ini ialah peluang untuk bermain salji di salah satu tempat di sana nanti. Adelaide tidak mempunyai kawasan salji.
Insya ALLAH, demikianlah serba sedikit perkembangan terkini dan perancangan semasa saya. Semoga diberikan kekuatan kepada kita semua untuk terus memperkasa perjuangan Islam ini, kerana kita tidak daya upaya untuk melakukan ketaatan dan juga menjauhi kemungkaran melainkan apa yang dipinjamkan ALLAH kepada kita. Sehingga bertemu lagi.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.
"Barangsiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah juga suka bertemu dengannya. Akan tetapi, barangsiapa yang benci bertemu dengan Allah, maka Allah juga benci bertemu dengannya." -Al-Hadits. Dicatatkan oleh Al-Imam Habib Abdullah Haddad
Ulama Benteng
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
tepat skali apa yg enta tulis ni, akhi!
BalasPadamKehidupan muslim mmg tak lari dr perancangan..
Selari dgn surah al-insyirah ayat 7:
"Maka apabila kamu telah selesai dr sesuatu urusan, kerjakanlah sungguh-sungguh urusan yang lain"
Hiduplah..
ALL THE BEST!
Salam dr Morocco.
Ya, benar. Masa makin tiada. Perjuangan makin besar bebanannya. Rugi andai tiada perancangan rapi.
BalasPadamInsya ALLAH, sama-sama bekerja dengan terbaik untuk Islam.
Salaam dari Adelaide.