Ulama Benteng

Ulama Benteng

Ahad, 28 Februari 2010

Teknik Belajar: Gunakan Masa yang Singkat


Otak manusia jika digunakan sebaik-baiknya dengan kaedah yang betul pasti mampu memberikan kekuatan ingatan dan daya fikir yang luar biasa. Ini ialah bukti keagungan Allah s.w.t.!



Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Alhamdulillah, saya terjumpa bahan yang berkaitan kaedah belajar dan juga untuk mempertingkat daya ingatan. Insya Allah, semoga ilmu ini bermanfaat bagi kita untuk menghafaz ayat al-Quran dan pelajaran yang lain.

Kadang-kadang kita mungkin berpendapat bahawa jika semakin banyak masa yang digunakan untuk terus menerus membaca atau belajar, maka semakin banyak input yang dapat kita terima.

Namun begitu, pendapat sedemikian adalah tidak begitu tepat. Ahli motivasi menyatakan bahawa masa singkat yang digunakan untuk tujuan belajar adalah lebih produktif.

Bagaimana cara untuk melakukannya?

Peruntukkan masa yang pendek/sekejap bagi setiap sesi belajar atau ulang kaji kita. Kajian yang dilakukan mendapati tempoh belajar yang optimum adalah antara 25 minit hingga 30 minit bagi satu sesi, dengan lima minit rehat di antaranya.

Masa belajar keseluruhannya sebaik-baiknya tidak melebihi dua jam. Jika lebih daripada tempoh dua jam tersebut, susah bagi kita untuk mengekalkan perhatian dan tumpuan.

Kesannya, kita tidak dapat mempelajari banyak perkara walaupun kita kelihatan menghabiskan banyak masa untuk belajar. Sebagai contoh, jika kita ada masa dua jam untuk belajar, kita boleh membahagikan masa tersebut kepada empat sesi setengah jam ( 4 x 30 minit ).

Dalam sesi pertama, kita boleh belajar Sejarah, kemudian kita boleh buat latihan Matematik dalam separuh masa kedua. Dalam sesi ketiga, kita boleh buat latihan menulis dan pada akhirnya kita boleh mempelajari bahasa Arab.

Keempat-empat subjek yang disebut sebentar tadi adalah sekadar contoh sahaja. Kita boleh menyesuaikan dengan keperluan dan suasana pembelajaran kita.

Antara faedah yang dapat diperoleh daripada kaedah ini ialah minda kita tidak menjadi bosan. Pada masa yang sama, kita sebenarnya merangsang semua jenis kebijaksanaan yang kita ada.

Selepas kita belajar selama dua jam, adalah patut bagi kita untuk berehat selama setengah jam sebelum menyambung uji kaji.



Rujukan: Teknik Belajar, Abdul Aziz U. Chulan, FOKUS SPM Januari 2006.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu. Matikanlah kami dalam menyebut kalimah tauhid.

Sabtu, 27 Februari 2010

Mencari Kekayaan Lewat Dakwah


Oleh: Al-Fadhil Al-Ustaz Ahmad Awang


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Apakah maksud pendakwah sebenarnya?

Pendakwah berasal daripada perkataan Arab, da-'iyah atau da'i yang bermaksud orang yang mengajak ke jalan Allah iaitu Islam.

Cara mengajak itu pelbagai bentuk, menjadi guru agama, muazzin, mursyid atau pembimbing dalam amalan tarikat, atau mubaligh dikira pendakwah.

Apakah ciri-ciri seorang pendakwah?

Antara ciri terpenting bagi seorang pendakwah ialah tabligh atau menyampaikan, sama ada dalam bentuk penerangan, penjelasan, menjawab soalan dan sebagainya.

Orang selalu melihat pendakwah itu bercakap. Itu tidak dapat dielakkan kerana untuk mengajar orang lain, memang kita perlu bercakap. Seperti kerja nabi menyampaikan seruan wahyu yang diberikan Allah.

Ia sesuai pula dengan perintah Allah s.w.t. dalam Al-Quran dengan ungkapan "qul..." yang bermaksud, "katakan....". Penyampaian utamanya ialah lisan, tetapi kini bukan lisan sahaja yang penting kerana ada media-media lain seperti tulisan dan alat-alat elektronik.

Walaupun media-media untuk berdakwah kian banyak, yang menyampaikannya ialah pendakwah. Kerana itu dalam bentuk apa juga ilmu agama itu disampaikan, pihak yang menyampaikannya atau pendakwah tetap penting diambil dikira, terutama jika timbul persoalan-persoalan yang memerlukan penjelasan. Kerana itu pendakwah pada hakikatnya juga adalah pembimbing, guru atau lebih luas lagi adalah pakar rujuk dalam apa jua hal ehwal kehidupan berpandukan Islam.


Tentu ada kualiti lain yang perlu bagi membentuk imej seorang pendakwah.

Pokok dakwah ialah amar makruf nahi mungkar, ini adalah tanggungjawab besar. Oleh itu imej pendakwah tidak cukup jika hanya menekankan soal-soal sembahyang, puasa, naik haji, ibadah dan zikir sahaja. Jika dia tidak pernah menyentuh soal-soal mencegah kemungkaran, maka dia tidak layak lagi digelar pendakwah.

Pendakwah ialah orang yang menyampaikan ilmu. Maka perkara utama dalam imej pendakwah ialah alim atau ulama. Mereka tidak semestinya mempunyai sijil bagi membuktikan mereka berilmu kerana ada pendakwah yang alim dalam berpuluh-puluh kitab tanpa diiktiraf dengan sijil, malah ilmu mereka mendapat kepercayaan masyarakat.

Pendakwah juga membawa ilmunya ke tengah masyarakat untuk memberi peringatan agar mengikut jalan Islam serta tidak melanggar perintah Allah. Ini sesuai dengan ayat 122 Surah at-Taubah yang bermaksud:

"....hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)."

