Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Insya ALLAH, hati terdetik untuk berkongsi juga penulisan yang bersantai. Moga ada kerehatan bagi minda mu'min.
Apakah minat dan kegemaran saya?
Banyak juga minat dan kegemaran saya. Antaranya saya suka bersahabat, dan berkawan dengan kanak-kanak. Kerapkali saya pulang ke rumah kelahiran di Kuala Nerang dan meluangkan masa untuk melayan dan berinteraksi dengan kanak-kanak yang tinggal berdekatan rumah saya. Saya ada tujuan dan hikmah tersendiri dalam hal ini. Pertama, saya akan dapat menyegarkan keinsafan apabila bergaul dengan mereka. Insan yang bersih dan suci daripada sebarang najis dosa dan penderhakaan kepada ALLAH. Saya benar-benar rindu akan masa kecil. Rasa insaf menebal dalam nurani, kerana usia yang meningkat turut menambahkan titik hitam dosa kepada-Nya. Kedua, saya berasa yakin dengan pergaulan dan interaksi yang sihat ini dalam usaha membentuk syakhsiah dan fikrah mereka. Ini adalah antara pelaburan masa hadapan. Bina imej dan pengaruh dalam pemikiran mereka. Jadi seseorang dalam hidup mereka. Insya ALLAH, lama-kelamaan mereka akan berasa dekat dengan kita dan mengikuti qudwah hasanah. Terharu juga perasaan saya apabila melihat keikhlasan adik-adik kecil. Pernah pada tahun ini, ketika di Adelaide ini, saya ada menerima SMS daripada salah seorang daripada mereka, yang sudi bertanya khabar dengan saya.
Saya bersama Islah. Dia berusia tujuh tahun, bersekolah di SRI ABIM Sg. Ramal, Kajang. Dia bersama ibu bapanya berkunjung ke Adelaide baru-baru ini. Hati terhibur, terasa makna kehidupan setelah dapat berinteraksi dengan dia dengan peranan saya sebagai seorang abang.
Apakah minat yang dapat dikaitkan dengan cita-cita saya?
Ketika usia kecil dahulu, saya meminati bidang ketenteraan. Saya mengumpul pamplet yang dikeluarkan angkatan tentera Malaysia mengenai bidang kerjaya yang ada. Tambahan pula, minat saya dalam bidang kefahaman Islam juga kuat, maka saya lebih terjurus untuk menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang ustaz dalam tentera, ataupun menjadi pegawai dalam Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT). Saya bersungguh-sungguh mengkaji kelayakannya, termasuk tinggi minimum untuk menjadi pegawainya. (tinggi minumumnya ialah 157 cm, cukup-cukup dengan ketinggian saya.) (^_^) Namun, aturan ALLAH lebih baik, dan kini saya dalam perencanaan untuk menjadi seorang ahli geologi Islam.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.