1.0 PENDAHULUAN
2.0 DEFINISI
EMOSI
4.0 KONSEP
DAN FALSAFAH EMOSI MENURUT HADIS
5.0 KONSEP
DAN FALSAFAH EMOSI MENURUT ULAMA-SARJANA ISLAM
6.0 KESIMPULAN
7.0 RUJUKAN
1.0
PENDAHULUAN
Islam
sebagai agama yang syumul dan memenuhi fitrah manusia mempunyai misi untuk
mengubah minda dan tingkah laku umatnya untuk memiliki emosi/perasaan yang
sihat dan cerdas. Emosi yang sihat tidak dapat tidak perlu kepada hati nurani
yang sihat. Ulama Islam dalam membahaskan keperluan hati nurani yang sihat ini
mengibaratkan hati sebagai raja kepada seluruh anggota badan. Apabila sang raja
menitahkan sesuatu arahan, pasti akan dipatuhi. Oleh sebab yang demikian,
pemahaman dan usaha untuk membentuk hati nurani yang sihat menjadi teras kepada
emosi yang stabil.
2.0
DEFINISI EMOSI
Dalam
Islam, perkataan emosi adalah berasal dari perkataan Arab ”al-Infial”.
Fakhir Akil dalam Mu'jam Ilm al-Nafs (1985) memberikan definisi
emosi sebagai keadaan dalam di mana kita menunjukkannya sebagai pengalaman dan
tindakan atas sesuatu peristiwa yang berlaku seerti perasaan takut, marah dan
seumpamanya. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, emosi ialah perasaan jiwa
(batin) yang kuat seperti sedih, marah. Emosi juga dalam definisi keduanya
ialah keadaan perasan atau fikiran yang terangsang dan melibatkan perubahan
psikologi dan fisiologi pada seseorang. beremosi dengan emosi; emosional. Muhammad Uthman Najati memberikan takrifan emosi sebagai bangkitan
perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas seseorang terhadap sesuatu
perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku seperti emosi takut, marah,
kecewa, gembira, suka dan kasih sayang (1993:73).
3.0
KONSEP DAN
FALSAFAH EMOSI MENURUT AL-QURAN
Matlamat Akhir dan Hakiki : Pertemuan dengan Allah dalam Keadaan Hati yang Sejahtera
Al-Quran dengan jelas dan tepat menyatakan keutamaan matlamat utama memiliki hati yang sejahtera pada hari pertemuan dengan Allah, di destinasi sebenar yang kekal, dan pada masa itu tidak lagi berguna elemen-elemen material dan yang lain, melainkan hati yang sejahtera. Perkara ini terkandung dalam al-Quran yang bermaksud: “Hari yang tidak bermanfaat harta dan anak-pinak. Melainkan sesiapa yang datang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera.” (Surah 26: 88-89). Kehidupan di dunia ini adalah sementara dan bersifat ujian, manakala akhirat adalah destinasi kekal dan tempat mendapat balasan. Maka, amat jelas difahami dari ayat tersebut kepentingan hati sejahtera sebagai satu-satunya perkara yang bermanfaat pada saat agung itu. Emosi sebagaimana diberikan takrifannya berkenaan keadaan dan bangkitan rasa dalaman; emosi amat berkait rapat dengan keadaan hati. Hati adalah raja bagi seluruh anggota tubuh; apabila sihat hati, sihat juga emosi.
Perasaan Tenang dengan
Mengingati Allah
Falsafah ketenangan
perasaan ini dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: “Hanya dengan mengingati
Allah hati menjadi tenang.” (Surah 13 : 28) Begitu agung dan kukuh ayat ini,
kerana diri yang kembali kepada Penciptanya akan merasai ketenangan. Hal ini
pastinya dengan didasari keimanan dan keyakinan bahawa Allah adalah Tuhan yang
Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Adil, Pemberi Rezeki dan Pembalasan, dan
pasti tidak akan leka walau sesaat dalam memelihara hamba-Nya. Naluri secara fitrah
setiap makhluk adalah berasa dan memerlukan kepada Tuhan. Manusia pastinya akan
berhadapan dengan berbagai-bagai kesukaran, dan ada tahapnya mereka sudah tidak
mampu mengendalikannya sendiri, dan mereka beralih ingatan untuk mencari
bantuan Tuhan Maha Kuasa. Keadaan ini berlaku sejak awal sejarah kewujudan
manusia sehinga kini. Dengan mengingati Allah, bahawa janji-Nya sentiasa benar,
Dia mendengar rintihan dan permohonan hamba-Nya, Dia memberikan bantuan dan
keselamatan yang hakiki di dunia dan di akhirat: maka perasaan akan menjadi
tenang yang luar biasa kerana segala-galanya telah dijamin oleh Allah.
Kaitan Kuat antara Ruh
dan Emosi
Dalam Islam, ruh amat
berperanan dalam memandu sebarang aktiviti dalam pemikiran, perasaan dan
perbuatan manusia. Ruh amat memerlukan jasad yang secara fizikalnya melengkapi
hakikat insan dan begitu juga jasad yang memerlukan ruh bagi meneruskan
kehidupan (Khairul Azhar, 2014). Ruh juga dinyatakan mempunyai keupayaan untuk
berasa takut dan bergembira, semasa hidup di dunia dan di akhirat nanti. Hal ini adalah bertepatan dengan apa yang
digambarkan dalam al-Quran tentang keadaan dan perasaan manusia apabila mereka
dihumban ke neraka dan juga kegembiraan mereka apabila menjadi penghuni syurga.
