Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Saya memandang diri saya daripada kacamata insan luar.
Ikhwan,
Tabahkan hati. Teruskan usaha kehambaanmu. Dunia ini memang susah. Nama pun dunia. ALLAH sudah berjanji. Dunia bukan tempat bagi hamba-Nya yang beriman.
Kenapa ALLAH hadirkan kesusahan? ALLAH nak tunjuk bahawa hanya Dia yang berkuasa memudahkan segala urusan hamba-Nya. Kenapa ALLAH beri kesulitan? Kerana ALLAH nak besarkan lagi ganjaran-Nya. ALLAH nak sempurnakan, hebatkan lagi habuan akhirat, ya'ni habuan yang sebenarnya. ALLAH juga mahu tawakkal, kebergantungan kepada Dia lebih diperkasakan. Bukankah dalam kesulitan kita lebih menangisi doa dan permohonan kepada ALLAH? Lebih kuat mengharap agar ALLAH membantu.
Syukurlah kepada ALLAH. Dia masih izinkan lagi usia dipinjam, untuk mempersiapkan persiapan. Melangsaikan hutang. Membersihkan dosa dan keji dengan taubat nasuha.
Sentiasalah miliki bashirah (pandangan mata hati) yang terbaik kepada-Nya. Sungguh, ALLAH Maha Teliti, Maha Adil, dan Maha Membalas. Bersusah-susahlah dalam mentaati-Nya dengan penuh keikhlasan. ALLAH sama sekali tidak mempersia-sia cinta dan penghadapan hamba-Nya.
Teruskan usaha. Usia di dunia ini makin menjadi terlalu pendek. Detik permulaan kehidupan sebenar kian didekati. Pertemuan dengan ALLAH semakin dihadapi. Jangan senang tertipu dengan dunia. Teruskan sujud kepada ALLAH, meletakkan pergantungan kepada-Nya.
Laksanakanlah doa dan ikhtiar yang terbaik kepada diri, ibu dan ayah, keluarga, jiran, sahabat, kenalan, dan umat Islam. Insya ALLAH kita akan bersama-sama menuju kehidupan akhirat yang sejahtera, kekal tiada penghujung. Semoga ALLAH sentiasa merahmati, mengampuni dan menyelamatkan kita daripada kemurkaan dan azab neraka.
Alhamdulillah, Dia izinkan kami untuk mengimarahkan Masjid City, tanda keluasan rahmat-Nya di seluruh alam.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.