Selain itu, pendakwah mempertahankan ilmu agama, sesuai dengan kerja dakwah menyatakan kebenaran. Jika Nabi ditugaskan untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai mengenai hukum-hakam serta ayat-ayat Allah, maka ulama yang sekaligus pendakwah yang menjalankan kerja Nabi mesti memikul tanggung jawab tersebut.

Mereka mesti tegas dalam menyatakan kebenaran. Malah kewujudan mereka yang mendalami dan menyatakan hukum-hakam dalam sesebuah masyarakat adalah fardhu kifayah.

Bagaimanapun, dakwah perlu dijalankan di semua peringkat, maka sekaligus, dakwah juga adalah fardhu 'ain. Contohnya, seorang bapa wajib berdakwah kepada ahli keluarganya, atau seorang Muslim kepada seorang Muslim yang lain.

Bolehkah kerja-kerja dakwah dikira satu profesion seperti bidang-bidang lain?

Jika dikatakan tugas dakwah sebagai profesion, takut orang salah faham, dan menyatakan ia kerja makan gaji. Sebenarnya kerja-kerja dakwah adalah tanggung jawab yang dipikul, sama ada dilantik untuk sesuatu jawatan atau tidak.

Jika pun seorang pendakwah dibayar gaji oleh mana-mana pihak, dia juga harus memenuhi tugasnya dengan berdakwah secara sukarela. Kerja pendakwah tidak terikat dari jam lapan sehingga empat suku. Mereka bergerak untuk menggerakkan masyarakat agar sentiasa berada di dalam landasan Islam.

Lagipun asalnya dalam Islam, tiada satu pekerjaan pun menjadi profesion. Tetapi keadaan memerlukan diwujudkan bidang-bidang profesion, ia diharuskan sebagai satu jalan.

Contohnya jawatan khalifah. Saidina Abu Bakar dinasihatkan oleh para sahabat lain agar tidak berniaga lagi kerana khuatir kerja-kerja khalifah terbengkalai atau tidak dihormati sebagai khalifah.

Saidina Abu Bakar diminta menumpukan masanya untuk kerja-kerja khalifah yang merupakan tahap tertinggi dakwah, dan dia diberi gaji. Khalifah Abu Bakar tidak meminta bayaran tinggi cuma sekadar yang memadai dengan keperluan keluarganya dan keadaan hidupnya sebelum ini.

Apabila Saidina Umar menjadi khalifah pula, dia tidak mendapat bayaran setinggi Saidina Abu Bakar, malah jika terlebih akan dipersoalkannya. Sikap ini sesuai dengan cara hidupnya yang selama ini tidak bermewah-mewah.

Apa yang ingin dijelaskan ialah apabila disebut professional, dia akan mendapat ganjaran keduniaan apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Itu tidak salah seperti juga dengan jawatan guru agama.

Dahulu apabila guru agama membuka sekolah, orang-orang kampung tahu sekiranya dia masih berbendang untuk menyara hidup, sukar baginya untuk memajukan sekolah. Jadi dia boleh diberi sumbangan zakat agar dapat member tumpuan kepada sekolah.

Tetapi apabila zaman berubah, perlu ada jawatan dan dilantik guru berkelayakan. Ini tidak menjadi halangan. Cuma yang menjadi persoalan ialah janganlah mereka menjalankan kerja tersebut hanya kerana gajinya. Ertinya apabila dia menilai tugasnya hanya berasaskan gaji, ini yang dicela oleh Islam. Bermakna dia menjadikan tugas dakwah yang menjadi amal ibadah dunia akhirat menjadi dunia sahaja.



Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu. Matikanlah kami dalam menyebut kalimah tauhid.

Jumaat, 26 Februari 2010

Hadits Qudsi: Seruan Hamba Allah kepada Hamba-Nya


Maha Suci Allah yang telah menjadikan hidup dan mati sebagai ujian untuk melihat siapakah yang lebih baik amalannya. Hidup hamba yang memenuhi tuntutan dan seruan Tuhannya pasti akan beroleh kebahagiaan yang sejati.


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


Berbakti kepada Allah


"Telah Aku sediakan balasan untuk hamba-Ku yang soleh apa yang belum pernah dilihatnya dan belum pernah didengarnya, malah tak pernah terangan-angan dalam fikiran manusia."

(Riwayat Tirmidzi, daripada Abu Hurairah)

"Berniat sahaja hamba-Ku akan melakukan satu kebaikan, sudah Aku sediakan untuknya satu pahala. Kalau sudah sampai dia melakukan niatnya itu, akan Aku sediakan untuknya paling sedikit 10 pahala, bahkan ada yang sampai 700 pahala. Sebaliknya, bila dia hanya berniat saja akan melakukan sesuatu kejahatan Aku diamkan. Kalau sampai dilaksanakannya, Aku catat untuknya satu dosa."

(Riwayat Tirmidzi, daripada Abu Hurairah)


Rujukan: Taman Syurga Idaman, Himpunan Hadith-hadith Qudsi. Susunan Rosli Haji Ibrahim.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu. Matikanlah kami dalam menyebut kalimah tauhid.

Khamis, 25 Februari 2010

Jumpa Lagi Wahai Adik-adikku!


Allahu Allah, memang indah ukhuwwah yang dijalinkan kerana-Nya. Terasa kekosongan jiwa ini terisi dengan kekenyangan. Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya kerana mengurniakan ni'mat ini, mempertemukan hati kita dengan hati-hati lain yang turut ikhlas kepada Allah s.w.t. Insya Allah, insan yang saling berkasihan dengan insan lain kerana Allah s.w.t. serta bertemu dan berpisah demi-Nya, akan mendapat naungan Allah pada hari tidak lagi naungan selain naungan-Nya. Ya Allah, jadikanlah kami daripada golongan tersebut.



Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


Perjalanan tarbiyyah saya mungkin tidak selurus sahabat-sahabiah yang sejak awal lagi berada di Taska Islam, kemudian ke sekolah rendah dan menengah agama, lebih-lebih lagi nama-nama yang masyhur seperti KISAS, SMAPL, SMAPK, MATRI, Maktab Mahmud dan lain-lain lagi. Saya juga tidak melalui jalan tarbiyyah tersebut di mana-mana institusi yang pengajian terasnya dalam bidang keagamaan seperti sekolah pondok, maahad tahfiz, Darul Quran, UIAM, Al-Azhar dan yang lain-lain.

