Ulama Benteng

Ulama Benteng

Sabtu, 12 Jun 2010

Syeikh Muhammad Fuad : Pengajian Syama-il Muhammadiyah (2)

Sambungan rakaman kuliah sebelum ini. Insya Allah, saya catatkan juga apa yang disampaikan Syeikh Muhammad Fuad pada bahagian bawah ini.




- Bahu Baginda Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam adalah bidang, menunjukkan keperkasaan Baginda.

-Ketika berjalan, Baginda berjalan dengan tegap, seolah-olah berjalan daripada tanah yang tinggi ke tanah yang landai.

-Apabila Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam berpaling, Baginda berpaling seluruh badannya. Ini ialah tanda tawadhu' Baginda, keprihatinan Baginda kepada orang yang berurusan dengan Baginda, orang yang menghadap Baginda, orang yang berbual dengan Baginda. Baginda menghadap dengan keseluruhan badan Baginda terhadap orang tersebut, bukan dengan hanya memalingkan muka sahaja, bukan dengan hanya dengan lirikan mata sahaja.

Tindakan hanya memalingkan muka, hanya dengan lirikan mata ketika bercakap dengan orang lain adalah tanda kesombongan seseorang. Orang yang sombong, ketika bercakap, ada kalanya muka orang yang bercakap dengannya tidak dipandang (muka orang yang sombong itu mengadap tempat lain), dan mata orang yang bercakap dengannya pun tidak dipandang.

Insya Allah, tindakan menghadap orang yang sedang bercakap dengan kita dengan sepenuh badan, akan menyebabkan orang tersebut berasa dirinya dihargai, biarpun kata-kata kita tidaklah sehebat manapun.

Inilah apa yang diamalkan oleh para masyaikh, tuan guru yang berakhlak mulia kepada para anak murid mereka.

Insya Allah, tindakan tersebut (berhadapan dengan orang lain dengan seluruh badan) ialah tindakan yang sangat mulia dan terpuji. Inilah akhlak yang perlu ada kepada orang yang memimpin masyarakat. Paling dekat situasi ini dapat dipraktikkan antaranya adalah ketika bersama dengan isteri, ahli keluarga.

Bahasa badan (body language) adakalanya lebih berkesan daripada bahasa yang dituturkan lidah.

Tindak tanduk secara luaran seseorang menunjukkan apa yang terkandung dalam dirinya (secara rohaniah, batiniah). Perkara tersebut, ya'ni keadaan dalaman seseorang tidak dapat disembunyikan, dan pastinya akan terjelma dalam tindakan. Sifat takabbur seseorang akan terjelma pada cara pergaulannya.

Ulama menyebut, hampir begini: "Sesuatu yang dilafazkan oleh seseorang (kalamnya) pada hakikatnya berpunca daripada hati orang tersebut. Apa yang dilafazkan orang tersebut menjadi bukti apa yang berada dalam hatinya."

Kekuatan kalam (kepetahan berbicara) menjadi daya tarikan kepada manusia lain. Sejarah tamadun manusia mencatatkan, banyak yang orang yang mempunyai pengikut yang ramai, mereka mempunyai kelancaran kata-kata, kepetahan bicara yang memukau para pengikutnya.

Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam ialah orang yang mempunyai kepetahan berbicara yang terbaik.

Selain lisan al-qaul (apa yang disebut dengan lidah), ada lisan al-hal (apa yang ditunjukkan tindak-tanduk seseorang). Lisan al-hal inilah yang jauh lebih sukar untuk dibuat. Lisan al-hal yang sebenarnya boleh berkata-kata, yang boleh menarik orang kepada da'wah.

'Ulama menyebut, kejayaan da'wah Baginda adalah disokong dengan keindahan lisan al-hal Baginda. Pelbagai manusia, termasuk puak kafir tertarik dengan keindahan akhlak, kekuatan lisan al-hal Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam.

Khutbah Baginda tidaklah begitu panjang. Disebutkan oleh 'ulama dalam bidang sejarah, Baginda memendekkan khutbah Juma'at dan memanjangkan solat Juma'at.





Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.

Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...