Ulama Benteng

Ulama Benteng

Khamis, 23 April 2020

Definisi, Konsep dan Falsafah Emosi/Perasaan Menurut Al-Quran, Hadis dan Ulama-Sarjana Muslim

1.0  PENDAHULUAN                                                                                                 
2.0  DEFINISI EMOSI                                                                                        
3.0  KONSEP DAN FALSAFAH EMOSI MENURUT AL-QURAN
4.0  KONSEP DAN FALSAFAH EMOSI MENURUT HADIS
5.0  KONSEP DAN FALSAFAH EMOSI MENURUT ULAMA-SARJANA ISLAM
6.0  KESIMPULAN                                                                            
7.0 RUJUKAN      

1.0  PENDAHULUAN
Islam sebagai agama yang syumul dan memenuhi fitrah manusia mempunyai misi untuk mengubah minda dan tingkah laku umatnya untuk memiliki emosi/perasaan yang sihat dan cerdas. Emosi yang sihat tidak dapat tidak perlu kepada hati nurani yang sihat. Ulama Islam dalam membahaskan keperluan hati nurani yang sihat ini mengibaratkan hati sebagai raja kepada seluruh anggota badan. Apabila sang raja menitahkan sesuatu arahan, pasti akan dipatuhi. Oleh sebab yang demikian, pemahaman dan usaha untuk membentuk hati nurani yang sihat menjadi teras kepada emosi yang stabil.

2.0  DEFINISI EMOSI
Dalam Islam, perkataan emosi adalah berasal dari perkataan Arab ”al-Infial”. Fakhir Akil dalam  Mu'jam Ilm al-Nafs (1985) memberikan definisi emosi sebagai keadaan dalam di mana kita menunjukkannya sebagai pengalaman dan tindakan atas sesuatu peristiwa yang berlaku seerti perasaan takut, marah dan seumpamanya. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, emosi ialah perasaan jiwa (batin) yang kuat seperti sedih, marah. Emosi juga dalam definisi keduanya ialah keadaan perasan atau fikiran yang terangsang dan melibatkan perubahan psikologi dan fisiologi pada seseorang. beremosi dengan emosi; emosional.  Muhammad Uthman Najati memberikan takrifan emosi sebagai bangkitan perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas seseorang terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku seperti emosi takut, marah, kecewa, gembira, suka dan kasih sayang (1993:73).
   
3.0  KONSEP DAN FALSAFAH EMOSI MENURUT AL-QURAN

Matlamat Akhir dan Hakiki : Pertemuan dengan Allah dalam Keadaan Hati yang Sejahtera
Al-Quran dengan jelas dan tepat menyatakan keutamaan matlamat utama memiliki hati yang sejahtera pada hari pertemuan dengan Allah, di destinasi sebenar yang kekal, dan pada masa itu tidak lagi berguna elemen-elemen material dan yang lain, melainkan hati yang sejahtera. Perkara ini terkandung dalam al-Quran yang bermaksud:
Hari yang tidak bermanfaat harta dan anak-pinak. Melainkan sesiapa yang datang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera.” (Surah 26: 88-89). Kehidupan di dunia ini adalah sementara dan bersifat ujian, manakala akhirat adalah destinasi kekal dan tempat mendapat balasan. Maka, amat jelas difahami dari ayat tersebut kepentingan hati sejahtera sebagai satu-satunya perkara yang bermanfaat pada saat agung itu. Emosi sebagaimana diberikan takrifannya berkenaan keadaan dan bangkitan rasa dalaman; emosi amat berkait rapat dengan keadaan hati. Hati adalah raja bagi seluruh anggota tubuh; apabila sihat hati, sihat juga emosi.

Perasaan Tenang dengan Mengingati Allah
Falsafah ketenangan perasaan ini dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: “Hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” (Surah 13 : 28) Begitu agung dan kukuh ayat ini, kerana diri yang kembali kepada Penciptanya akan merasai ketenangan. Hal ini pastinya dengan didasari keimanan dan keyakinan bahawa Allah adalah Tuhan yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Adil, Pemberi Rezeki dan Pembalasan, dan pasti tidak akan leka walau sesaat dalam memelihara hamba-Nya. Naluri secara fitrah setiap makhluk adalah berasa dan memerlukan kepada Tuhan. Manusia pastinya akan berhadapan dengan berbagai-bagai kesukaran, dan ada tahapnya mereka sudah tidak mampu mengendalikannya sendiri, dan mereka beralih ingatan untuk mencari bantuan Tuhan Maha Kuasa. Keadaan ini berlaku sejak awal sejarah kewujudan manusia sehinga kini. Dengan mengingati Allah, bahawa janji-Nya sentiasa benar, Dia mendengar rintihan dan permohonan hamba-Nya, Dia memberikan bantuan dan keselamatan yang hakiki di dunia dan di akhirat: maka perasaan akan menjadi tenang yang luar biasa kerana segala-galanya telah dijamin oleh Allah.

Kaitan Kuat antara Ruh dan Emosi
Dalam Islam, ruh amat berperanan dalam memandu sebarang aktiviti dalam pemikiran, perasaan dan perbuatan manusia. Ruh amat memerlukan jasad yang secara fizikalnya melengkapi hakikat insan dan begitu juga jasad yang memerlukan ruh bagi meneruskan kehidupan (Khairul Azhar, 2014). Ruh juga dinyatakan mempunyai keupayaan untuk berasa takut dan bergembira, semasa hidup di dunia dan di akhirat nanti.  Hal ini adalah bertepatan dengan apa yang digambarkan dalam al-Quran tentang keadaan dan perasaan manusia apabila mereka dihumban ke neraka dan juga kegembiraan mereka apabila menjadi penghuni syurga. Keadaan ini digambarkan Allah dalam surah az-Zumar, satu surah yang banyak  menceritakan hal berkaitan ahli syurga yang dipenuhi kegembiraan dan ahli neraka yang diselubungi kedukaan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah menyelamatkan orang-orang yang bertakwa kerana kemenangan mereka, mereka tiada disentuh oleh azab (neraka dan tidak pula) mereka berduka cita.” Surah az-Zumar, ayat 61.

Emosi Negatif : Sedih, Khuatir dan Benci dalam Panduan Al-Quran
Al-Quran menjelaskan emosi sedih sebagaimana firman Allah dalam surah kedua ayat 277, yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Pada mereka tidak ada kekhuatiran dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” Konsep emosi di sini jelas berhubung kait rapat dengan usaha dan amalan soleh yang dilakukan. Orang-orang yang mematuhi perintah dan panduan Allah, mereka akan mempunyai perasaan yang bebas dari kerisauan dan kesedihan. Selagi mana mereka terus tetap berada pada kebenaran, emosi yang positif akan dirasai.
Selain itu, berkenaan perasaan benci, al-Quran menyarankan tidak wujud kebencian yang melampaui batasan perikemanusiaan dan pada masa yang sama agar meletakkan rasa kebencian tersebut terhadap perkara yang membawa kepada syirik, kekejaman dan kemaksiatan (Khairul Azhar, 2014). Firman Allah yang bermaksud: “Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kebencian kamu terhadap sesuatu, padahal itu adalah amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal itu adalah amat buruk bagimu; Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah 2: 216). Dalam hal ini, manusia mempunyai keterbatasan ilmu terhadap perkara-perkara yang berlaku kepada mereka, tidak mengetahui rahsia kebijaksanaan di sebalik terjadinya sesuatu perkara. Falsafah emosi dalam al-Quran ini secara khusus apabila berdepan dengan perasaan, memberikan panduan kepada manusia itu menguruskannya dengan baik dan memperoleh hasil yang baik. Secara umumnya, perasaan benci dikaitkan dengan keburukan, namun sebagaimana diterangkan al-Quran, benci juga boleh membawa kebaikan sedang kita tidak mengetahuinya.