Namun, syukur tetap menjadi kewajipan kita sebagai hamba-Nya. Puncak kesyukuran seorang hamba pula adalah mentaati perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Bukanlah syukur itu menjadi cukup tertunai dengan sekadar menyebut alhamdulillah, namun hati sentiasa lalai, manakala anggota badan melakukan kema'siatan.

Kadang-kadang, kalau kita cuba menginsafi keagungan dan kebijaksanaan Allah s.w.t. maka kita akan merasa bertambah malu kepada-Nya. Segala aturan-Nya kepada kita yang beriman pasti adalah yang terbaik! Mustahil Allah menetapkan sesuatu yang sia-sia. Maka, teruskan kesungguhan kita dalam berjalan untuk membaiki diri dan menghadap Tuhan kita.

Alhamdulillah, saya sekadar ingin menzahirkan rasa senang hati saya serta kesyukuran atas limpahan kurnia Allah yang semakin mengizinkan saya merasai kemanisan ukhuwwah Islamiyyah / suhbab solehah demi keredhaan-Nya.

Moga kita dapat memantapkan ukhuwwah yang solehah dengan semua saudara seIslam kita hingga "Bila bertemu tak jemu, bila berpisah rasa gelisah."



Bersama adik-adik bekas pimpinan badan da'wah dan juga ketua pengawas SBPI Gombak pada bulan 11 tahun 2009. Berat hati juga untuk berpisah dengan antum, terasa ingin saja kita selalu bersua. Kemesraan yang dipamerkan, berkat kebersihan hati antum sukar untuk dilupakan begitu sahaja. Selamat berjuang wahai adinda-adindaku, moga Allah mengizinkan keredhaan-Nya menjadi habuan kita pada setiap detik kita di dunia dan di akhirat nanti.


Jangan diucap selamat tinggal atau selamat berpisah, tapi ucapkanlah sehingga bertemu lagi. Jika tidak bertemu lagi di dunia ini, insya Allah kita bertemu di syurga-Nya nanti.



Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu. Matikanlah kami dalam menyebut kalimah tauhid.

Selasa, 23 Februari 2010

Ringkasan 30 Nasihat Buat Para Pendakwah


Para penda'wah membawa imej Islam yang dipamerkan kepada masyarakat. Kesilapan dan kecacatan akhlak mereka membawa kesan yang negatif kepada masyarakat. Kemuliaan ajaran Islam tercalar dengan pelbagai sangkaan yang tidak sepatutnya. Ayuh, tingkatkan usahamu wahai para penda'wah, moga-moga kalian tidak menjadi ejen fitnah untuk Islam.



Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,


Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


Saya kini berada dalam beberapa hari sebelum berangkat pulang ke Australia pada Jumaat 26 Februari 2010 ini. Insya Allah akan diteruskan tahun kedua pengajian rasmi dalam bidang geologi sebelum menamatkan pengajian ijazah sarjana muda pada penghujung tahun depan.

Keberadaan saya di rumah ini tidak dapat melarikan perhatian saya kepada koleksi buku dan bahan bacaan yang ada. Kalau ikut hati, macam nak telaah kesemuanya. Banyak juga bilangan buku yang ikut hatinya nak dibawa balik ke Adelaide sana. Namun had muatan beg adalah 20 kg. Kena pandai memilih keutamaan, insya Allah.

Saya terjumpa satu majalah yang menarik dan cocok dengan jiwa para da'ie. Majalah tersebut berjudul "Mihwar" -Rujukan Generasi Pewaris. Saya yakin, Mihwar kini sudah sangat sukar untuk ditemui di pasaran dan saya tidak pasti dengan perkembangannya yang terkini.

Hati saya memang terpikat dengan kandungan Mihwar. Tak rasa jemu nak membelek setiap halamannya.

Pada kali ini, saya berasa amat berharga untuk berkongsi permata yang saya temui dalam majalah tersebut. Namun begitu, saya sekadar memuatkan ringkasannya sahaja. Penulisan yang sepenuhnya adalah berjudul 30 Nasihat Buat Para Pendakwah. Moga-moga ilmu ini bakal menjadi sesuatu yang berguna dan berkat untuk kita amalkan secara bersama, lebih-lebih lagi apabila membawa amanah selaku pendakwah.


Ringkasan 30 Nasihat Buat Para Pendakwah


1. Ikhlas.

2. Menentukan tujuan dakwah yang jelas.

3. Bersikap sebagai seorang mujahid.

4. Menuntut ilmu.

5. Tidak terlalu idealis.

6. Tidak berputus asa terhadap rahmat Allah.

7. Seimbang antara khauf (perasaan takut akan Allah) dan raja' (pengharapan kepada Allah).

8. Tidak mengkritik peribadi tertentu dengan menyebut identiti mereka.

9. Tidak merasa bersih di hadapan orang.

10. Tidak menambahi ucapan melebihi kitabullah.

11. Tidak berpaling walau perosak dan kerosakan bermaharajalela.

12. Tidak menjadikan hadits maudhu' sebagai dalil.

13. Tidak memperkecil organisasi atau kelompok tertentu.

14. Menentukan sesuatu masalah sesuai dengan kadarnya.

15. Berlemah lembut dan kasih sayang ketika memberi nasihat.

16. Bergaul dengan baik sesama manusia dan menghormati mereka.

17. Isytiharkan bahawa dakwah adalah untuk kemaslahatan.

18. Peka dan prihatin terhadap isu-isu semasa.

19. Berkomunikasi dengan orang lain sesuai tahap pemikirannya.

20. Tidak memperlihat aib orang lain untuk mengangkat diri sendiri.

21. Memelihara peribadi sebagai Qudwah.

22. Menjalinkan hubungan dengan orang lain.

23. Memiliki Wala' dan Bara' yang nisbi.

24. Memiliki sikap bermasyarakat.

25. Memelihara tadarruj dalam berdakwah.

26. Meletakkan manusia sesuai dengan kedudukannya.

27. Muhasabah dan memohon dengan rendah diri kepada Allah.

28. Memiliki kelebihan dalam amal ibadah.

29. Sedikit cita-cita terhadap dunia dan persiapkan menghadapi kematian.

30. Penampilan yang baik.



Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu. Matikanlah kami dalam menyebut kalimah tauhid.

