Jika saya diminta untuk berkongsi nasihat dan panduan asas dan awal bagi sahabat-rakan yang mahu mendalami kefahaman agama dengan cara berguru:
- Utamakan guru yang berautoriti membawa pegangan majoriti ulama Islam (Ahlus Sunnah Wal Jama'ah) yang memberi penekanan kepada tiga-tiga sendi utama ilmu Islam (iaitu aqidah-tauhid, fiqh-syariah, tasawuf-akhlak) sebagaimana dihuraikan daripada hadis Jibril. Guru tersebut sewajarnya adalah guru yang mewarisi kefahaman dan keyakinan ilmu daripada guru sebelumnya yang berantai-bersambungan-musalsal keilmuwannya dengan para ulama sebelum ini yang akhirnya membawa kepada bertemu Baginda Nabi sollaAllahu alaihi wa sallam. Guru tersebut juga menguasai ilmu-ilmu alat yang asas (sepertinya adalah bahasa Arab - maka bagaimana mungkin orang yang membaca buku terjemahan sudah boleh terus menceduk informasi dan terus mengeluarkan hukum dan fatwa yang berat).
- Guru yang sangat wajar atau perlu kita lazimi adalah guru yang punyai tsiqoh (kepercayaan) yang menunjukkan kepada kita akhlak yang mulia, dibuktikan dengan tindakannya. Sewajarnya pertambahan kuantiti dan kualiti ilmu membawa kita untuk semakin berakhlak mulia, bersih diri daripada penyakit 'ujub, sum'ah, riyak secara sendirian atau ketika berada bersama orang lain, takabbur dan seumpamanya.
- Lapangkan dada, bersihkan hati, sucikan niat bahawa tujuan belajar faham agama adalah dengan tujuan untuk beramal, mendapatkan manfaat, untuk lebih mengagungkan Allah dan mencintai Baginda Nabi sollaAllahu alaihi wa sallam dan sesiapa dan apa-apa yang diajarkan kepada kita untuk mencintai mereka.
- Elakkan diri daripada tergelincir atas 'slippery slope' yang menjadikan kita fanatik, ta'asub, merasakan diri dan pilihan guru dan aliran dan kumpulan sendiri sahaja yang paling betul. Elakkan diri daripada berlebih-lebihan untuk kagum pada makhluk sehingga terpaling pandangan kita daripada melihat kepada keagungan Allah.
Kita memohon kepada Allah agar sentiasa dikurniakan keampunan, pimpinan, keberkatan, kemuliaan akhlak, kesudahan hidup yang baik, dan redha-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.