Nafsu yang Dirahmati, Membolehkan Emosi dalam Menyeru Kebaikan
Walaupun sifat dalaman dari dorongan nafsu selalu mengarah kepada keinginan dan amarah yang buruk, namun apabila nafsu tersebut diberi rahmat oleh Allah, maka ia akan menjadi daya positif dan membawa kebaikan. Hal ini sejajar dengan firman Allah SWT dalam Surah 12 ayat 53, “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyerukan pada perbuatan buruk, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhannya.” Kita dapat memahami bahawa nafsu yang dirahmati Allah itu sentiasa berusaha dan beramal dalam perkara-perkara kebaikan, mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Pencipta nafsu itu sendiri. Hasilnya, dengan kurniaan daripada Allah sendiri, kebiasaan perasaan dalaman yang terarah kepada perkara negatif berubah menuju kebaikan.

Al-Quran dan Pengendalian Emosi
Pengendalian emosi sangatlah penting dalam kehidupan manusia, khususnya untuk mengurangkan ketegangan yang timbul akibat konflik batin yang memuncak. Dalam konteks ini, al-Quran memberi petunjuk kepada manusia agar mengendalikan emosinya guna mengurangi ketegangan-ketegangan fizikal dan mental serta kesan negatifnya (R. Rachmy Diana, 2018). Sehubungan dengan ini al-Quran (Surah 2:216, Surah 3:91, Surah 4:79) banyak memberikan pelajaran tentang pentingnya manusia mengambil sisi baik pada setiap kejadian, walaupun pada mulanya itu sesuatu yang dianggap buruk dan tidak menyenangkannya. Cara tersebut dikenali hikmah, yang dapat membuat manusia tidak tenggelam dalam emosi negatif dan berfikir tentang kebaikan apa yang Allah kehendaki di sebalik tidak tercapainya sesuatu tujuan yang dihajati. Sebagai contoh apabila seseorang benar-benar berusaha untuk menikahi seorang insan yang amat dicintainya. Namun, usahanya menemui kegagalan. Pada hal yang lebih diketahui oleh Allah, kenikmatan dan pengurniaan pasangan hidupnya itu adalah suatu penangguhan. Kelak, dia akan dikurniakan dengan seorang pasangan hidup yang jauh lebih soleh/solehah yang akan terpelihara dengan zuriat yang baik-baik.
Zikrullah merupakan salah satu cara pengalihan manakala manusia mengalami kesulitan atau permasalahan sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran (Surah 13: 28). Mengingati Allah ini dapat berupa kalimah thayyibah, wirid, doa majupun tilawah Quran (R. Rachmy Diana, 2018). Kesan daripada tindakan tersebut, seorang muslim akan merasai ketenangan dalam menghadapi masalahnya, dan hal itu baik untuk menghasilkan sikap optimis ketika ada harapan yang tidak kesampaian. Zikrullah juga mampu mengalihkan emosi negatif yang dialami seseorang menjadi emosi positif kerana keadaan tenang dan damai yang dirasainya.
Selain itu, konsep emosi diuruskan secara empati dinyatakan dalam al-Quran.  Empati merupakan kesedaran dalam diri seseorang bagi merasakan apa yang sedang dialami orang lain. Melalui kesedaran berempati ini, pengalaman orang lain dapat diperoleh dalam mengurangkan gejolak emosi tatkala peristiwa yang sama menimpa dirinya. Islam menganjurkan sikap empati ini kerana dengan sikap ini akan melahirkan ketulusan dan dorongan untuk menolong orang lain. Pelbagai kisah dalam al-Quran bagaimana Rasulullah SAW mempunyai empati pada para Nabi sebelum Baginda (Surah 35:4,Surah 6 :34, Surah 22:42).
Emosi dendam dan marah dalam diri manusia diberikan petunjuk al-Quran bagaimana cara mengendalikannya. Antara ayat al-Quran yang menjelaskan tentang keutamaan memberi maaf : “iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik pada waktu lapang mahupun sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan” (Surah 3:134). Keupayaan menguruskan emosi negatif ini dinyatakan sekali dengan ganjaran kedudukannya yang menjadi orang yang disukai Allah kerana berbuat kebajikan, serta disebutkan sekali dengan kemampuan untuk menginfaqkan harta dalam segenap keadaan. Situasi sebegini dengan terang memandu manusia untuk memiliki kualiti emosi yang tinggi, terus maju ke depan dalam hidup tanpa terbelenggu dalam kekangan emosi marah dan tidak memaafkan orang lain. Dalam ayat-ayat yang lain, maksudnya: “Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal yang diutamakan.” (Surah 42: 43), “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang yang jahil.” (Surah 7:199), “Dan bersegeralah kamu mencari ampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa (iaitu) orang yang berinfa      , baik pada waktu lapang mahupun sempit dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.” (Surah 3: 133-134),  “Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.” (Surah 4: 149).

Menahan amarah dan mengawalnya merupakan satu sikap yang amat terpuji dan dituntut.  Allah SWT  menyifatkan antara ciri orang yang beriman dan bertawakkal kepada-Nya, dengan maksudnya: ”...dan apabila mereka marah, mereka segera memaafkan” (Surah 28: 37).
Dalam situasi yang dibolehkan mendapatkan keadilan dan hak, al-Quran memberikan petunjuk bagaimana perasaan dalam menghadapinya untuk berlaku adil, setara dalam pembalasan kepada seksaan yang diterima, dan jauh lebih hebat daripada itu, al-Quran menganjurkan sifat sabar yang dijanjikan pahala akhirat yang tiada hitungannya. Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar.” (Surah 16:126-127). “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.” (Surah 42:40).


4.0  KONSEP DAN FALSAFAH EMOSI MENURUT HADIS

Kelahiran Nabi Muhammad SAW ke alam ini sememangnya satu rahmat yang amat besar kepada seluruh isi kehidupan. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud ”Dan tidaklah engkau diutus wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam” (Surah 21:107), dan rahmat yang terhasil ini telah menyinari segenap ruang kehidupan manusia, meliputi pelbagai bidang kehidupan sebagaimana penuhnya segala isi antara langit dan bumi (Khairul Azhar, 2014). Secara khususnya, kedatangan Rasul ke alam ini adalah untuk mendidik umat manusia supaya berada dalam kesempurnaan akhlak dan sahsiah. Akhlak dan sahsiah adalah juga personaliti dan peribadi yang menjadi asas kepada pembentukan tingkah laku.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh kesempurnaan perasaan dan emosi yang sangat wajar dijadikan pegangan dan ikutan terbaik oleh semua insan. Baginda mengajarkan umat manusia apakah itu pengurusan emosi, berkenaan apakah emosi positif dan apakah emosi negatif, serta berkaitan kecerdasan emosi dan bagaiamna Islam menguruskannya. Perkara ini mungkin menjadi janggal bagi kita, namun hakikatnya adalah khazanah yang perlu dimanfaatkan, terkandung dalam rahmat yang dijanjikan Allah melalui pengutusan Baginda sebagai rasul terakhir.