Keadaan ini digambarkan Allah dalam surah az-Zumar, satu surah yang banyak menceritakan hal berkaitan ahli syurga yang
dipenuhi kegembiraan dan ahli neraka yang diselubungi kedukaan. Firman Allah
yang bermaksud: “Dan Allah menyelamatkan orang-orang yang bertakwa kerana kemenangan
mereka, mereka tiada disentuh oleh azab (neraka dan tidak pula) mereka berduka
cita.” Surah az-Zumar, ayat 61.
Emosi Negatif : Sedih, Khuatir dan Benci dalam
Panduan Al-Quran
Al-Quran menjelaskan
emosi sedih sebagaimana firman Allah dalam surah kedua ayat 277, yang
bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh,
mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya.
Pada mereka tidak ada kekhuatiran dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” Konsep
emosi di sini jelas berhubung kait rapat dengan usaha dan amalan soleh yang
dilakukan. Orang-orang yang mematuhi perintah dan panduan Allah, mereka akan
mempunyai perasaan yang bebas dari kerisauan dan kesedihan. Selagi mana mereka
terus tetap berada pada kebenaran, emosi yang positif akan dirasai.
Selain itu, berkenaan perasaan benci, al-Quran
menyarankan tidak wujud kebencian yang melampaui batasan perikemanusiaan dan
pada masa yang sama agar meletakkan rasa kebencian tersebut terhadap perkara
yang membawa kepada syirik, kekejaman dan kemaksiatan (Khairul Azhar, 2014).
Firman Allah yang bermaksud: “Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang
itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kebencian kamu terhadap sesuatu,
padahal itu adalah amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai
sesuatu, padahal itu adalah amat buruk bagimu; Allah Maha Mengetahui, sedang
kamu tidak mengetahui.” (Surah 2: 216). Dalam hal ini, manusia mempunyai
keterbatasan ilmu terhadap perkara-perkara yang berlaku kepada mereka, tidak
mengetahui rahsia kebijaksanaan di sebalik terjadinya sesuatu perkara. Falsafah
emosi dalam al-Quran ini secara khusus apabila berdepan dengan perasaan,
memberikan panduan kepada manusia itu menguruskannya dengan baik dan memperoleh
hasil yang baik. Secara umumnya, perasaan benci dikaitkan dengan keburukan,
namun sebagaimana diterangkan al-Quran, benci juga boleh membawa kebaikan
sedang kita tidak mengetahuinya.
Nafsu yang
Dirahmati, Membolehkan Emosi dalam Menyeru Kebaikan
Walaupun sifat dalaman dari dorongan nafsu selalu mengarah kepada keinginan
dan amarah yang buruk, namun apabila nafsu tersebut diberi rahmat oleh Allah,
maka ia akan menjadi daya positif dan membawa kebaikan. Hal ini sejajar dengan firman
Allah SWT dalam Surah 12 ayat 53, “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyerukan
pada perbuatan buruk, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhannya.” Kita
dapat memahami bahawa nafsu yang dirahmati Allah itu sentiasa berusaha dan
beramal dalam perkara-perkara kebaikan, mengikut peraturan yang ditetapkan oleh
Pencipta nafsu itu sendiri. Hasilnya, dengan kurniaan daripada Allah sendiri,
kebiasaan perasaan dalaman yang terarah kepada perkara negatif berubah menuju
kebaikan.
Al-Quran dan Pengendalian Emosi
Pengendalian
emosi sangatlah penting dalam kehidupan manusia, khususnya untuk mengurangkan
ketegangan yang timbul akibat konflik batin yang memuncak. Dalam konteks ini, al-Quran
memberi petunjuk kepada manusia agar mengendalikan emosinya guna mengurangi ketegangan-ketegangan
fizikal dan mental serta kesan negatifnya (R. Rachmy Diana, 2018). Sehubungan
dengan ini al-Quran (Surah 2:216, Surah 3:91, Surah 4:79) banyak memberikan
pelajaran tentang pentingnya manusia mengambil sisi baik pada setiap kejadian,
walaupun pada mulanya itu sesuatu yang dianggap buruk dan tidak menyenangkannya.
Cara tersebut dikenali hikmah, yang dapat membuat manusia tidak tenggelam
dalam emosi negatif dan berfikir tentang kebaikan apa yang Allah kehendaki di
sebalik tidak tercapainya sesuatu tujuan yang dihajati. Sebagai contoh apabila
seseorang benar-benar berusaha untuk menikahi seorang insan yang amat
dicintainya. Namun, usahanya menemui kegagalan. Pada hal yang lebih diketahui
oleh Allah, kenikmatan dan pengurniaan pasangan hidupnya itu adalah suatu
penangguhan. Kelak, dia akan dikurniakan dengan seorang pasangan hidup yang
jauh lebih soleh/solehah yang akan terpelihara dengan zuriat yang baik-baik.
Zikrullah
merupakan salah satu cara pengalihan manakala manusia mengalami kesulitan atau
permasalahan sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran (Surah 13: 28). Mengingati
Allah ini dapat berupa kalimah thayyibah, wirid, doa majupun tilawah Quran (R.
