Sedikit catatan bersama nasihat :)
Berkenaan ikhtiar untuk bernikah
- Tidak perlu terlalu risau, kerana ada jaminan Allah.
- Utamakan menjadi hamba Allah yang mentaati perintah-Nya (buat yang wajib, tinggalkan yang dilarang).
- Niatkan untuk mentaati perintah Allah, menghidupkan sunnah Baginda Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam, menjaga kehormatan diri.
- Ingat bahawa matlamat mulia dan besar kita adalah untuk menjadi suami-isteri yang diredhai Allah di dunia dan di akhirat.
- Berikhtiar secara jasadi-zahir melalui saluran yang dibenarkan agama, lakukan dengan cara yang betul dan sepenuh kesungguhan. Bukannya berpeluk tubuh, duduk diam tanpa ada ikhtiar.
- Secara batinnya, jiwa menyerahkan pergantungan kepada Allah, percaya kepada Allah, yakin akan bantuan yang akan diberikan.
- Tidak betul jika berpandangan perlu bersosial hingga menyeberangi jantina tanpa ada keperluan dan kesopanan semata-mata ingin mencari calon dan kesesuaiannya. Pergaulan bebas tanpa kawalan peraturan agama sebenarnya membawa dan membuka kepada pintu dosa dan zina.
- Selagi mana tidak ada akad nikah, ijab dan kabul, maka tidak ada apa-apa yang memberikan kebenaran dan menghalalkan interaksi dan pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi. Jaga diri daripada melakukan perkara haram, in syaa Allah Dia akan kurniakan kemanisan dalam melakukan perkara yang halal.
- Sudah terbukti bagaimana ada pasangan suami isteri yang sah bernikah bertemu jodoh mereka melalui saluran ikhtiar yang selamat, bahkan mereka saling tidak mengenali pun sebelum perkenalan (taaruf) daripada saluran ikhtiar mencari jodoh yang selamat. Tidak semestinya kena berkenalan dan berkawan belasan tahun untuk mencari jodoh.
- Sememangya faktor agama (dan akhlak - kerana orang yang faham dan amal agama secara betul akan bawa kepada akhlak yang mulia) adalah ciri pertama dan paling utama dalam mencari calon pasangan hidup. Faktor selainnya hendaklah dipertimbangkan secara rasional.
- Sedar juga hakikat manusia yang tiada 100% sempurna, maka perlu ada memberi dan menerima (give and take), jangan terlalu mencari kesempurnaan kepada calon yang dicari, tanpa sedar diri sendiri pun tidaklah 100% sempurna.
Perkongsian untuk memandu sahabat-rakan semua yang memerlukan panduan. Saya bukanlah pakar rujuk dalam bab ini. Saya juga tidak melihat hal ini sebagai hal picisan, saya memandangnya sebagai hal yang sangat utama dan mustahak.
Jika silap percaturan dalam pernikahan, tersilap memilih pasangan hidup boleh membawa banyak masalah dan potensi kerosakan iman dan amal.
Semoga Allah membantu segala usaha kita dan memberi karunia redha-Nya.
Jemput ziarah: http://ikhwanzhaki.blogspot.com/
Sumber gambar: http://hazimahalqisya.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.