Baginda telah mengajarkan untuk mengenali apa itu emosi, sama ada emosi negatif atau positif, dan bagaimana sifat emosi itu boleh berubah menjadi sesuatu yang membina atau merosakkan, berserta dengan cara pengendalian emosi. Ini menjadi asas kepada akhlak dan tingkah laku manusia, sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW yang terhasil dari natijah keimanan sebagai pendorong tingkah laku yang sebenar (Khairul Azhar, 2014).  Akhlak ini jugalah yang akan menentukan keredhaan Allah dan balasan syurga kerana sebaik-baik manusia dalam kalangan orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang amat baik perangai dan akhlaknya kepada orang lain. Disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Imam Tarmizi, sabda Nabi Muhammad SAW “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, dan iringilah kejahatan dengan perbuatan kebaikan, dan berperangailah kepada manusia dengan perangai yang baik”. Dapat difahami daripada hadis ini adalah takwa kepada Allah menjadi asas kepada setiap tindakan, termasuk aspek emosi. Apabila berlaku sesuatu emosi yang tidak positif, ikuti selepasnya dengan emosi positif dan selanjutnya manusia diseru untuk membawa dan memperlihatkan emosi yang baik kepada manusia yang lain.

Hati Sebagai Pusat Kesihatan Seluruh Anggota Badan
Sebagaimana sinaran panduan al-Quran menyatakan hati nurani yang sejahtera menjadi satu-satunya perkara yang bermanfaat di akhirat, hadis Rasulullah SAW turut menerangkan kedudukan hati nurani menjadi pusat bagi kesihatan seluruh anggota badan yang lain. Jika hati adalah baik, anggota-anggota badan lain juga adalah baik. Jika hati dalam keadaan sebaliknya, semua anggota badan lain turut sama menjadi tidak baik. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud : ”Ketahuilah, sesungguhnya dalam tubuh manusia ada segumpal daging, jika segumpal daging itu baik, maka akan baik seluruh tubuh manusia, dan jika segumpal daging itu buruk, maka akan buruk seluruh tubuh manusia, ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati manusia.” Kita sedia maklum bahawa manusia terdiri daripada dua dimensi utama dalam hidupnya, iaitu rohani (bersifat dalaman yang tidak dapat dilihat mata kasar) dan jasmani (bersifat luaran, pada jasad yang dilihat mata kasar). Emosi termasuk dalam bahagian dalaman. Maka nyata di sini, emosi turut dikawal dan dipengaruhi oleh kedudukan dan keadaan hati. Hati nurani yang bersih, sentiasa bertaubat kepada Allah, adalah hati yang kuat dan mempunyai perasaan yang sentiasa baik. Hati tersebut mampu bersangka baik, gembira, optimis dan seumpamanya. Jika berhadapan dengan perasaan takut, sedih, kecewa dan lain-lain, hati akan memandunya dalam cara yang betul.  

Emosi Sabar, Syukur dan Pemaaf
Ajaran Islam memiliki dua mekanisme dalam pengendalian emosi dan menguruskan masalah, iaitu mekanisme sabar dan syukur serta pemaafan. Sabar ialah jalan terbaik agar seseorang tidak larut dalam emosi negatif (R. Rachmy Diana, 2018). Secara teori dan praktikal, suatu peristiwa yang menimbulkan emosi utama dapat disusuli oleh beberapa emosi minor. Seperti yang dikisahkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW: “Nabi SAW menjumpai seorang wanita sedang menangis di sebuah kubur (dalam riwayat lain menangisi kematian anaknya) lalu memberikan, “Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah!” Wanita itu menjawab dalam keadaan marah kerana tidak mengetahui yang menasihatinya itu ialah Nabi, “ Bukan urusanmu, kamu tidak merasakan musibah yang saya alami!”. (Selepas beberapa ketika) wanita itu datang ke rumah Nabi SAW dan mengatakan: ”Mohon maaf, saya tidak mengenalimu pada waktu itu (sekarang aku sudah bersabar)”. Kemudian Nabi bersabda: “Sabar itu pada benturan pertama (pada awal peristiwa)” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasaai, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad). Kesedihan mendalam seorang ibu atas kematian anak yang disayangi dalam hadis tersebut adalah emosi major. Manakala ada pihak yang cuba menasihati itu menimbulkan reaksi emosi kedua (minor pertama) iaitu marah. Penyesalan atas kemarahan yang ditunjukkan kepada orang yang bermaksud untuk memberi nasihat adalah emosi minor kedua. Setelah diketahui bahawa pemberi nasihat itu adalah Rasulullah SAW, timbul rasa bersalah bercampur rasa malu sebagai emosi minor ketiga dan keempat. Seluruh emosi yang timbul itu akan menambah beban masalah bagi yang pihak mengalaminya. Oleh sebab demikian, adalah tepat apabila Islam mengajarkan tindak balas terbaik semasa seseorang ditimpa masalah atau kesulitan adalah dengan bersabar.

Emosi Syukur
Selain sabar, Islam melalui lisan Nabi Muhammad SAW mengajarkan kepentingan pengendalian emosi melalui cara banyak bersyukur. Syukur adalah sebuah bentuk pengakuan bahawa segala kenikmatan berasal dari Allah dan akan kembali kepada-Nya pada bila-bila dikehendaki Allah. Sikap ini dalam menjaga seorang mukmin dari sikap berlebihan (euforia) dalam menerima kesusahan atau kemudahan. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah 57:23). Keadaan ini adalah pertengahan, sederhana, moderate, dan tidak berada dalam mana-mana satu hujung ekstrem. Istilah wasatiyah merujuk kepada perkara ini, dan dalam al-Quran turut dinyatakan bahawa umat Nabi Muhammad SAW adalah umat wasatiyah dan terbaik. Justeru, dalam memahami emosi juga, sikap bersederhana juga memberikan impak yang positif dan menguntungkan. Dapat kita perhatikan dalam situasi harian dan pengalaman hidup, apabila seseorang itu terlalu bergembira atau terlalu bersedih, kebiasaanya akan disertai akibat yang kurang baik. Oleh sebab yang demikian, pengendalian emosi secara sederhana adalah optimum bagi manusia.

Sifat Pemaaf dalam Pengurusan Emosi
Pemaafan (forgiveness) adalah strategi yang penting dalam Islam (R. Rachmy Diana, 2018).  Rasulullah SAW adalah peribadi agung yang sangat terkawal emosinya dan mampu menahan kemarahannya terhadap pencetus-pencetus unsur negatif yang dihadapi. Al-Quran menggambarkan bahwa sekiranya Baginda termasuk dalam kalangan orang yang kasar dan keras hati, nescaya umat telah meninggalkannya (Surah 3:159). Menahan marah tidak bermaksud menyimpannya yang selanjutnya diletuskan pada waktu tertentu. Pemberian maaf adalah proses meleburkan semuanya dan menghadirkan kelapangan dalam hati. Di samping itu, keutamaan sikap memberikan kemafaan ini turut dijelaskan dalam al-Quran, dan pastinya tindakan sama sekali tidak menjatuhkan maruah, bahkan diberikan ganjaran pahala yang besar di akhirat nanti. Firman Allah bermaksud: “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi barang siapa memaafkan dan berbuat baik (kepada orang yang berbuat jahat) maka pahalanya daripada Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim.” (Surah 42: 40) Dalam sudut perundangan Islam, dalam kategori kesalahan qisas, waris si mati diberikan ruang untuk memaafkan si pembunuh jika mereka mahu. Apabila dimaafkan, hukuman bunuh kepada si pembunuh tidak dikenakan.