Rachmy Diana, 2018). Kesan daripada tindakan tersebut, seorang muslim akan
merasai ketenangan dalam menghadapi masalahnya, dan hal itu baik untuk
menghasilkan sikap optimis ketika ada harapan yang tidak kesampaian. Zikrullah
juga mampu mengalihkan emosi negatif yang dialami seseorang menjadi emosi
positif kerana keadaan tenang dan damai yang dirasainya.
Selain
itu, konsep emosi diuruskan secara empati dinyatakan dalam al-Quran. Empati merupakan kesedaran dalam diri
seseorang bagi merasakan apa yang sedang dialami orang lain. Melalui kesedaran
berempati ini, pengalaman orang lain dapat diperoleh dalam mengurangkan gejolak
emosi tatkala peristiwa yang sama menimpa dirinya. Islam menganjurkan
sikap empati ini kerana dengan sikap ini akan melahirkan ketulusan dan
dorongan untuk menolong orang lain. Pelbagai kisah dalam al-Quran bagaimana
Rasulullah SAW mempunyai empati pada para Nabi sebelum Baginda (Surah 35:4,Surah
6 :34, Surah 22:42).
Emosi dendam dan
marah dalam diri manusia diberikan petunjuk al-Quran bagaimana cara
mengendalikannya. Antara ayat al-Quran yang menjelaskan tentang keutamaan memberi
maaf : “iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik pada waktu lapang
mahupun sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan)
orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan” (Surah 3:134).
Keupayaan menguruskan emosi negatif ini dinyatakan sekali dengan ganjaran
kedudukannya yang menjadi orang yang disukai Allah kerana berbuat kebajikan,
serta disebutkan sekali dengan kemampuan untuk menginfaqkan harta dalam segenap
keadaan. Situasi sebegini dengan terang memandu manusia untuk memiliki kualiti
emosi yang tinggi, terus maju ke depan dalam hidup tanpa terbelenggu dalam
kekangan emosi marah dan tidak memaafkan orang lain. Dalam ayat-ayat yang lain,
maksudnya: “Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan)
yang demikian itu termasuk hal yang diutamakan.” (Surah 42: 43), “Jadilah
engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah
daripada orang yang jahil.” (Surah 7:199), “Dan bersegeralah kamu mencari
ampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan
bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa (iaitu) orang yang berinfa , baik pada waktu lapang mahupun sempit
dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan
Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.” (Surah 3: 133-134), “Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau
menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya
Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.” (Surah 4: 149).
Menahan amarah dan
mengawalnya merupakan satu sikap yang amat terpuji dan dituntut. Allah SWT
menyifatkan antara ciri orang yang beriman dan bertawakkal kepada-Nya,
dengan maksudnya: ”...dan apabila mereka marah, mereka segera memaafkan” (Surah
28: 37).
Dalam
situasi yang dibolehkan mendapatkan keadilan dan hak, al-Quran memberikan
petunjuk bagaimana perasaan dalam menghadapinya untuk berlaku adil, setara
dalam pembalasan kepada seksaan yang diterima, dan jauh lebih hebat daripada
itu, al-Quran menganjurkan sifat sabar yang dijanjikan pahala akhirat yang
tiada hitungannya. Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika kamu memberikan
balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan
kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik
bagi orang-orang yang sabar.” (Surah 16:126-127). “Dan balasan suatu
kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan
berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak
menyukai orang-orang yang zalim.” (Surah 42:40).
4.0
KONSEP DAN
FALSAFAH EMOSI MENURUT HADIS
Kelahiran Nabi Muhammad SAW ke alam ini
sememangnya satu rahmat yang amat besar kepada seluruh isi kehidupan.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud ”Dan tidaklah engkau diutus wahai
Muhammad, melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam” (Surah 21:107), dan rahmat
yang terhasil ini telah menyinari segenap ruang kehidupan manusia, meliputi
pelbagai bidang kehidupan sebagaimana penuhnya segala isi antara langit dan
bumi (Khairul Azhar, 2014). Secara khususnya, kedatangan Rasul ke alam ini adalah
untuk mendidik umat manusia supaya berada dalam kesempurnaan akhlak dan
sahsiah. Akhlak dan sahsiah adalah juga personaliti dan peribadi yang menjadi
asas kepada pembentukan tingkah laku.
Rasulullah SAW menunjukkan contoh
kesempurnaan perasaan dan emosi yang sangat wajar dijadikan pegangan dan ikutan
terbaik oleh semua insan. Baginda mengajarkan umat manusia apakah itu
pengurusan emosi, berkenaan apakah emosi positif dan apakah emosi negatif,
serta berkaitan kecerdasan emosi dan bagaiamna Islam menguruskannya. Perkara
ini mungkin menjadi janggal bagi kita, namun hakikatnya adalah khazanah yang
perlu dimanfaatkan, terkandung dalam rahmat yang dijanjikan Allah melalui
pengutusan Baginda sebagai rasul terakhir.
