Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.Pada kali ini, saya mengambil sedikit kesempatan untuk berkongsi kegembiraan dan ketenangan hati yang dicampakkan oleh ALLAH s.w.t. ke dalam hati saya. Alhamdulillah.
Pengajian 'ilmu tasawuf ada menekankan kepentingan kita mempunyai suhbah (persahabatan) yang solehah (dengan mereka yang solihin). Benar, ini adalah keperluan. Perjalanan pengabdian diri ini pasti terlalu banyak liku yang akan menyesatkan ruhani, justeru golongan solihin dan auliyak-Nya perlu kita jadikan sahabat dan pembimbing.
Saya sangat berbesar hati untuk berkongsi sedikit perkenalan saya dengan seorang ustaz di sini, iaitu Al-Ustaz Haitam. Beliau berasal dari Lubnan, namun keluarga beliau berhijrah ke Adelaide. Beliau sekarang mengikuti pengajian di Syria, pengkhususan dalam bidang tafsir Quran dan hadits. Kini beliau sedang bercuti di sini, setelah pulang dua tahun yang lalu.
Alhamdulillah, rahmat ALLAH, dia merupakan salah seorang ustaz yang saya temui dan dapat membersihkan pemikiran saya daripada sangkaan yang kurang baik kepada para 'ulama. Wajah beliau sentiasa terhias dengan senyuman manis, sentiasa berusaha yang terbaik untuk meraikan yang sama-sama berada dalam majlis dengan beliau. Beliau gigih menyampaikan pengajaran dan nasihat, rapi menjaga masa, dan cara penyampaian yang mempesona.
Syukur, penguasaan bahasa Inggeris beliau adalah sangat baik. Dapat memberikan kefahaman kepada sesiapa yang mendengar kuliah beliau.
Apa yang saya alami, hati saya memang berasa tenang setiap kali berada bersama beliau. Mungkin ini adalah apa yang izinkan apabila saya bertemu dengan hamba-Nya yang soleh dan benar-benar berakhlak dengan akhlak Rasulullah s.a.w. yang begitu luhur.
Juga ketenangan dirasai apabila memandang kejernihan wajah beliau. Entah bagaimana pula ketenangan yang lebih dahsyat apabila menatap kejernihan wajah Rasulullah s.a.w., sebaik-baik ciptaan dan kekasih agung ALLAH s.w.t..
Saya juga diberikan keyakinan untuk menerima pengajaran yang disampaikan beliau, insya ALLAH hasil keberkatan beliau menyampaikan ilmu yang bersumber kepada dalil yang kemas dan kukuh. Saya fahami, inilah yang dikatakan "tsiqoh" (kepercayaan) yang dimiliki oleh orang-orang soleh sebegini.
Juga, ALLAH mengizinkan kita untuk merasai motivasi dalam usaha meningkatkan kehambaan kepada-Nya apabila bersahabat dengan golongan solih sebegini.
Insya ALLAH, moga sedikit sebanyak kita semua akan beroleh kebaikan yang berterusan berkat usaha mendampingi dan bersahabat dengan para 'ulama yang solihin.
Tatkala saya memulakan tutur kata, meminta kebenaran untuk bergambar: "....Saya tidak pasti lagi bilakah lagi saya akan bertemu dengan ustaz selepas ini bila ustaz meninggalkan Adelaide ini." Doa beliau: "Insya ALLAH jika saya tidak bertemu dengan awak di dunia ini, kita bertemu di syurga."
Dalam kitab Al-Hikam, Ibnu 'Athoillah mencatatkan:
" Jangan berkawankan seorang yang tidak membangkitkan semangat taat kepada ALLAH, amal kelakuannya dan tidak memimpin engkau ke jalan ALLAH kata-katanya."
Insya ALLAH tidak akan sia-sia.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.