Emosi Marah dan Pengendaliannya
Marah adalah emosi bersifat negatif yang agak dominan, dan sering dihadapi setiap insan dalam kehidupan seharian. Rasulullah SAW memberikan perhatian dan pengajaran kepada umatnya dalam bab perasaan marah dan serta cara pengendaliannya. Marah adalah satu perasaan yang wujud secara semula jadi dalam diri setiap manusia. Marah juga adalah satu ekspresi yang muncul kadang kala secara spontan sewaktu kita disakiti, dizalimi atau menghadapi sebarang masalah. Nabi SAW sendiri pernah berasa marah dalam beberapa keadaan, antaranya peristiwa Usamah bin Zaid yang pernah membunuh seorang musuh di medan perang, meskipun dia telah mengucapkan syahadah. Nabi SAW berkata kepada beliau, dengan maksudnya: ”Apakah kamu membunuhnya sedangkan dia telah mengucapkan La ilaha illa Allah?” Usamah menjawab: ”Dia hanya mengucapkannya kerana takut dibunuh.” Nabi SAW membalas: ”Apakah kamu telah membelah hatinya untuk mengetahui sama ada dia benar-benar beriman atau  tidak? (Sahih Muslim: 96). Diriwatkan oleh Imam Tirmizi satu hadith marfu’, yang menyifatkan sifat marah Nabi SAW dengan maksudnya: Perkara keduniaan tidak membuat Nabi marah. Adapun jika menyanggahi kebenaran, tiada apapun yang mampu berdepan Baginda, sehingga Baginda memenangkan kebenaran itu. Nabi juga tidak marah jika ia melibatkan urusan peribadi Baginda, dan tidak berusaha untuk memenangkan diri Baginda (Al-Syama’il Al-Muhammadiyah: 218).
Dalam satu hadis yang masyhur yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, dengan maksudnya: Seorang pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW, dan Nabi bersabda: ”Janganlah kamu menuruti amarah.” Dia mengulangi pertanyaannya, dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali (Sahih al-Bukhari :6116). Nabi SAW juga pernah bersabda yang maksudnya: ”Seorang yang kuat itu bukanlah yang handal bergusti; seorang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah” (Sahih al-Bukhari :6114, Sahih Muslim: 2609). Ini adalah sudut pandang dan kualiti akhlak yang dididik oleh Baginda Nabi SAW betapa kekuatan hakiki adalah kekuatan dalam mengawal perasaan marah, yang kita sedia maklum adalah sesuatu perkara yang tidak mudah dilakukan. Nabi SAW dalam sabda Baginda yang lain pula menyebut dengan maksudnya: ”Sesungguhnya Allah SWT sewaktu selesai dengan urusan penciptaan-Nya, telah menulis pada ‘Arasy-Nya: Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemarahan-Ku.” (Sahih al-Bukhari 7422, Sahih Muslim: 2751).
Terdapat beberapa pesanan yang Baginda SAW titipkan kepada kita sewaktu kita sedang marah, antaranya adalah duduk jika sedang berdiri, berbaring jika sedang duduk. Sabda Baginda SAW yang maksudnya: ”Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.” (Sunan Abi Daud: 4782). Selain itu, cara yang diajarkan untuk mengawal kemarahan adalah dengan mengambil wudhu. Maksud hadis: Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwudhu (Sunan Abi Daud: 4784). Perasaan marah mengandugi risiko keburukan yang banyak dan besar. Oleh sebab yang demikian, Baginda SAW mengajarkan umatnya untuk mengelak daripada membuat sebarang keputusan besar. Dalam sebuah hadis, direkodkan sabda Baginda SAW dengan maksudnya: Tidak boleh seseorang itu menghakimi antara dua orang dalam keadaan marah (Sahih Muslim :1717). Mafhum hadis ini juga tidak seharusnya disempitkan kepada bab penghakiman seorang hakim sahaja, tapi seharusnya terpakai dalam keadaan-keadaan lain yang memerlukan penetapan keputusan yang kritikal, terutamanya jika melibatkan urusan orang ramai. Ambil sedikit masa untuk menenangkan diri sebelum mengambil sebarang keputusan. Selain daripada mengelakkan pengambilan keputusan besar semasa marah, umat Nabi Muhammad SAW juga diajarkan untuk diam semasa berdepan perasaan marah. Maksud hadis: Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam (Al-Adab al-Mufrad: 245). Berdiam diri sewaktu marah adalah lebih baik, kerana dalam keadaan marah, perkataan-perkataan yang diungkapkan berkemungkinan akan mengguris perasaan orang lain dan mungkin memberi ancaman kepada diri sendiri. Begitu pula dalam hadits Nabi SAW banyak yang mengingatkan pengikutnya untuk selalu mengawal emosi agar terciptanya kehidupan yang selaras dan seimbang. Salah satunya adalah pesan Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh al-Bukhari, Malik dan at-Tirmidzi, Abu Hurairah berkata dengan maksudnya: “Ada seseorang yang berkata kepada Nabi, nasehatilah saya! Beliau berkata: “Janganlah kamu marah.” Orang itu berkata lagi beberapa kali dan Rasul tetap menjawab: “Janganlah kamu marah.”. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ath Thabrani, Rasulullah SAW menjawab janganlah marah ketika ada orang yang bertanya tentang apa yang boleh menyelamatkannya daripada murka Allah (Najati, 2001; Najati, 2005).

Meskipun secara umumnya marah dianggap sebagai satu perasaan dan ekspresi yang negatif, namun dalam beberapa keadaan, rasa amarah itu dibenarkan oleh syarak. Sebagai contoh, rasa marah apabila agama Islam dihina atau marah apabila berlakunya kezaliman dan penindasan ke atas golongan yang lemah. Namun rasa amarah itu tetap perlu dikawal dan disalurkan melalui jalan yang betul, dan tidak membiarkan rasa marah itu menguasai diri hingga membawa kepada tindakan-tindakan diluar batasan syarak. Panduan melalui pesanan-pesanan Baginda Nabi SAW amat wajar dijadikan pedoman dalam mengubati sikap panas baran dan mengawal rasa marah agar tidak menghilangkan pedoman dan akal waras seseorang.