Baginda telah mengajarkan untuk mengenali
apa itu emosi, sama ada emosi negatif atau positif, dan bagaimana sifat emosi
itu boleh berubah menjadi sesuatu yang membina atau merosakkan, berserta dengan
cara pengendalian emosi. Ini menjadi asas kepada akhlak dan tingkah laku
manusia, sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW yang terhasil dari
natijah keimanan sebagai pendorong tingkah laku yang sebenar (Khairul Azhar,
2014). Akhlak ini jugalah yang akan
menentukan keredhaan Allah dan balasan syurga kerana sebaik-baik manusia dalam
kalangan orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang amat baik perangai dan
akhlaknya kepada orang lain. Disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Imam
Tarmizi, sabda Nabi Muhammad SAW “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja
kamu berada, dan iringilah kejahatan dengan perbuatan kebaikan, dan berperangailah
kepada manusia dengan perangai yang baik”. Dapat difahami daripada hadis ini
adalah takwa kepada Allah menjadi asas kepada setiap tindakan, termasuk aspek
emosi. Apabila berlaku sesuatu emosi yang tidak positif, ikuti selepasnya
dengan emosi positif dan selanjutnya manusia diseru untuk membawa dan
memperlihatkan emosi yang baik kepada manusia yang lain.
Hati Sebagai Pusat Kesihatan Seluruh
Anggota Badan
Sebagaimana sinaran panduan al-Quran
menyatakan hati nurani yang sejahtera menjadi satu-satunya perkara yang
bermanfaat di akhirat, hadis Rasulullah SAW turut menerangkan kedudukan hati
nurani menjadi pusat bagi kesihatan seluruh anggota badan yang lain. Jika hati
adalah baik, anggota-anggota badan lain juga adalah baik. Jika hati dalam
keadaan sebaliknya, semua anggota badan lain turut sama menjadi tidak baik.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, sabda
Nabi SAW yang bermaksud : ”Ketahuilah, sesungguhnya dalam tubuh manusia ada
segumpal daging, jika segumpal daging itu baik, maka akan baik seluruh tubuh
manusia, dan jika segumpal daging itu buruk, maka akan buruk seluruh tubuh
manusia, ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati manusia.” Kita sedia
maklum bahawa manusia terdiri daripada dua dimensi utama dalam hidupnya, iaitu
rohani (bersifat dalaman yang tidak dapat dilihat mata kasar) dan jasmani
(bersifat luaran, pada jasad yang dilihat mata kasar). Emosi termasuk dalam
bahagian dalaman. Maka nyata di sini, emosi turut dikawal dan dipengaruhi oleh
kedudukan dan keadaan hati. Hati nurani yang bersih, sentiasa bertaubat kepada
Allah, adalah hati yang kuat dan mempunyai perasaan yang sentiasa baik. Hati
tersebut mampu bersangka baik, gembira, optimis dan seumpamanya. Jika
berhadapan dengan perasaan takut, sedih, kecewa dan lain-lain, hati akan
memandunya dalam cara yang betul.
Emosi Sabar, Syukur dan Pemaaf
Ajaran Islam memiliki dua mekanisme dalam
pengendalian emosi dan menguruskan masalah, iaitu mekanisme sabar dan syukur
serta pemaafan. Sabar ialah jalan terbaik agar seseorang tidak larut dalam
emosi negatif (R. Rachmy Diana, 2018). Secara teori dan praktikal, suatu
peristiwa yang menimbulkan emosi utama dapat disusuli oleh beberapa emosi
minor. Seperti yang dikisahkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW: “Nabi SAW
menjumpai seorang wanita sedang menangis di sebuah kubur (dalam riwayat lain
menangisi kematian anaknya) lalu memberikan, “Bertaqwalah kepada Allah dan
bersabarlah!” Wanita itu menjawab dalam keadaan marah kerana tidak mengetahui
yang menasihatinya itu ialah Nabi, “ Bukan urusanmu, kamu tidak merasakan
musibah yang saya alami!”. (Selepas beberapa ketika) wanita itu datang ke rumah
Nabi SAW dan mengatakan: ”Mohon maaf, saya tidak mengenalimu pada waktu itu (sekarang
aku sudah bersabar)”. Kemudian Nabi bersabda: “Sabar itu pada benturan pertama
(pada awal peristiwa)” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasaai, Abu
Dawud, Ibnu Majah, Ahmad). Kesedihan mendalam seorang ibu atas kematian anak
yang disayangi dalam hadis tersebut adalah emosi major. Manakala ada pihak yang
cuba menasihati itu menimbulkan reaksi emosi kedua (minor pertama) iaitu marah.
Penyesalan atas kemarahan yang ditunjukkan kepada orang yang bermaksud untuk
memberi nasihat adalah emosi minor kedua. Setelah diketahui bahawa pemberi nasihat
itu adalah Rasulullah SAW, timbul rasa bersalah bercampur rasa malu sebagai
emosi minor ketiga dan keempat. Seluruh emosi yang timbul itu akan menambah
beban masalah bagi yang pihak mengalaminya. Oleh sebab demikian, adalah tepat apabila
Islam mengajarkan tindak balas terbaik semasa seseorang ditimpa masalah atau
kesulitan adalah dengan bersabar.
Emosi Syukur
Selain sabar, Islam melalui lisan Nabi
Muhammad SAW mengajarkan kepentingan pengendalian emosi melalui cara banyak
bersyukur. Syukur adalah sebuah bentuk pengakuan bahawa segala kenikmatan
berasal dari Allah dan akan kembali kepada-Nya pada bila-bila dikehendaki Allah.