Isnin, 22 Februari 2010

Nasihat Imam Ghazali r.t. Berkenaan Waktu

Disebutkan dalam satu hadits Rasulullah s.a.w. bahawa ada dua bentuk ni'mat yang diabaikan oleh kebanyakan manusia; ya'ni ni'mat masa lapang dan ni'mat kesihatan.



Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


Didoakan agar semua para pembaca dan penulis sendiri sentiasa berada dalam keadaan tenang dan sejahtera. Insya Allah pada kali ini, perbincangan kita akan sekali lagi berbicara soal waktu. Perbincangan kali ini akan mengambil penulisan Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali rohimahullahu ta'ala yang dipetik daripada kitab "ايها الولد" (Ayyuhal Walad - Wahai Anakku) yang diterjemahkan oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahullah.

Saya mula berkenalan dengan kitab ini ketika berada di alam sekolah menengah apabila terlihat sahabat seperjuangan sedang membacanya. Pada pendapat saya, kitab Ayyuhal Walad ini sudah menjadi bahan bacaan yang sudah biasa di Maktab Mahmud. Bagi saya pula, saat tersebutlah menjadi saat perkenalan saya dengan kitab tersebut.

Apabila dibaca, saya mula merasai keseronokan isi kandungan yang dimuatkan oleh Imam Ghazali rohimahullah ta'ala (r.t.). Boleh dikatakan, penulisan kitab ini adalah lebih bertujuan untuk mendidik anak kecil dalam pembentukan budi pekerti yang mulia. Kitab ini sememangnya sangat berguna untuk dijadikan bahan bacaan dan perbincangan pada peringkat sekolah dan lain-lain.

Berikut adalah penulisan Imam Ghazali r.t. yang diambil daripada Nasihat Pertama.

Waktu Itu Ialah Kehidupan

Wahai anakku yang tercinta,

Sebahagian daripada nasihat yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya ialah sabdaan Baginda yang berbunyi: Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah Ta'ala daripada seseorang hamba apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat sahaja daripada umurnya yang telah digunakan pada barang yang bukan merupakan tujuan hidupnya (iaitu beribadah kepada Allah) maka layaklah bahawa akan panjang penyesalannya (pada hari kiamat nanti) dan siapa yang umurnya lebih daripada 40 tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi kejahatannya maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka. Sebenarnya sekadar ini sudah cukup untuk menjadi nasihat kepada semua orang yang berilmu.


[Tamat penulisan Imam Ghazali]

Sememangnya nasihat ini jika diteliti mempunyai peringatan yang sangat berat dan besar. Apa yang dinyatakan di atas apabila umur kita melebihi 40 tahun namun jika kebaikan masih lagi belum melebihi keburukan maka dikatakan perlu bersedia untuk berada di dalam neraka adalah selari dengan hadits Rasulullah s.a.w. yang menyatakan Allah s.w.t. tidak menerima keuzuran seseorang insan yang tidak dapat beramal dengan sebaik-baiknya walupun telah diberi usia untuk hidup selama 60 tahun. Turut dikatakan kepada kita bahawa umur bagi umat Nabi Muhammad s.a.w. adalah dalam lingkungan 60 hingga 70 tahun.

Oleh sebab yang demikian, maka tidak hairanlah jika kita menelusuri kisah orang-orang soleh sebelum ini ternyata umur mereka adalah sangat penuh dengan amal 'ibadat. Ada disebut dalam kitab Bustanul Arifin susunan Imam An-Nawawi rohimahullahi ta'ala bahawa ada seorang 'alim yang mempunyai anak-anak murid. Ketika umurnya meningkat tua, maka 'amal ibadatnya menjadi berkurang, bersesuaian dengan keuzuran yang dialami. Namun apa yang menginsafkan kita ialah kuantiti 'amalnya yang berkurang semasa umur tua itu tidak dapat pun ditandingi oleh anak-anak muridnya yang masih muda.

Moga-moga saya dan anda semua mendapat keberkatan daripada ilmu ini dan masa kita akan menjadi lebih terisi dengan manfaat.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu. Matikanlah kami dalam menyebut kalimah tauhid.

Ahad, 21 Februari 2010

Allahu Allah, Ketenangan itu Kurniaan-Mu

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.


Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Benarlah apa yang disebut-sebut para 'ulama, kalau kita berkawan dengan orang yang menjual minyak wangi, kita akan mendapat lekat bau wangi tersebut. Sebaliknya, andai kita berkawan dengan pembuat besi, kita akan mendapat lekat bau tersebut.

Gambar membawa pelbagai mesej, kan? Beberapa gambar sepanjang ziarah saya ke Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada siang tadi (20 Februari 2010).





Semoga Allah memberkati dan memelihara persahabatan yang dijalinkan, bersama-sama saling memberi nasihat, motivasi, bantuan dalam perjalanan ini. Destinasi kita tetap sama, mudah-mudahan dapat selamat menghadap Allah s.w.t.

Kenangan yang sangat indah di bumi barakah ini, insya Allah satu perpisahan yang dipelihara Allah s.w.t. Kejernihan wajah, kesopanan tutur kata amat memikat hati, menjelmakan kebersihan hati insan-insan tersebut.



Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu. Matikanlah kami dalam menyebut kalimah tauhid.