5.0  KONSEP DAN FALSAFAH EMOSI MENURUT ULAMA-SARJANA ISLAM

Elemen jiwa dan emosi menjadi perhatian awal dalam pendidikan psikologi Islam. Emosi menurut ahli psikologi Islam sama seperti potensi fitrah yang lain, melalui proses pertumbuhan dan perkembangan. Ahli-ahli falsafah Islam seperti al-Kindī (801-873), Ibn Sīna (980-1037), al- al-Ghazālī (1058-1111) dan Ibn Khaldūn (1332-1395) berjaya mengembangkan kajian-kajian tentang kemanusiaan dan psikologi yang telah diperkenalkan oleh ahli-ahli falsafah Greek seperti Plato dan Aristotle. Banyak tulisan dan manuskrip para sarjana ini yang membincangkan tentang iman dan amal soleh serta hubungan elemen ini dalam membentuk kecerdasan emosi dan spiritual seseorang. Ibn Sina yang berpandangan hati manusia mempunyai kemampuan secara teori dan praktikal yang membentuk kecerdikan atau kecerdasan minda, kerana hati itu sendiri boleh mencapai idea yang tidak disedari oleh seseorang melalui perasaan, imaginasi dan anggaran. Beliau menganggap kebolehan tersebut sebagai faktor utama kepada tingkah laku (Norsaleha & Hafizah, 2016). Dalam membicarakan konsep emosi dalam Islam, keperibadian dalam literatur Islam difahami sebagai integrasi sistem qalbu, akal dan nafs manusia yang mengarahkan tingkah laku  (Mujib & Mudzakir, 2001; Nashori, 2008; Sutoyo, 2007). Qalbu adalah potensi fitrah ilahiyah/ketuhanan yang merupakan aspek supra kesedaran manusia yang memiliki daya emosi (rasa) dan moral. Akal merupakan fitrah insaniyah/kemanusiaan sebagai aspek kesedaran manusia yang memiliki daya kognitif. Sedangkan nafsu (fitrah hayawaniyah) merupakan aspek pra atau bawah kesedaran manusia yang memiliki daya konasi (karsa) (R. Rachmy Diana, 2018). Dalam perspektif psikologi Islam, ada tiga keadaan saat terjadi konflik antara qalbu, akal, dan nafsu. Pertama adalah diri yang tenang (al-nafs al-mutmainnah), di mana qalbu mengendalikan akal dan nafsu. Kedua adalah diri yang terumbang-ambing (al-nafs allawwamah), yang ditandai oleh dominasi akal atas qalbu dan nafsu. Ketiga adalah diri yang tergadaikan (al-nafs al-ammarah), yaitu ketika nafsu menguasai aalbu dan akal (Nashori, 2008). 

Peranan Hati terhadap Emosi
Imam al-Ghazali banyak membahaskan fenomena emosi, tindak balas emosi manusia terhadap persekitaran serta penyakit hati yang membelenggu kehidupan manusia untuk terus hidup tenang. Begitu juga Ibn Taymiah dan Aidh al-Qarny telah mengupas perkara-perkara yang menghalang seseorang mencapai bahagia, antaranya ialah penyakit hati dan jauhnya manusia daripada Tuhan (Norsaleha & Hafizah, 2016). Najati (1993) menyatakan golongan sarjana Islam mendahului sarjana Barat dalam pengkajian terhadap jiwa dan emosi manusia dengan mengemukakan kaedah dan penyelesaian yang menyeluruh terhadap permasalahan jiwa dan emosi. Apa yang menarik dalam kajian dan metodologi mereka adalah perkaitan permasalahan jiwa dan hati dengan pentauhidan kepada Allah SWT serta kekuasaan Allah SWT ke atas semua makhlukNya. Imam al-Ghazali berpendapat dorongan yang mendominasi fikiran dan penilaian baik dan buruk hendaklah dikawal dan diselenggara dengan baik. Hati manusia haruslah ditransformasikan menuju kesempurnaan. Tingkat yang paling tinggi adalah hati yang bersih daripada sebarang kejahatan dan perasaan yang buruk kepada orang lain dan terselamat daripada hasad dengki serta sentiasa berhubungan dengan Allah Taala. Menurut Imam al-Ghazali (1994), rahsia ketenangan hati seseorang ialah apabila ia kembali menyerahkan dirinya kepada Allah Taala. Beliau turut berpendapat manusia sebenar mampu berubah, boleh diubah dan dibentuk serta melakukan transformasi dalam kehidupannya.

Perasaan Kebahagiaan Sebenar
Ketika membahaskan isu kebahagiaan yang sebenar, Imam al-Ghazali berpendapat manusia boleh mencapai bahagia apabila manusia berjaya mendidik dirinya mengenal empat perkara, iaitu mengenal diri sendiri, mengenal Allah SWT, mengenal alam dunia dan mengenal alam akhirat. Mengenal diri sendiri menjadi konteks pendidikan pertama seseorang, sekiranya  ingin mencapai bahagia.  Dalam hal ini, Imam al-Ghazali berpendapat diri manusia terbahagi kepada fizikal dan batin. Sebagaimana manusia mengenali tabiat dan sifat fizikal yang dimilikinya, manusia juga perlu mengenali tabiat dan sifat batin yang tersembunyi dalam dirinya. Sehubungan dengan itu, hati manusia diibaratkan seperti raja kepada segala anggota badan manusia, di mana dalam hati itulah bertempatnya nafsu dan emosi manusia. Allah SWT menciptakan hati manusia dengan berbagai-bagai sifat dan ragam. Ada masanya hati manusia itu keluh kesah, ada masanya hati manusia itu tenang, ada masanya dia pendendam, marah, gembira dan ada waktunya hati manusia itu dalam ketakutan dan kebimbangan. Semua perasaan yang wujud dalam hati manusia ini memerlukan bimbingan dan panduan agar dia terus berada dalam landasan yang benar dan diredai Allah SWT.  Menurut Imam al-Ghazali, apabila manusia mengenal dirinya sendiri, lebih mudahlah dia mengawal dan menentukan  halatuju dirinya dan tidak membiarkan dirinya musnah dan hancur kerana pujukan hawa nafsu yang tidak pernah puas dan menerima segala ketentuan Allah SWT. Beliau juga berpendapat mengenal jiwa manusia akan membawa kepada mengenal Allah SWT dan menerima hakikat kejadian mereka sebagai hamba yang perlu patuh dan taat kepada ketentuan Allah SWT.

Kaitan Emosi dan Hubungan dengan Allah
Ahli psikologi Islam seperti Imam al-Ghazali, Al-Kindi, Muhammad Uthman Najati dan Muhammad Izzudin Taufik berpandangan, emosi yang tidak tenang ini adalah kerana manusia tidak mendekatkan atau menghubungkan diri dengan Allah. Sebaliknya mereka banyak menurut hawa nafsu. Oleh itu, emosi yang tertekan ini perlu diubati dengan seruan dakwah Islamiah dengan menggunakan uslub atau pendekatan yang sesuai (Fariza Md Sham, 2005). Seseorang akan mencapai ketenangan hati apabila mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah SWT apabila banyak menyerahkan urusan hidupnya di bawah ketentuan dan takdir Ilahi. Menurut Imam al-Ghazali ketenangan hati seseorang akan tercapai apabila ia mengetahui tentang hakikat dirinya sebagai seorang hamba, menyedari hubungannya dengan Allah SWT sebagai seorang hamba yang mesti akur dan pasrah kepada ketentuan Tuhannya, mengakui kewujudan alam akhirat sebagai tempat terakhir kehidupan dan sentiasa membina hubungan yang baik dengan manusia, binatang dan alam keseluruhannya. Apabila manusia berjaya memperoleh keempat-empat nilai ini dalam hidup ini, ia akan mendapat ketenangan hati yang sebenar (Norsaleha & Hafizah, 2016).

6.0  KESIMPULAN
Ketiga-tiga sudut penilaian yang utama : al-Quran, Hadis dan pandangan ulama-sarjana Islam dalam membicarakan konsep dan falsafah emosi pada asas utamanya berpaksikan hati dan kembalinya diri seseorang hamba itu kepada Penciptanya. Hati ialah nukleus, pusat kawalan keseluruhan badan manusia, baik secara batiniah mahupun secara zahiriah. Panduan al-Quran dan hadis secara pasti adalah panduan hakiki yang datang daripada Allah selaku Pencipta manusia dan emosi. Allah Maha Tahu rahsia dan hakikat emosi serta menunjukkan panduan pengurusannya.