Sikap ini dalam menjaga seorang mukmin dari sikap berlebihan (euforia)
dalam menerima kesusahan atau kemudahan. Sebagaimana firman Allah yang
bermaksud: “Supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu,
dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya
kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan
diri.” (Surah 57:23). Keadaan ini adalah pertengahan, sederhana, moderate,
dan tidak berada dalam mana-mana satu hujung ekstrem. Istilah wasatiyah merujuk
kepada perkara ini, dan dalam al-Quran turut dinyatakan bahawa umat Nabi Muhammad
SAW adalah umat wasatiyah dan terbaik. Justeru, dalam memahami emosi juga, sikap
bersederhana juga memberikan impak yang positif dan menguntungkan. Dapat kita
perhatikan dalam situasi harian dan pengalaman hidup, apabila seseorang itu
terlalu bergembira atau terlalu bersedih, kebiasaanya akan disertai akibat yang
kurang baik. Oleh sebab yang demikian, pengendalian emosi secara sederhana
adalah optimum bagi manusia.
Sifat Pemaaf dalam Pengurusan Emosi
Pemaafan (forgiveness) adalah
strategi yang penting dalam Islam (R. Rachmy Diana, 2018). Rasulullah SAW adalah peribadi agung
yang sangat terkawal emosinya dan mampu menahan kemarahannya terhadap pencetus-pencetus
unsur negatif yang dihadapi. Al-Quran menggambarkan bahwa sekiranya Baginda
termasuk dalam kalangan orang yang kasar dan keras hati, nescaya umat telah
meninggalkannya (Surah 3:159). Menahan marah tidak bermaksud menyimpannya yang selanjutnya
diletuskan pada waktu tertentu. Pemberian maaf adalah proses meleburkan
semuanya dan menghadirkan kelapangan dalam hati. Di samping itu, keutamaan
sikap memberikan kemafaan ini turut dijelaskan dalam al-Quran, dan pastinya
tindakan sama sekali tidak menjatuhkan maruah, bahkan diberikan ganjaran pahala
yang besar di akhirat nanti. Firman Allah bermaksud: “Dan balasan suatu
kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi barang siapa memaafkan dan
berbuat baik (kepada orang yang berbuat jahat) maka pahalanya daripada Allah.
Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim.” (Surah 42: 40) Dalam sudut
perundangan Islam, dalam kategori kesalahan qisas, waris si mati diberikan
ruang untuk memaafkan si pembunuh jika mereka mahu. Apabila dimaafkan, hukuman
bunuh kepada si pembunuh tidak dikenakan.
Emosi Marah dan Pengendaliannya
Marah adalah emosi bersifat negatif yang
agak dominan, dan sering dihadapi setiap insan dalam kehidupan seharian.
Rasulullah SAW memberikan perhatian dan pengajaran kepada umatnya dalam bab
perasaan marah dan serta cara pengendaliannya. Marah adalah satu perasaan yang
wujud secara semula jadi dalam diri setiap manusia. Marah juga adalah satu
ekspresi yang muncul kadang kala secara spontan sewaktu kita disakiti, dizalimi
atau menghadapi sebarang masalah. Nabi SAW sendiri pernah berasa marah dalam
beberapa keadaan, antaranya peristiwa Usamah bin Zaid yang pernah membunuh
seorang musuh di medan perang, meskipun dia telah mengucapkan syahadah. Nabi
SAW berkata kepada beliau, dengan maksudnya: ”Apakah kamu membunuhnya sedangkan
dia telah mengucapkan La ilaha illa Allah?” Usamah menjawab: ”Dia hanya
mengucapkannya kerana takut dibunuh.” Nabi SAW membalas: ”Apakah kamu telah
membelah hatinya untuk mengetahui sama ada dia benar-benar beriman atau tidak? (Sahih Muslim: 96). Diriwatkan oleh
Imam Tirmizi satu hadith marfu’, yang menyifatkan sifat marah Nabi SAW dengan maksudnya:
Perkara keduniaan tidak membuat Nabi marah. Adapun jika menyanggahi kebenaran,
tiada apapun yang mampu berdepan Baginda, sehingga Baginda memenangkan
kebenaran itu. Nabi juga tidak marah jika ia melibatkan urusan peribadi
Baginda, dan tidak berusaha untuk memenangkan diri Baginda (Al-Syama’il
Al-Muhammadiyah: 218).
Dalam satu hadis yang
masyhur yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, dengan maksudnya: Seorang
pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW, dan Nabi bersabda: ”Janganlah kamu
menuruti amarah.” Dia mengulangi pertanyaannya, dan Nabi mengulanginya sebanyak
tiga kali (Sahih al-Bukhari :6116). Nabi SAW juga pernah bersabda yang maksudnya:
”Seorang yang kuat itu bukanlah yang handal bergusti; seorang yang kuat ialah
orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah” (Sahih al-Bukhari :6114,
Sahih Muslim: 2609). Ini adalah sudut pandang dan kualiti akhlak yang dididik
oleh Baginda Nabi SAW betapa kekuatan hakiki adalah kekuatan dalam mengawal
perasaan marah, yang kita sedia maklum adalah sesuatu perkara yang tidak mudah
dilakukan. Nabi SAW dalam sabda Baginda yang lain pula menyebut dengan maksudnya:
”Sesungguhnya Allah SWT sewaktu selesai dengan urusan penciptaan-Nya, telah
menulis pada ‘Arasy-Nya: Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemarahan-Ku.” (Sahih
al-Bukhari 7422, Sahih Muslim: 2751).