Sabtu, 20 Februari 2010

Malaikat Hadir dalam Majlis Zikir

Kesempatan untuk berada dalam majlis zikir (seperti kuliah dan pengajian agama) sewajarnya dilihat sebagai peluang keemasan. Sebagaimana ada yang disebutkan dalam hadits Baginda s.a.w. , insya Allah mereka yang berada dalam majlis tersebut akan mendapat pengampunan Allah s.w.t. , disertai para malaikat, diturunkan rahmat dan ketenangan serta disebutkan oleh Allah pada malaikat-Nya.



Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


Malaikat ialah makhluk ciptaan Allah yang mentaati-Nya sepenuhnya. Mereka tidak sama sekali mengingkari Allah s.w.t. Ada pelbagai tugas yang dipikul oleh para malaikat, antaranya ada yang ditugaskan untuk mencari dan menyertai majlis zikir. Majlis zikir dapat kita fahami dengan mudah sebagai satu pertemuan atau duduknya manusia, dan sepanjang pertemuan itu mereka mengingati Allah s.w.t. . Contohnya ialah adanya majlis pengajian ilmu fardhu' ain, majlis tahlil, perayaan Maulid Nabi Muhammad s.a.w., forum agama dan lain-lain lagi.

Insya Allah, pada perbincangan kali ini kita akan cuba mengikuti satu petikan hadits yang diambil dari kitab 'Aqidah Islam yang ditulis oleh Sayid Sabiq seperti berikut:

Kehadiran Malaikat dalam Majlis Zikir (pengajian dan lain-lain):

Malaikat itu selalu mencari majlis yang diadakan untuk berzikir ya'ni ingat kepada Allah Ta'ala yang berupa pengajian agama dan sebagainya. Kepentingannya adalah untuk memberikan dorongan semangat kepada hadirinnya dengan kekuatan rohaniah.

Disebutkan dalam sebuah hadits, daripada Abu Hurairah rodhiyallahu 'anhu, katanya: Rasulullah shollaLlahu 'alaihi wasalam bersabda: (Terjemahan hadits)

"Sesungguhnya Allah itu mempunyai malaikat yang menyebar di jalan untuk mencari kumpulan orang-orang yang ahli berzikir (sedang mengadakan pengajian atau hal-hal urusan keagamaan). Jikalau mereka menemukan sekelompok kaum yang berzikir kepada Allah, lalu mereka berseru: "Marilah, di sini dapat terpenuhi hajatmu semua." Mereka itu mengebas-ngebas sayap-sayap mereka sehingga datang di langit dunia."

Rasulullah shollaLlahu 'alaihi wasalam meneruskan sabdanya:

Tuhan lalu bertanya - tetapi Dia adalah lebih mengetahui perihal keadaan hamba-hamba-Nya:

"Apakah yang diucapkan oleh hamba-hamba-Ku itu?"

Malaikat menjawab: "Mereka itu sama memahasucikan, memahabesarkan, memuji serta memahaagungkan kepada-Mu."

Tuhan: "Adakah mereka telah pernah melihat Aku?"

Malaikat: "Tidak, demi Allah mereka belum pernah melihat-Mu."

Allah: "Bagaimana sekiranya mereka dapat melihat Aku?"

Malaikat: "Andaikata mereka dapat melihat-Mu, tentulah mereka akan lebih sangat 'ibadatnya, lebih lagi mengagungkan dan lebih banyak memahasucikan pada-Mu."

Allah: "Apakah yang mereka minta pada-Ku?"

Malaikat: "Mereka meminta syurga pada-Mu."

Allah: "Adakah mereka sudah pernah melihat syurga?"

Malaikat: "Tidak, demi Allah mereka belum pernah melihatnya."

Allah: "Bagaimanakah sekiranya mereka sudah melihatnya?"

Malaikat: "Andaikata mereka telah melihatnya, tentulah mereka akan lebih tertarik untuk memperolehnya dan lebih sungguh-sungguh mencarinya; juga lebih sangat pula keinginan untuk mencapainya."

Allah: "Daripada apakah mereka meminta perlindungan?"

Malaikat: "Mereka memohonkan perlindungan daripada neraka."

Allah: "Adakah mereka telah melihat neraka itu?"

Malaikat: "Tidak, demi Allah mereka tidak pernah melihatnya."

Allah: "Bagaimana sekiranya mereka telah melihatnya?"

Malaikat: "Andaikata mereka telah melihatnya, tentulah mereka akan lebih lari untuk menjauhinya dan sangat pula ketakutannya daripada neraka itu."

Allah: "Aku persaksikan padamu semua bahawa Aku telah mengampuni hamba-hamba-Ku itu."

Seorang di antara malaikat itu ada yang berkata:

"Di antara mereka ada seorang yang sebenarnya bukan termasuk golongan ahli zikir itu. Ia datang di situ hanya ada sesuatu keperluan yang lain saja."

Allah berfirman: "Mereka itu adalah suatu kelompok kaum yang siapa saja mengawani mereka tentu tidak akan menjadi kaum yang celaka."

Hadits di atas diriwayatkan oleh Bukhari dengan lafaz dari padanya pula.

Juga diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz yang berbeza sedikit:

"Sesungguhnya Allah Yang Maha Suci dan Luhur itu mempunyai malaikat yang berkeliling dan utama sifatnya. Mereka itu mencari majlis-majlis zikir (pengajian atau hal-hal keagamaan). Apabila mereka menemukan suatu majlis di dalamnya berisi zikir, lalu mereka pun duduklah beserta hadirin yang ada di situ. Mereka berbaris antara yang sebahagian dengan lainnya dengan merapikan letak sayapnya sehingga memenuhi tempat-tempat yang ada di antara mereka dengan langit."

Rasulullah shollallahu 'alaihi wasalam melanjutkan sabdanya:

"Allah 'Azza wa Jalla lalu bertanya dan Dia adalah lebih mengetahui tentang keadaan hamba-hamba-Nya:

"Dari mana kamu semua datang?"

Para malaikat menjawab: "Kami semua datang dari tempat hamba-hamba-Mu di bumi. Mereka itu sama memahasucikan, memahabesarkan, mengesakan, memuji serta memohon kepada-Mu."