7.0  RUJUKAN

Al-Ghazālī , Abū Hamīd Muhammad ibn Muhammad. 1994. Majmu’ah rasa’il al-Imam al-Ghazālī . Lubnan: Dar al-Kutub al-Ilmiah
Dewan Bahasa dan Pustaka, laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu : http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=emosi 
Fakhir ‘Akil. 1985. Mu‘jam ‘ilm al-Nafs. Beirut: Dar El-Ilm Lil Malayin
Ibn Taymiyah, Ahmad. T. th. Amrādh al-qulūb wa syifā’uha. Jil. 10. Majmū’ah fatāwa Syeikh al-Islam Ahmad bin Taymiyah. Saudi: al-Ri’āsah al-cāmah li syu’ūn al-haramayn al-syarīfayn.
Khairul Azhar bin Idris. 2014. Psikologi dan Pengurusan Emosi Rasulullah SAW. Artikel dalam laman Institut Kefahaman Islam Malaysia: http://www.ikim.gov.my/index.php/2014/01/16/psikologi-dan-pengurusan-emosi-rasul-saw/
Muhammad ‘Uthman Najati. 1993. al-Qur’an wa ‘ilm al-nafs. Cet. 5. al-Qahirah: Dar al-Shuruq.
Mujib, Abdul dan Jusuf Mudzakir. 2001. Nuansa-nuansa Psikologi Islam. Jakarta: Rajagrafindo Persada 
Najati, M Utsman. 2001. Al-Quran dan Ilmu Jiwa. Bandung: Penerbit Aras Pustaka.
Najati, M Utsman. 2005. Hadits dan Ilmu Jiwa. Terjemahan. Bandung: Penerbit Pustaka
Najāty, Muhammad Uthmān. 1993. al-Dirāsāt al-nafsāniyah cinda al-culamā’ al-muslimīn. Beirut: Dār al-Syurūq.
Najāty, Muhammad Uthmān. 1993. al-Hadīs al-nabawy wa ilm al-nafs. Beirut: Dār al-Syurūq.
Nashori, H. Fuad. 2008. Potensi-potensi Manusia. Yogyakarta: Penerbit Pustaka Pelajar.

Norsaleha Mohd. Salleh, Noor Hafizah Mohd. Haridi. 2016. Konsep Kecerdasan Emosi Dalam Islam. Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2016 (IRSYAD2016), Shah  Alam, 10 Mei  2016
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Al-Kafi #877: Nasihat dan Tips untuk Mengawal Kemarahan. 2018. https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2731-al-kafi-877-nasihat-dan-tips-untuk-mengawal-kemarahan
R. Rachmy Diana. 2018. Pengendalian Emosi Menurut Psikologi Islam. Program Studi Psikologi UIN Sunan Kalijaga, Yogyakarta, hlm. 43.
Sham, F. M. 2005. Tekanan Emosi Remaja Islam. Jurnal Islamiyyat. 27(1), hlm.7
Sutoyo, Anwar. 2007. Bimbingan dan Konseling Islami. Semarang: Cipta Prima Nusantara
Taufiq Yap Yun Hin,  Prof. Dr. . Contohi Sikap Pemaaf Rasulullah.  Artikel bertarikh 5 Julai 2018 dalam laman akhbar  Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/addin/2018/07/354859/contohi-sikap-pemaaf-rasulullah



Ahad, 19 April 2020

Isu Minyak Sawit, Penjagaan Alam Sekitar, Biodiversiti


Soalan:
1.     Perubahan iklim merupakan sesuatu yang memberi kesan yang besar kepada manusia. Huraikan SATU punca perubahan iklim yang anda faham serta SATU kesannya kepada manusia. (5 markah)

Salah satu punca perubahan iklim ialah pemanasan global, yang disifatkan berkaitan dengan perkembangan kesan rumah hijau (greenhouse effect), pemanasan yang terhasil apabila ruang atmosfera memerangkap haba yang terpancar dari bumi ke angkasa lepas.

Sesetengah gas dalam atmosfera menyekat haba daripada terbebas. Gas-gas yang mempunyai jangka hayat panjang akan bertahan secara separa kekal di dalam atmosfera dan tidak bertindak balas secara fizikal atau kimia terhadap perubahan suhu, yang digambarkan sebagai “memaksa” perubahan iklim. Gas seperti wap air, yang bertindak balas  secara fizikal dan kimia terhadap perubahan suhu adalah dilihat sebagai “feedbacks”.

Gas-gas yang menyumbang kepada kesan rumah hijau adalah termasuk, antaranya:
Wap air. Gas rumah hijau paling banyak, dan penting sekali wap air bertindak sebagai feedbacks kepada iklim dan cuaca. Wap air meningkat apabila atmosfera bumi memanas, dan juga kemungkinan untuk awan dan pemendakan, yang menjadikannya sebagai mekansime feedbacks yang paling penting terhadap kesan rumah hijau.
Karbon dioksida (CO2). Komponen yang minor tetapi sangat penting bagi atmosfera. Karbon dioksida dibebaskan melalui proses semula jadi seperti respirasi dan letusan gunung berapi, dan melalui aktiviti-aktiviti manusia seperti penebangan hutan, perubahan penggunaan tanah, dan pembakaran bahan api fosil. Manusia telah meningkatkan kepekatan kandungan CO2 atmosfera lebih dari satu pertiga sejak Revolusi Perindustrian bermula. Ini adalah faktor “memaksa” jangka masa panjang yang paling penting terhadap perubahan iklim.
Metana (methane). Gas hidrokarbon yang terhasil daripada sumber semula jadi dan aktiviti manusia, termasuk proses penguraian sisa pepejal di kawasan tambunan (landfills), agrikultur. Pada peringkat molekul-ke-molekul, metana adalah jauh lebih aktif dari segi fungsi sebagai gas rumah hijau berbanding karbon dioksida, dan metana juga adalah kurang wujud dalam atmosfera.
Nitrous oxide. Gas rumah hijau yang berkuasa dan terhasil proses penghasilan/pengusahaan tanah, secara khusus dalam penggunaan sebagai baja komersil dan organic.
Chlorofluorocarbons (CFCs). Sebatian sintetik secara keseluruhan asalnya dari tujuan industri. Boleh menyumbang kepada pemusnahan lapisan ozon. Juga berperanan sebagai gas rumah hijau.

Kesan kepada manusia :

Secara purata, bumi menjadi lebih panas. Sebahagian kawasan mungkin mengalu-alukan suhu lebih panas, tetapi kawasan lain mungkin tidak menginginkannya. Manusia akan berasa tidak selesa, penggunaan kipas, penyejuk udara lebih tinggi, kemudiannya akan menyebabkan pembebasan gas yang meningkatkan kesan pemanasan (contoh dari bekalan elektrik yang terhasil dari pembakaran arang batu membebaskan gas karbon dioksida).

Keadaan yang lebih panas akan membawa kepada lebih penyejatan dan pemendakan secara umum. Sebahagian kawasan menjadi lebih kering, yang lain menjadi lebih basah. Kadar kelembapan berbeza boleh membawa kesan kesihatan yang berbeza kepada manusia, seperti alahan kulit, penyakit yang mudah tersebar dan dihadapi kerana kelembapan udara. Contoh risiko kesihatan merangkumi : malaria, demam denggi, strok haba dan lain-lain.