Terdapat beberapa pesanan
yang Baginda SAW titipkan kepada kita sewaktu kita sedang marah, antaranya adalah
duduk jika sedang berdiri, berbaring jika sedang duduk. Sabda Baginda SAW yang
maksudnya: ”Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri,
hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak,
hendaklah dia berbaring.” (Sunan Abi Daud: 4782). Selain itu, cara yang
diajarkan untuk mengawal kemarahan adalah dengan mengambil wudhu. Maksud hadis:
Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta
daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah
seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwudhu (Sunan Abi Daud: 4784).
Perasaan marah mengandugi risiko keburukan yang banyak dan besar. Oleh sebab
yang demikian, Baginda SAW mengajarkan umatnya untuk mengelak daripada membuat sebarang
keputusan besar. Dalam sebuah hadis, direkodkan sabda Baginda SAW dengan maksudnya:
Tidak boleh seseorang itu menghakimi antara dua orang dalam keadaan marah (Sahih
Muslim :1717). Mafhum hadis ini juga tidak seharusnya disempitkan kepada bab
penghakiman seorang hakim sahaja, tapi seharusnya terpakai dalam
keadaan-keadaan lain yang memerlukan penetapan keputusan yang kritikal,
terutamanya jika melibatkan urusan orang ramai. Ambil sedikit masa untuk
menenangkan diri sebelum mengambil sebarang keputusan. Selain daripada
mengelakkan pengambilan keputusan besar semasa marah, umat Nabi Muhammad SAW
juga diajarkan untuk diam semasa berdepan perasaan marah. Maksud hadis: Apabila
salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam (Al-Adab al-Mufrad:
245). Berdiam diri sewaktu marah adalah lebih baik, kerana dalam keadaan marah,
perkataan-perkataan yang diungkapkan berkemungkinan akan mengguris perasaan
orang lain dan mungkin memberi ancaman kepada diri sendiri. Begitu pula dalam
hadits Nabi SAW banyak yang mengingatkan pengikutnya untuk selalu mengawal
emosi agar terciptanya kehidupan yang selaras dan seimbang. Salah satunya
adalah pesan Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh al-Bukhari, Malik dan
at-Tirmidzi, Abu Hurairah berkata dengan maksudnya: “Ada seseorang yang berkata
kepada Nabi, nasehatilah saya! Beliau berkata: “Janganlah kamu marah.” Orang
itu berkata lagi beberapa kali dan Rasul tetap menjawab: “Janganlah kamu
marah.”. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ath Thabrani, Rasulullah SAW
menjawab janganlah marah ketika ada orang yang bertanya tentang apa yang boleh
menyelamatkannya daripada murka Allah (Najati, 2001; Najati, 2005).
Meskipun secara
umumnya marah dianggap sebagai satu perasaan dan ekspresi yang negatif, namun
dalam beberapa keadaan, rasa amarah itu dibenarkan oleh syarak. Sebagai contoh,
rasa marah apabila agama Islam dihina atau marah apabila berlakunya kezaliman
dan penindasan ke atas golongan yang lemah. Namun rasa amarah itu tetap perlu
dikawal dan disalurkan melalui jalan yang betul, dan tidak membiarkan rasa
marah itu menguasai diri hingga membawa kepada tindakan-tindakan diluar batasan
syarak. Panduan melalui pesanan-pesanan Baginda Nabi SAW amat wajar dijadikan
pedoman dalam mengubati sikap panas baran dan mengawal rasa marah agar tidak
menghilangkan pedoman dan akal waras seseorang.
5.0
KONSEP DAN
FALSAFAH EMOSI MENURUT ULAMA-SARJANA ISLAM
Elemen
jiwa dan emosi menjadi perhatian awal dalam pendidikan psikologi Islam. Emosi
menurut ahli psikologi Islam sama seperti potensi fitrah yang lain, melalui
proses pertumbuhan dan perkembangan. Ahli-ahli falsafah Islam seperti al-Kindī
(801-873), Ibn Sīna (980-1037), al- al-Ghazālī (1058-1111) dan Ibn Khaldūn
(1332-1395) berjaya mengembangkan kajian-kajian tentang kemanusiaan dan
psikologi yang telah diperkenalkan oleh ahli-ahli falsafah Greek seperti Plato
dan Aristotle. Banyak tulisan dan manuskrip para sarjana ini yang membincangkan
tentang iman dan amal soleh serta hubungan elemen ini dalam membentuk
kecerdasan emosi dan spiritual seseorang. Ibn Sina yang berpandangan hati
manusia mempunyai kemampuan secara teori dan praktikal yang membentuk kecerdikan
atau kecerdasan minda, kerana hati itu sendiri boleh mencapai idea yang tidak
disedari oleh seseorang melalui perasaan, imaginasi dan anggaran. Beliau
menganggap kebolehan tersebut sebagai faktor utama kepada tingkah laku
(Norsaleha & Hafizah, 2016). Dalam membicarakan konsep emosi dalam Islam,
keperibadian dalam literatur Islam difahami sebagai integrasi sistem qalbu,
akal dan nafs manusia yang mengarahkan tingkah laku (Mujib & Mudzakir, 2001; Nashori, 2008; Sutoyo,
2007). Qalbu adalah potensi fitrah ilahiyah/ketuhanan yang merupakan aspek
supra kesedaran manusia yang memiliki daya emosi (rasa) dan moral. Akal
merupakan fitrah insaniyah/kemanusiaan sebagai aspek kesedaran manusia yang
memiliki daya kognitif. Sedangkan nafsu (fitrah hayawaniyah) merupakan aspek
pra atau bawah kesedaran manusia yang memiliki daya konasi (karsa) (R. Rachmy
Diana, 2018). Dalam perspektif psikologi Islam, ada tiga keadaan saat terjadi
konflik antara qalbu, akal, dan nafsu. Pertama adalah diri yang tenang (al-nafs
al-mutmainnah), di mana qalbu mengendalikan akal dan nafsu. Kedua adalah
diri yang terumbang-ambing (al-nafs allawwamah), yang ditandai oleh
dominasi akal atas qalbu dan nafsu. Ketiga adalah diri yang tergadaikan (al-nafs
al-ammarah), yaitu ketika nafsu menguasai aalbu dan akal (Nashori, 2008).
