Ulama Benteng

Ulama Benteng

Sabtu, 1 Ogos 2009

Jaga Ni'mat Mata

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Dua ustaz (Ustaz Rozaidi melalui rakaman kuliah beliau di TV Al-Muttaqin, dan Ustaz Haitam yang menyampaikan pengajaran di Masjid Bandar Adelaide selepas solat Isyak) yang saya dengar pengajaran mereka menyatakan (maksudnya dapat saya sampaikan seperti berikut):

Nabi Muhammad s.a.w. ada mengajarkan bahawa sesiapa yang menundukkan pandangannya daripada melihat perkara yang haram, ALLAH akan menggantikannya dengan kemanisan dalam melaksanakan 'ibadah kepada ALLAH s.w.t.

Ustaz Haitam menyatakan, lihat sahaja kemanisan Baginda s.a.w. dalam ibadahnya, apabila berada dalam solat Baginda sudah tidak ingat akan perkara lain dan Baginda sentiasa ternanti-nanti bilakah lagi waktu untuk menunaikan solat.

Ya, saya makin mula terasa keselesaan dan persetujuan dengan disiplin yang ketat dan tinggi, diaturkan oleh para 'ulama tasawuf dalam menjaga kebersihan hati dengan penuh ketelitian.

Benarlah apa yang sentiasa dilaungkan kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya mereka benar-benar menundukkan pandangan (tidak melihat perkara yang haram). Namun, ada keringanan bagi kita untuk memandang beberapa perkara dalam urusan yang mustahak dan tidak dapat dielakkan seperti urusan jual beli (itupun berdasarkan apa yang perlu sahaja).

Ya, selagi mana seorang perempuan itu adalah bukan mahram bagi seorang lelaki, adalah tidak halal bagi lelaki itu untuk memandangnya. Ingatlah wahai lelaki yang beriman, hanya isterimu yang sah dengan ikatan pernikahan adalah halal untuk engkau melihatnya.

Sangat licik tipuan dunia dan syaitan, ada sahaja perkara yang menarik pada wanita. 'Ulama tasawuf menyatakan bahawa pandangan pada wanita adalah satu daripada panahan syaitan yang sangat berbahaya, boleh merosakkan hati.

Ustaz Haitam juga menyatakan, mata adalah salah satu bagaimana keadaan hati kita akan terjaga. Jika ingin membetulkan keadaan hati, betulkan juga apa yang dilihat.

Benar, jika kita menuruti aturan disiplin syariat Islam, akan terasa ketenangan. Bak kata Ustaz Rozaidi, orang lelaki jaga pandangan, orang perempuan tutup sebaik-baiknya tubuh mereka, insya ALLAH akan selesai masalah.

Buat lelaki mukmin, ayuh kita tundukkan pandangan kita dengan sesungguh-sungguh mujahadah kerana ni'mat mata ini adalah ni'mat yang diamanahkan ALLAH s.w.t. kepada kita. Setiap kelipan mata adalah dalam pengetahuan ALLAH dan akan dipersoalkan di mahsyar kelak. Tiada satu pun di luar pengetahuan ALLAH. Daripada Ustaz Fahmi Zamzam, bahawa Imam Ghazali r.t. menyatakan bahawa antara puncak kekufuran seorang hamba itu adalah apabila dia menggunakan ni'mat yang dipinjamkan kepadanya untuk menderhakai Tuan Pemberi ni'mat tersebut.

Buat perempuan mukminah, berpakaianlah dengan sebaik-baik pakaian yang dapat mewujudkan ketenteraman bagi orang-orang lain ketika berada di tempat umum. Kalian adalah fitnah (ujian) yang terbesar bagi lelaki mukmin.

Sunggguh, bimbingan para sufi yang solihin adalah tidak sia-sia dan sangat berguna bagi kita dalam usaha menjaga kebersihan dan kelembutan hati. Moga-moga dengan mujahadah kita menjaga penglihatan mata ini, akan tercapai usaha untuk membentuk qolbun salim (hati yang sejahtera). Hati yang mati dan keras adalah sesuatu yang sangat menakutkan, kerana makin parah keadaan hubungan kehambaan seorang insan itu. Hilang rasa sensitif menjauhi perkara yang tidak disukai ALLAH, terasa malas untuk meningkatkan qurbah (amalan mendekatkan diri kepada ALLAH).


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.





Lihat dan renungi kejernihan wajah para 'ulama, auliya' dan solihin yang menjaga pandangan mereka, terpancar nur dan ketenangan yang dicampakkan ALLAH s.w.t.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...