Kesan rumah hijau yang lebih kuat akan memanaskan lautan dan sebahagiannya mencairkan glasier dan ais lain, seterusnya meningkatkan paras air laun. Apabila air laut memanas, air laut juga akan mengembang dan seterusnya meningkatkan paras air laut. Ini akan menyebabkan banyak kawasan sedia ada yang hampir kepada pesisiran pantai akan ditenggelami air, dan manusia perlu berpindah-randah mencari tempat yang baru.

Musim tanpa frost dan musim bercucuk tanam tumbuh akan menjadi lebih panjang. Keadaan ini akan menjejaskan ekosistem dan agrikultur.

Corak pemendakan (precipitation) akan berubah. Secara khusus pemendakan pada musim sejuk dan bunga dijangka bertambah.

Kemarau dan gelombang haba akan bertambah. Hal ini membawa kepada pengurangan kelembapan tanah, akibat gelombang haba, lalu menjejaskan kesuburan tanaman makanan dan tumbuhan menjadi sumber kepada manusia.
(539 patah perkataan)
Rujukan:
Global Climate Change, NASA :
https://climate.nasa.gov/causes/

2.     Huraikan apa yang anda faham mengenai krisis biodiversiti menggunakan SATU contoh hidupan yang berada di Malaysia. Apa langkah yang boleh diambil oleh kita untuk membendung krisis ini? Huraikan SATU langkah yang anda tahu. (5 markah)

Krisis biodiversiti merujuk kepada masalah yang timbul akibat ketidakseimbangan, ancaman, kematian hidupan-hidupan yang sedia ada hidup di muka bumi, kehilangan kepelbagain genetik hidupan pada kadar yang semakin cepat, merangkumi spesis dan ekosistem.

Menggunakan satu contoh hidupan berada di Malaysia : gajah, krisis biodiversiti ini dapat difahami. Gajah diburu oleh pemburu haram dan kejam, terutamanya untuk mendapatkan gading, kaki dan ekor haiwan ini. Penduduk tempatan dipercayai memberikan bantuan kepada pemburu haram. Organ-organ ini mendapat permintaan tinggi terutamanya pasaran antarabangsa, memberikan harga yang sangat lumayan. Hal ini menjadi sebab utama haiwan ini dibunuh. Sebagai salah satu contoh,
Gajah Pygmy Borneo adalah spesies yang dilindungi di bawah ‘Spesies Dilindungi Sepenuhnya’, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997. Di samping itu, konflik dengan manusia juga menjadi faktor lain mengancam hidupan gajah apabila habitat haiwan liar tersebut diganggu dengan mengambil kira kes-kes kematian gajah yang bukan semata-mata dengan sebab pembunuhan oleh pemburu haram.

Ada gajah mati akibat terpijak jerat, ada kena racun sengaja atau tidak. Kerana habitat diganggu, konflik tercetus apabila gajah ke ladang untuk mencari makanan, tidak tahu kawasan itu bahaya atau tidak. Antaranya adalah kerana gajah suka kepada kelapa sawit. Wujud konflik dengan manusia.

Apakah kesan kematian gajah kepada biodiversiti dan keseimbangan ekosistem?
Penurunan besar jumlah gajah, sekali gus memberikan impak serius terhadap alam sekitarkita. Menurut laman web One Green Planet, bilangan gajah dan jumlah pokok sangat berkait rapat. Penyelidik mengesan corak menyedihkan dan merisaukan, iaitu dalam kawasan gajah pupus, sesetengah spesies pokok turut pupus kerana gajah adalah spesis paling penting dalam membantu penyebaran banyak benih pokok dan tanaman dalam masa singkat. Di hutan Asia, biji benih besar memerlukan haiwan herbivor gergasi seperti gajah untuk menyebarkan benih. Di samping itu, selepas gajah makan tumbuhan, akan wujud ruang kosong bagi tumbuhan dan haiwan lain menggunakan ruang tersebut. Najis gajah juga dapat menjadi baja yang subur bagi tumbuhan lain, kerana makanan gajah adalah daripada pelbagai jenis tumbuhan.

Apa langkah yang boleh diambil oleh kita untuk membendung krisis ini?
Antara langkah yang dapat diambil ialah melalui strategi konservasi. Hal ini perlu mempunyai kesedaran tentang penekanan terhadap konservasi hidupan liar secara menyeluruh kerana gajah merupakan spesis utama yang memerlukan habitat yang luas.
Perlindungan habitat gajah bermakna juga perlindungan kepada pelbagai biologi kawasan tersebut. Strategi konservasi meliputi tindakan pengurusan, penyelidikan, inventori, kewangan, Kerjasama peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pertimbangan terhadap pengurusan populasi gajah – bergantung kepada saiz kumpulan, saiz habitat serta keadaan habitat itu.
Kaedah tindakan berdasarkan keadaan, saiz kumpulan dan tahap gangguan – seperti tembak halau, tangkap dan pindah, pagar elektrik dan parit.
Penyelidikan gajah – meliputi aspek-aspek seperti populasi, taburan, pergerakan, permasalahan gajah, pemakanan, deria gajah dan seumpamanya.
Pencegahan ancaman gajah – daripada memasuki kawasan tanaman dengan cara tradisional seperti menakutkan gajah dengan cara membuat bising, membakar tayar, membuat unggun api dan cara moden seperti sistem pagar berelektrik.
Kerjasama dengan agensi pertanian – pembukaan tanah baru bagi pertanian perlu ambil kira faktor yang menjejaskan habitat semula jadi gajah.
(475 patah perkataan)
Rujukan:
3.     Pencemaran air, udara dan sisa pepejal banyaknya berpunca daripada manusia. Setelah anda fahami keadaan kritikal dunia yang sedang mengalami pencemaran yang teruk, apa langkah-langkah yang anda boleh amalkan sendiri di rumah bersama keluarga? Huraikan TIGA langkah tersebut. (6 markah)


Langkah-langkah boleh diamalkan sendiri di rumah untuk mengelakkan pencemaran:
Mengasingkan sampah yang boleh dikitar semula.  Terdapat tiga jenis sampah utama yang boleh dikitar semula : kertas, plastik dan botol kaca. Di rumah, boleh disediakan tiga bekas berasingan untuk diletakkan sampah-sampah kitar semula ini. Diri sendiri dan setiap ahli keluarga dipupuk dan diajar untuk sentiasa terus memasukkan sampah-sampah kitar semula itu ke dalam bekas kategorinya. Selanjutnya, sampah-sampah ini dihantar ke tempat / pengumpulan sampah kitar semula yang terdekat.

Elakkan penggunaan bahan yang menghasilkan sampah. Elakkan menggunakan produk yang boleh dihapuskan selepas guna (disposable products
) seperti pinggan, cawan, kain napkin, sudu garfu plastik / kertas yang hanya diguna sekali, kemudian dibuang. Keadaan ini menyebabkan kadar penghasilan sampah yang lebih cepat dan banyak, justeru membawa kepada pencemaran alam. Sebaliknya, pilihan yang lebih selamat dan baik adalah menggunakan pinggan mangkuk dan sudu garfu yang terus boleh digunakan lagi selepas mencucinya, menggunakan tuala / kain pengelap dan basuhan yang boleh digunakan semula, berbanding tuala kertas (paper towels) dan span cucian yang hanya dapat digunakan sekali.