Peranan Hati terhadap
Emosi
Imam al-Ghazali banyak membahaskan fenomena emosi, tindak balas emosi
manusia terhadap persekitaran serta penyakit hati yang membelenggu kehidupan
manusia untuk terus hidup tenang. Begitu juga Ibn Taymiah dan Aidh al-Qarny
telah mengupas perkara-perkara yang menghalang seseorang mencapai bahagia,
antaranya ialah penyakit hati dan jauhnya manusia daripada Tuhan (Norsaleha
& Hafizah, 2016). Najati (1993) menyatakan golongan sarjana Islam
mendahului sarjana Barat dalam pengkajian terhadap jiwa dan emosi manusia
dengan mengemukakan kaedah dan penyelesaian yang menyeluruh terhadap
permasalahan jiwa dan emosi. Apa yang menarik dalam kajian dan metodologi
mereka adalah perkaitan permasalahan jiwa dan hati dengan pentauhidan kepada
Allah SWT serta kekuasaan Allah SWT ke atas semua makhlukNya. Imam al-Ghazali
berpendapat dorongan yang mendominasi fikiran dan penilaian baik dan buruk
hendaklah dikawal dan diselenggara dengan baik. Hati manusia haruslah
ditransformasikan menuju kesempurnaan. Tingkat yang paling tinggi adalah hati
yang bersih daripada sebarang kejahatan dan perasaan yang buruk kepada orang
lain dan terselamat daripada hasad dengki serta sentiasa berhubungan dengan
Allah Taala. Menurut Imam al-Ghazali (1994), rahsia ketenangan hati seseorang
ialah apabila ia kembali menyerahkan dirinya kepada Allah Taala. Beliau turut
berpendapat manusia sebenar mampu berubah, boleh diubah dan dibentuk serta
melakukan transformasi dalam kehidupannya.
Perasaan Kebahagiaan
Sebenar
Ketika membahaskan isu kebahagiaan yang
sebenar, Imam al-Ghazali berpendapat manusia boleh mencapai bahagia apabila
manusia berjaya mendidik dirinya mengenal empat perkara, iaitu mengenal diri
sendiri, mengenal Allah SWT, mengenal alam dunia dan mengenal alam akhirat.
Mengenal diri sendiri menjadi konteks pendidikan pertama seseorang,
sekiranya ingin mencapai bahagia. Dalam hal ini, Imam al-Ghazali berpendapat
diri manusia terbahagi kepada fizikal dan batin. Sebagaimana manusia mengenali
tabiat dan sifat fizikal yang dimilikinya, manusia juga perlu mengenali tabiat
dan sifat batin yang tersembunyi dalam dirinya. Sehubungan dengan itu, hati
manusia diibaratkan seperti raja kepada segala anggota badan manusia, di mana
dalam hati itulah bertempatnya nafsu dan emosi manusia. Allah SWT menciptakan
hati manusia dengan berbagai-bagai sifat dan ragam. Ada masanya hati manusia
itu keluh kesah, ada masanya hati manusia itu tenang, ada masanya dia
pendendam, marah, gembira dan ada waktunya hati manusia itu dalam ketakutan dan
kebimbangan. Semua perasaan yang wujud dalam hati manusia ini memerlukan
bimbingan dan panduan agar dia terus berada dalam landasan yang benar dan
diredai Allah SWT. Menurut Imam
al-Ghazali, apabila manusia mengenal dirinya sendiri, lebih mudahlah dia
mengawal dan menentukan halatuju dirinya
dan tidak membiarkan dirinya musnah dan hancur kerana pujukan hawa nafsu yang
tidak pernah puas dan menerima segala ketentuan Allah SWT. Beliau juga
berpendapat mengenal jiwa manusia akan membawa kepada mengenal Allah SWT dan
menerima hakikat kejadian mereka sebagai hamba yang perlu patuh dan taat kepada
ketentuan Allah SWT.