Allah: "Apakah yang mereka mintakan pada-Ku?"

Malaikat: "Mereka memohonkan syurga-Mu."

Allah: "Adakah mereka sudah pernah melihat syurga-Ku?"

Malaikat: "Belum ya Tuhan."

Allah: "Bagaimana sekiranya mereka tahu syurga-Ku itu?"
(Maksudnya tentu akan lebih hebat lagi 'ibadatnya.)

Malaikat: "Mereka memohonkan perlindungan pada-Mu."

Allah: "Dari apakah mereka memohonkan perlindungan?"

Malaikat: "Dari neraka-Mu ya Tuhan."

Allah: "Adakah mereka sudah pernah melihat neraka-Ku?"

Malaikat: "Belum ya Tuhan."

Allah: "Bagaimana kalau mereka melihat neraka-Ku itu?"
(tentunya akan lebih takut lagi)

Malaikat: "Mereka juga memohonkan pengampunan pada-Mu."

Allah: Aku telah memberikan pengampunan kepada mereka dan Kuberikan pula apa yang mereka minta serta Kuperlindungkan pula mereka itu daripada apa yang mereka mohonkan perlindungannya."

Malaikat: "Di kalangan mereka ada seorang hamba yang banyak kesalahannya, ya Tuhan. Ia hanyalah berjalan melalui tempat majlis zikir itu, lalu ikut duduk dengan orang-orang tersebut."

Allah: "Orang itu pun Kuampuni. Kelompok itu adalah kaum yang siapa sahaja menemani mereka tentu tidak akan menjadi orang yang celaka."



Rujukan: Kitab "Al-'Aqidah Al-Islamiyah" oleh Sayid Sabiq, terjemahan Moh. Abdai Rathomy. Penerbit C.V. Diponegoro-Bandung.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu. Matikanlah kami dalam menyebut kalimah tauhid.

Jumaat, 19 Februari 2010

Keutamaan Berjabat Tangan

Segala sunnah Rasulullah s.a.w. termasuk 'amalan berjabat tangan adalah sangat berguna untuk kita selaku umat-Nya. Tanamkan kesungguhan dalam diri untuk melaksanakan sunnah Baginda s.a.w. dengan sepenuh keikhlasan, moga-moga menjadi satu keberkatan dan melayakkan kita untuk menerima syafa'at Baginda s.a.w. kelak.



Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Apa khabar sahabat-sahabiah pembaca semua? Bagaimana dengan ketenangan hati kita pada hari ini? Insya Allah, lautan rahmat Allah yang tidak bertepi sentiasa menanti kita. Mari bersama-sama kita bersikap optimis dengan keluasan rahmat Allah s.w.t. yang mengatasi kemurkaan-Nya sebagaimana ada disebutkan dalam hadits sahih riwayat Imam Bukhari.

Ketinggian peradaban Islam yang dibawa oleh Saiyyidina Habibina Maulana Nabiyuna Muhammad s.a.w. tidak ada tandingan baginya. Dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara ditunjukkan cara pelaksanaannya dengan penuh tertib oleh Baginda s.a.w. Benarlah firman Allah s.w.t. yang menyatakan Nabi Muhammad s.a.w. adalah rahmat ke seluruh alam, dan dalam keluasan lautan rahmat tersebut, rahmat dalam bentuk akhlak karimah dan hamidah adalah sangat besar.

Beruntunglah bagi mereka yang sentiasa berusaha untuk benar-benar beramal dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dengan kefahaman yang betul dan baik. Cara hidup yang ditunjukkan Nabi Muhammad s.a.w. adalah cara hidup yang terbaik, tiada keraguan padanya.

Pada perbincangan kali ini, insya Allah kita akan merujuk penulisan Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam berkaitan amalan berjabat tangan yang dipetik daripada kitab 40 Hadits Akhlak Mulia.

[Bermula tulisan Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahullah, Hadits ke-21, Kitab 40 Hadits Akhlak Mulia]

Berjabat Tangan

Terjemahan hadits:

Daripada Al-Barak bin ‘Aazib rhodiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

Tidak ada dari dua orang Muslim yang berjumpa lalu keduanya berjabat tangan, melainkan diampuni bagi mereka berdua sebelum mereka berpisah.

Hadits Riwayat Abu Daud

Dan daripada 'Abdullah bin 'Umar rodhiyallahu 'anhuma ada disebutkan satu kisah yang panjang....beliau berkata: "Lalu kami mendekati Rasulullah shollalLahu 'alaihi wasalam dan kami mencium tangannya."

Hadits Riwayat Abu Daud

Keterangan

Berjabat tangan adalah salah satu di antara lambang kasih sayang sesama Muslim. Apabila kita menghulurkan tangan kepada seseorang, itu menunjukkan hati kita bersih terhadapnya. Begitu pula, kalau dia sudi menghulurkan tangannya kepada kita, itu juga menunjukkan kebersihan hatinya terhadap kita. Maka apabila berlaku jabat tangan antara kedua orang yang muslim, bererti mereka telah mengikhlaskan sahabatnya masing.

Mereka tidak menaruh sebarang dendam atau permusuhan. Jadi kalau begitu keadaan antara mereka berdua, maka Allah Taala akan merestui perbuatan mereka itu dengan mengampuni dosa-dosa mereka terhadap Tuhan.

Kalau memang ada sesuatu permusuhan antara dua orang, memang jabat tangan tidak akan berlaku. Masing-masing mengelak dari bertemu dan memalingkan mukanya dari sahabatnya. Maka ini adalah salah satu sifat yang tercela di dalam agama kita.

Selain daripada berjabat tangan, juga disunatkan mencium tangan orang yang lebih mulia daripada kita, seperti kedua orang tua kita atau guru kita, kerana yang demikian itu telah dilakukan oleh para sahabat terhadap Rasulullah shollaLlahu 'alaihi wasalam seperti yang disebutkan dalam hadits di atas.

