Ulama Benteng

Ulama Benteng

Khamis, 14 Mei 2020

Bagaimana Ruh Kita Diambil Malaikat Nanti?

Bagaimana Keadaan Ruh Kita Akan Diambil oleh Malaikat Nanti? Bagaimanakah Perjalanan Seterusnya Selepas itu Dibawa ke Langit?

Pengajaran daripada hadis Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam

Tulisan Ustaz Ahmad Adnan Fadzil Al-Azhari

PERJALANAN RUH

Sahabat Nabi al-Bara' bin 'Azib RA menceritakan;

"Suatu hari kamu bersama Nabi SAW menghantar jenazah seorang lelaki Ansar yang meninggal dunia. Ketika jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad, baginda duduk dan kami pun turut duduk di sekitar beliau. Di tangan baginda ada sebatang kayu. Baginda menggaris-garis tanah dengan kayu itu, Kemudian mengangkat kepalanya sambil berkata; “Hendaklah kamu sekelian memohon perlindungan Allah dari azab kubur”. Baginda mengulanginya dua atau tiga kali. Seterusnya baginda bersabda;

“Sesungguhnya seorang hamba mukmin ketika hendak berpisah dengan dunia, turun beberapa malaikat dari langit (yakni malaikat rahmat), yang putih wajah mereka seumpama matahari, bersama mereka kain kapan dan bau-bauan dari syurga. Mereka duduk darinya sejauh mata memandang. Kemudian malaikat maut datang dan duduk di hujung kepalanya. Dia pun berkata; ‘Wahai ruh yang baik! Keluarlah kamu untuk menuju kepada keampunan Allah dan keredhaanNya’. Maka keluarlah ruh itu dengan senang seperti air yang menitis keluar dari mulut al-siqa' (sejenis bekas air bercorong, dibuat dari kulit kambing).

Sebaik ruh itu berada dalam genggaman malaikat maut, malaikat-malaikat (rahmat) yang sedang menunggu tadi terus mengambilnya dan memasukkannya ke dalam kain kapan berserta bau-bauan dari syurga tadi. Lalu semerbaklah darinya bau yang amat harum seperti bau kasturi yang paling harum di bumi. Setelah itu mereka membawa ruh itu naik ke langit. Setiap kali bertemu kumpulan malaikat, mereka akan bertanya; “Ruh siapakah yang amat harum ini?”. Malaikat-malaikat (rahmat) itu menjawab; “Ruh fulan bin fulan”, mereka menyebutnya dengan nama yang paling baik yang diberikan kepadanya di atas muka dunia. Apabila sampai di langit, mereka meminta supaya dibukakan pintu langit, lalu dibukakan.

Di setiap langit, ruh beriman itu turut diiringi oleh malaikat penjaga langit untuk naik ke langit berikutnya hinggalah sampai langit ke tujuh. Di situ Allah berkata kepada para malaikat; “Kamu simpanlah catatan hambaku ini di ‘illiyyin (tempat tinggi di bawah 'Arasyh, disimpan di situ buku-buku cacatan amalan orang beriman). Kemudian bawalah dia kembali ke bumi kepada tubuhnya, kerana darinya (yakni dari bumi/tanah) ِِِِAku menjadikan mereka (manusia), kepadanya Aku akan kembalikan mereka dan darinya juga Aku akan bangkitkan mereka".

Setelah dikembalikanlah kepada tubuhnya, datang dua malaikat kepadanya. Mereka mendudukkannya, lalu bertanya; Siapa Tuhan kamu? Dia menjawab; ‘Tuhanku adalah Allah’. Apa agama kamu? Dia menjawab; “Agamaku adalah Islam”. Siapa lelaki ini (Muhammad SAW) yang diutuskan kepada kamu? Dia menjawab; “Itulah Rasul Allah”. Apa ilmu yang kamu miliki?. Dia menjawab; “Aku membaca kitab Allah, lalu aku beriman dan membenarkannya”. Lantas datang seruan dari langit;

“Benarlah hambaKu itu. Hamparilah untuknya hamparan dari syurga, pakaikanlah kepadanya pakaian dari syurga dan bukakanlah satu pintu (dari kuburnya) ke syurga”. Maka masuk ke dalam kuburnya bayu lembut dan bau haruman dari syurga, serta dilapangkan kuburnya sejauh mata memandang.

Tiba-tiba muncul (satu makhluk menyerupai) seorang manusia yang indah rupa parasnya, cantik pakaiannya dan harum baunya. Dia berkata; “Nikmatilah kegembiraan ini. Inilah hari yang dijanjikan untukmu dulu”. Si mati pun bertanya; 'Siapa kamu? Kamu datang dengan wajah yang membawa kebaikan'. Dia menjawab; “Akulah amal soleh kamu”. Si mati lantas berkata; “Wahai Tuhanku! (kalau begini nikmatnya) segerakanlah kiamat, segerakanlah kiamat, supaya aku dapat berhimpun kembali dengan keluargaku”....bersambung (perjalanan ruh orang kafir)

(HR Imam Ahmad; 18534. Menurut Imam al-Haithami dalam Majma’ az-Zawaid; para perawi hadis ini adalah soheh).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...