Kaitan Emosi dan Hubungan
dengan Allah
Ahli psikologi Islam
seperti Imam al-Ghazali, Al-Kindi, Muhammad Uthman Najati dan Muhammad Izzudin
Taufik berpandangan, emosi yang tidak tenang ini adalah kerana manusia tidak
mendekatkan atau menghubungkan diri dengan Allah. Sebaliknya mereka banyak
menurut hawa nafsu. Oleh itu, emosi yang tertekan ini perlu diubati dengan
seruan dakwah Islamiah dengan menggunakan uslub atau pendekatan yang sesuai
(Fariza Md Sham, 2005). Seseorang akan mencapai ketenangan
hati apabila mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah SWT apabila banyak
menyerahkan urusan hidupnya di bawah ketentuan dan takdir Ilahi. Menurut Imam
al-Ghazali ketenangan hati seseorang akan tercapai apabila ia mengetahui
tentang hakikat dirinya sebagai seorang hamba, menyedari hubungannya dengan
Allah SWT sebagai seorang hamba yang mesti akur dan pasrah kepada ketentuan
Tuhannya, mengakui kewujudan alam akhirat sebagai tempat terakhir kehidupan dan
sentiasa membina hubungan yang baik dengan manusia, binatang dan alam
keseluruhannya. Apabila manusia berjaya memperoleh keempat-empat nilai ini
dalam hidup ini, ia akan mendapat ketenangan hati yang sebenar (Norsaleha &
Hafizah, 2016).
6.0
KESIMPULAN
Ketiga-tiga sudut penilaian yang utama : al-Quran,
Hadis dan pandangan ulama-sarjana Islam dalam membicarakan konsep dan falsafah
emosi pada asas utamanya berpaksikan hati dan kembalinya diri seseorang hamba
itu kepada Penciptanya. Hati ialah nukleus, pusat kawalan keseluruhan badan
manusia, baik secara batiniah mahupun secara zahiriah. Panduan al-Quran dan
hadis secara pasti adalah panduan hakiki yang datang daripada Allah selaku
Pencipta manusia dan emosi. Allah Maha Tahu rahsia dan hakikat emosi serta menunjukkan
panduan pengurusannya.
Al-Ghazālī , Abū Hamīd Muhammad ibn
Muhammad. 1994. Majmu’ah rasa’il al-Imam al-Ghazālī . Lubnan: Dar
al-Kutub al-Ilmiah
Dewan Bahasa dan Pustaka, laman Pusat Rujukan Persuratan
Melayu : http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=emosi
Fakhir ‘Akil. 1985. Mu‘jam ‘ilm
al-Nafs. Beirut: Dar El-Ilm Lil Malayin
Ibn Taymiyah, Ahmad. T. th. Amrādh
al-qulūb wa syifā’uha. Jil. 10. Majmū’ah fatāwa Syeikh al-Islam Ahmad
bin Taymiyah. Saudi: al-Ri’āsah al-cāmah li syu’ūn al-haramayn
al-syarīfayn.
Khairul Azhar bin Idris. 2014. Psikologi
dan Pengurusan Emosi Rasulullah SAW. Artikel dalam laman Institut Kefahaman
Islam Malaysia: http://www.ikim.gov.my/index.php/2014/01/16/psikologi-dan-pengurusan-emosi-rasul-saw/
Muhammad ‘Uthman Najati. 1993. al-Qur’an wa ‘ilm al-nafs. Cet. 5.
al-Qahirah: Dar al-Shuruq.
Mujib, Abdul dan Jusuf Mudzakir. 2001. Nuansa-nuansa
Psikologi Islam. Jakarta: Rajagrafindo Persada
Najati, M Utsman. 2001. Al-Quran dan
Ilmu Jiwa. Bandung: Penerbit Aras Pustaka.
Najati, M Utsman. 2005. Hadits dan
Ilmu Jiwa. Terjemahan. Bandung: Penerbit Pustaka
Najāty, Muhammad Uthmān. 1993. al-Dirāsāt
al-nafsāniyah cinda al-culamā’ al-muslimīn. Beirut:
Dār al-Syurūq.
Najāty, Muhammad Uthmān. 1993. al-Hadīs
al-nabawy wa ilm al-nafs. Beirut: Dār al-Syurūq.
Nashori, H. Fuad. 2008.
Potensi-potensi Manusia. Yogyakarta: Penerbit Pustaka Pelajar.
Norsaleha Mohd. Salleh, Noor Hafizah
Mohd. Haridi. 2016. Konsep Kecerdasan Emosi Dalam Islam. Kolej
Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan
Syariah 2016 (IRSYAD2016), Shah Alam, 10
Mei 2016
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Al-Kafi #877: Nasihat dan Tips untuk Mengawal
Kemarahan. 2018. https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2731-al-kafi-877-nasihat-dan-tips-untuk-mengawal-kemarahan
R. Rachmy Diana. 2018. Pengendalian
Emosi Menurut Psikologi Islam. Program Studi Psikologi UIN Sunan Kalijaga,
Yogyakarta, hlm. 43.
Sham, F. M. 2005. Tekanan Emosi Remaja Islam.
Jurnal Islamiyyat. 27(1), hlm.7
Sutoyo, Anwar. 2007. Bimbingan dan
Konseling Islami. Semarang: Cipta Prima Nusantara
Taufiq Yap Yun Hin, Prof. Dr. . Contohi Sikap Pemaaf
Rasulullah. Artikel bertarikh 5
Julai 2018 dalam laman akhbar Harian
Metro: https://www.hmetro.com.my/addin/2018/07/354859/contohi-sikap-pemaaf-rasulullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.