[Tamat tulisan Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam]

Sekali lagi, 'ibadah dalam Islam adalah terlalu luas. Berjabat tangan sekalipun dapat mengampunkan dosa kita. Namun perlu kita sedari bahawa 'amalan memberikan senyuman dan berjabat tangan turut menuntut kebersihan dan kesediaan hati. Benarlah apa yang disebut oleh 'ulama bahawa tindakan zahiriah (luaran) kita akan menjelmakan apakah sebenarnya keadaan hati (dalaman) kita.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu.

Khamis, 18 Februari 2010

Fenomena Akhir Zaman: Bertambah Anak Zina


Jauhilah segala permulaan kepada zina dan sebarang perkara yang mendekatkan kita kepada perbuatan terkutuk ini. Umat sebelum ini tewas dengan godaan kepada zina. Ada yang akhirnya mati dalam keadaan kufur kepada Allah biarpun pada permulaanya adalah baik. Na'uzubillah min zaalik.


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


Dewasa ini, kita sering didedahkan dengan fenomena dan kejadian yang sangat membimbangkan. Fenomena dan kejadian tersebut pula berlaku sebagai akibat daripada sikap manusia yang mengingkari peraturan yang telah digariskan oleh syar’iat Islam. Kita sememangnya berasa amat risau dengan pertambahan kes seperti pembuangan bayi hasil daripada perbuatan zina.

Saiyyiduna Habibuna Muhammad s.a.w. ialah insan terpilih. Kata-kata Baginda s.a.w. adalah tidak berdasarkan nafsu dan perasaan, tetapi berteraskan wahyu Allah yang diturunkan kepada Baginda s.a.w. Benarlah segala kata-kata Baginda s.a.w. dan akan berlaku apa yang dituturkannya.

Dalam perbincangan kali ini, kita akan melihat dan cuba memahami sebuah hadits Nabi Muhammad s.a.w. berkaitan peristiwa akhir zaman. Secara khususnya, gejala yang berlaku pada akhir zaman adalah bertambahnya bilangan anak zina.

Daripada Ummul Mukminah, beliau berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sentiasalah umatku dalam kebaikan selama belum meluas dalam kalangan mereka anak zina. Kalau sudah ramai dalam kalangan mereka anak-anak zina, maka segeralah mendapat azab dan malapetaka yang bermacam-macam.

Hadits Riwayat Ahmad dan Tabrani

Huraian Hadits (oleh Drs. H. Syahrin Nasution)

Menurut hadis itu kalau sudah ramai atau bersepah anak-anak zina akan muncullah bala yang bermacam-macam. Peperangan dianggap sebagai bala, perpecahan umat dianggap sebagai bala dan mendapat penguasa yang zalim dianggap sebagai bala. Begitu juga dengan penyakit, kemarau, naiknya harga barang, gempa bumi, banjir, angin kencang dan sebagainya.

Semua yang disebutkan itu sudah pasti akan merosak kehidupan dan sudah tentu menyusahkan kita. Kadangkala ketika menerima bencana seperti itu kita lalai dan tidak menyedari bahawa itu semua sebagai peringatan daripada Allah. Sepatutnya kita segera bertaubat dan mencegah terjadinya maksiat itu.

Hadis itu menunjukkan bahawa azab Allah akan segera turun jika sudah melambak-lambak anak-anak haram atau anak luar nikah. Kita berlindung kepada Allah dari yang sedemikian itu. Kita hidup pada zaman bermasyarakat dunia sudah tidak mempunyai malu lagi, tidak mempunyai pertimbangan, tidak memikirkan akibat perbuatannya dan tidak memikirkan dosa. Keruntuhan moral itu bukannya hanya satu segi, sama ada yang berkaitan dengan keagamaan, keduniaan, masyarakat atau individu.

Dalam setiap generasi apabila sudah hancur akhlak masyarakatnya maka akan lahirlah anak-anak zina dan terjadi pembuangan bayi di mana-mana. Ada orang yang membuat bayi di tempat pembuangan sampah, ada yang membuang bayi di semak-semak, di tandas hospital dan ada juga yang membuatnya di halaman masjid.

Inilah fenomena yang kita rasakan sekarang ini. Anak zina memang sudah banyak jumlahnya. Menurut Syeikh Abdullah Al-Talidi dalam bukunya Sebab-sebab Kehancuran Umat , yang saya terjemahkan sendiri, mengatakan: “Di sesetengah negara ada yang jumlah anak zina menyamai anak yang sah. Semua ini menandakan buruknya keadaan masyarakat. Sebab itulah mungkin banyak bala dan macam-macam bencana yang berlaku.

“Di Rusia dan China hampir semua anak-anak yang ada di sana terdiri daripada anak zina. Mereka tidak memerlukan perkahwinan dan tidak ada istilah keluarga. Mereka yang berfahaman komunis itu berkongsi dalam segala hal, termasuk isteri. Mereka boleh berkongsi menggauli seseorang wanita dan anak dari hasil perkongsian itu dianggap sebagai anak negara. Cara berfikir mereka atau fahaman songsang mereka itu kadangkala mempengaruhi cara berfikir masyarakat kita yang beragama Islam.”

[Tamat Huraian Drs. H. Syahrin Nasution]

Amalan zina dan pembuangan bayi yang semakin kritikal ini sememangnya sangat merisaukan. Kita bimbang dengan hari esok dan masa yang akan datang akibat perbuatan 2 dosa yang saling berkaitan ini. Balasan Allah dalam pelbagai bentuk keseksaan tidak dapat dihalang jika diturunkan. Diturunkan bala itu pula ke atas keseluruhan sesuatu masyarakat, bukan kepada golongan tertentu sahaja. Oleh sebab yang demikian, setiap daripada kita perlu mengambil perhatian yang serius, cakna dengan permasalah ini dan segera mengambil tindakan yang praktikal dan efektif. Sedar sahaja tanpa ada tindakan tidak akan mampu menyelesaikan masalah yang melanda.

Allahu Allah, kami pohonkan bantuan dan pimpinan-Mu dalam kami menghadapi masalah dan kemungkaran sebegini. Sungguh tiada daya dan upaya melainkan dengan apa yang Kau pinjamkan kepada kami.