Gunakan kertas guna semula bagi tujuan di rumah. Caranya boleh dilakukan dengan mencetak pada kedua-dua belah muka surat (depan dan belakang). Di samping itu, mana-mana kertas yang telah digunakan pada salah satu muka halaman, dan halaman satu lagi masih kosong, kertas itu masih tetap boleh digunakan. Sebagai contoh sebagai kertas lakaran / conteng kasar (scrap paper), boleh juga dijadikan kertas bagi pelbagai jenis catatan seperti barang-barang untuk dibeli, peringatan dan lain-lain. Juga, sikap penjimatan perlu diamalkan semasa mengguna kertas, seperti penggunaan saiz tulisan dan ruang kertas yang tidak membazir. Hal ini semuanya dapat mengelakkan pembaziran kertas, dan kertas dihasilkan dari pokok-pokok. Pembaziran kertas membawa kepada pencemaran alam, penebangan pokok-pokok.

(279 patah perkataan)

4.     Dengan pembacaan dan kajian anda buat sendiri, huraikan satu ISU SEMASA yang berkaitan dengan pembangunan lestari dan kesan kepada ekonomi dan sosial. Lampirkan petikan akhbar yang berkaitan serta berikan pandangan anda mengenainya. (4 markah)

ISU SEMASA yang berkaitan dengan pembangunan lestari dan kesan kepada ekonomi dan sosial : Isu Minyak Kelapa Sawit

Kesatuan Eropah (EU) mengenakan tekanan dan sekatan terhadap produk minyak sawit Malaysia. Malaysia akan meningkatkan eksport minyak kelapa sawit ke pasaran sedia ada sekiranya Kesatuan Eropah (EU) terus mengenakan sekatan terhadap import komoditi itu dari negara ini.  Aktivis-aktivis alam sekitar menyatakan industri kelapa sawit ini banyak membawa kesan buruk terhadap planet bumi. Isu-isu yang dinilai kesan buruk akibat industri minak kelapa sawit adalah antaranya kerana penebasan hutan untuk tujuan penanaman pokok kelapa sawit. Penghasilan minyak kelapa sawit dikatakan telah menjadi punca kepada 8% daripada jumlah penebasan hutan di dunia antara tahun 1990 higga 2008. Hutan ditebas dan dibakar secara terbuka bagi membolehkan manusia menanam pokok kelapa sawit. Pembakaran terbuka ini pula membawa kepada pencemaran udara, jerebu di Malaysia. Banyak laporan menyatakan situasi pembakaran ini berlaku di Indonesia. Selain itu pembakaran ini memusnahkan tempat menjadi habitat tumbuh-tumbuhan, pokok-pokok dan hidupan liar – menjadikan kawasan tersebut kurang biodiversiti. Spesis seperti orang utan, badak, gajah dan harimau akan terjejas.

Kesan Ekonomi:

Industri minyak kelapa sawit yang diketahui mempunyai pelbagai kegunaan dan potensi : mendapat permintaan tinggi, lalu menyediakan peluang ekonomi yang besar dari segi penanaman, penuaian, pengangkutan, penghasilan, eksport, import, penghasilan pelbagai produk makan dan minuman.
Namun begitu, penghasilan minyak kelapa sawit yang tidak lestari akan membawa kepada potensi kesan negatif ekonomi pada peringkat tempatan dan antarabangsa yang menyumbang kepada pemusnahan habitat, pencemaran dan perubahan iklim. Pemusnahan, pencemaran dan perubahan iklim akan menjejaskan aktiviti ekonomi lain juga, dan perbelanjaan bagi menghadapinya.
Bagi negara pengeluar : industri memberikan peluang pekerjaan kepada lebih 0.8 juta penduduk Malaysia dan lebih 1.7 juta penduduk Indonesia.
Bagi negara pengimport : industri memberikan peluang pekerjaan kepada 67,000 posisi.
Secara sudut bertentangan, apabila sekatan terhadap minyak sawit berlaku, industri minyak sawit terjejas dan menghilangkan peluang pekerjaan kepada sejumlah besar penduduk.

Kesan Sosial:

Kelapa sawit adalah tanaman ekonomi yang berharga dan menyediakan sumber pekerjaan. Ini membolehkan pemilik tanah kecil untuk mengambil bahagian dalam ekonomi tunai dan sering menyebabkan peningkatan infrastruktur tempatan dan akses yang lebih besar kepada perkhidmatan seperti sekolah dan kemudahan kesihatan. Di beberapa kawasan, penanaman kelapa sawit telah menggantikan amalan tradisional, selalunya disebabkan oleh potensi pendapatan minyak sawit yang tinggi.
Walau bagaimanapun, dalam beberapa kes, tanah telah dibangunkan oleh ladang kelapa sawit tanpa perundingan atau pampasan orang asli menduduki tanah itu. Ini telah berlaku dalam Papua New GuineaColombia, dan Indonesia. Di SarawakBorneo Malaysia, terdapat perdebatan mengenai apakah terdapat perundingan yang sesuai dengan komuniti Long Teran Kanan sebelum pembangunan tanah tempatan untuk ladang kelapa sawit. Peruntukan tanah asli menyebabkan konflik antara ladang dan penduduk tempatan di setiap negara.
Menurut laporan 2008 oleh NGO termasuk Friends of the Earth, syarikat minyak sawit juga dilaporkan menggunakan kekuatan untuk memperoleh tanah dari masyarakat pribumi di Indonesia. Di samping itu, sesetengah ladang kelapa sawit Indonesia bergantung kepada buruh import atau pendatang tanpa izin, yang telah menimbulkan kebimbangan mengenai keadaan kerja dan kesan sosial amalan-amalan ini.
Dari sudut berbeza, apabila dikenakan sekatan kepada minyak sawit, kesannya kepada sosial adalah dari segi hilangnya punca pendapatan kepada pengusaha, pekerja industri ini. Masalah sosial akan wujud akibat kehilangan sumber ekonomi.
Malaysia mengambil langkah campur tangan World Trade Organization dalam isu sekatan dari Kesatuan Eropah, kerana situasi itu akan menjejaskan ekonomi negara, dan kesan sosial kepada pekerja dalam sektor ini. Pembangunan tidak lestari menjadi antara potensi faktor kempen sekatan.
World Trade Organization dijadikan platform untuk menyuarakan pandangan Malaysia berkenaan sekatan minyak sawit. Pembangunan tidak lestari menjadi antara potensi faktor kempen sekatan.
Kedua-dua negara pengeluar terbesar, Indonesia dan Malaysia bakal terjejas teruk dari segi ekonomi dan sosial akibat sekatan dan kurangnya eksport bagi produk ini. Pembangunan tidak lestari menjadi antara potensi faktor kempen sekatan.
Kesan sosial: ketegangan hubungan antara pemimpin dan rakyat kedua-dua negara akibat isu minyak sawit. Pembangunan tidak lestari menjadi antara potensi faktor kempen sekatan.
Sudut pandang berbeza: selain dari isu dikatakan pembangunan tidak lestari, minyak kelapa sawit mempunyai kadar keberkesanaan yang tinggi dari segi penumbuhan dan penghasilannya.
Isu-isu seputar kesan kepada alam sekitar, ekonomi dan sosial dijadikan tumpuan utama kepada imej negatif industry minyak sawit.

Rujukan :
Budidarsono, Suseno; Dewi, Sonya; Sofiyuddin, Muhammad; Rahmanulloh, Arif. "Socio-Economic Impact Assessment of Palm Oil Production" (PDF)World Agroforestry Centre. Dicapai pada 15 January 2013.


Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...