Rujukan: 50 Hadis Menceritakan Dunia Akhir Zaman, Drs. H. Syahrin Nasution.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu.

Rabu, 17 Februari 2010

'Ulama Silam Menjaga Kesucian Jasmani dan Rohani

Berkata Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki yang maksudnya hampir begini: "'Memang mudah untuk ulama mencapai tahap 'ulama dalam bidang fiqh, tetapi tidak mudah di sisi tasawuf. Antara syarat yang perlu ada untuk menjadi 'ulama di sisi tasawuf ialah perasaan takut kepada Allah s.w.t., beramal dengan 'ilmu yang ada, serta 'ilmu tersebut berada di hatinya dengan baik sebelum disampaikan kepada orang lain."



Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


'ULAMA SILAM MENJAGA KESUCIAN JASMANI DAN ROHANI

Pencari ilmu dulu berbeza dengan sekarang. Dulu, agar ilmunya berkat, para pencari ilmu sentiasa menjaga kesucian jasmani mahupun rohaninya.

Para 'ulama sentiasa berusaha agar fizikal dan mental tetap berada dalam keadaan paling baik, ketika berinteraksi dengan 'ilmu, apalagi dengan nas-nas suci.

Imam Malik sentiasa mandi, memakai pakaian lengkap serta wangian, ketika menyampaikan hadits Rasulullah s.a.w. . Begitu juga Imam Bukhari beliau pernah mengatakan, "Aku tidak pernah menulis dalam kitabku (Sahih Bukhari) sebuah hadis pun, kecuali aku mandi dan melakukan solat dua rakaat terlebih dahulu." sebagaimana dinukilkan Imam Laknawi dalam Dhafar al-Amani.

Imam Abu Hanifah melaksanakan solat dan beristighfar, jika kesulitan dalam memecahkan sesebuah masalah.

Waqi bin Jarah, salah seorang guru Imam Syafi'e terkenal memiliki hafalan yang kuat. Tidak pernah kelihatan dia membawa kitab, kerana kitab-kitab itu isinya telah dihafalnya. Ketika ditanya, bagaimana dia boleh memiliki hafalan yang begitu kuat? Dia menjawab, "Dengan menghindari maksiat."

Al-Faqir pernah bertanya kepada Tuan Guru Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahullah mengenai cara untuk memiliki ingatan yang kuat, maka Tuan Guru ada menyebut mengenai pertanyaan yang ditanyakan oleh Imam Syafi'ie rahimahullah ta'ala mengenai lemahnya ingatan. Maka memang jelas, cara untuk memiliki ingatan yang kuat adalah dengan menjauhi ma'siat, kerana 'ilmu itu adalah nur, dan nur pula tidak dipancarkan kepada hati yang diduduki ma'siat.

Moga-moga kita diberi izin oleh Allah s.w.t. untuk sedaya upaya menjauhi segala perkara yang haram dan sia-sia.


*Tulisan ini ada merujuk Majalah I, keluaran Jun 2009

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu.

Selasa, 16 Februari 2010

Kebijaksanaan 'Ulama Mengatur Masa


Bagi para 'ulama, masa adalah terlalu berharga. Ada diceritakan bahawa ada 'alim yang mengupah budak lelaki untuk membacakan kitab kepada beliau semasa mandi. Masa yang berlalu pula tidak akan dapat kita capai kembali. Ayuh, ayuh kita jadikan setiap detik kehidupan kita sebagai 'ibadah kepada Allah s.w.t. bagi mengelakkan penyesalan yang terlalu dahsyat semasa pengadilan Mahkamah Qadhi Rabbun Jalil nanti.


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


KEBIJAKSANAAN ‘ULAMA MENGATUR MASA

Waktu adalah amat berharga pada mata para ‘ulama. Tidak hanya menggunakannya, akan tetapi mengaturnya sehingga pemanfaatan waktu boleh lebih efektif dan efisien.

Ibnu al-Jauzi dalam Shaid al-Kathir menjelaskan, “Termasuk keharusan dalam mencari ilmu adalah mengutamakan hal-hal yang penting. Contohnya seseorang yang menghafal hadits.

“Barangsiapa hendak melakukan solat Jumaat makanya hendaknya dia mandi.” Sebanyak 20 periwayatan.

Pada hal hadits sudah sahih dengan satu periwayatan. Dengan begitu menurut al-Jauzi seseorang itu telah menyibukkan dirinya hanya dengan adab mandi! “Padahal umur manusia pendek,” katanya.

Al-Jauzi menyebutkan bahawa mengulang hafalan ialah satu keharusan bagi seorang pencari ilmu. Tetapi menelaah dan mencatat juga hal yang penting. Maka perlu ada pembahagian waktu iaitu menghafal pada waktu siang dan malam, sisanya untuk menelaah, mencatat dan istirahat.

Khatib al-Baghdadi dalam al-Faqih wa al-Mutafaqih mengatakan, "(Waktu) sahur, tengah hari dan malam ialah waktu yang paling baik untuk menghafal. Menghafal pada waktu malam lebih baik daripada waktu siang. Dan menghafal ketika lapar lebih baik daripada perut dalam keadaan kenyang."

Adapun tempat yang paling untuk menghafal ialah ghuraf (sebuah ruangan yang berada di tempat yang lebih tinggi) serta tempat-tempat yang jauh daripada permainan. Dan tidak baik menghafal di kebun, tepi sungai, jalan mahupun tempat-tempat yang ramai, kerana boleh mengganggu tumpuan.

Bagi kita selaku umat Baginda s.a.w. tercinta, adalah amat praktikal dan berguna untuk menelusuri dan mengikuti jalan yang dilalui oleh para 'ulama solihin kerana mereka adalah pewaris para Nabi, meneruskan misi risalah tauhid. Moga-moga dengan keberkatan menjaga adab dan akhlak sebagaimana yang diajarkan oleh Baginda Muhammad s.a.w., hidup kita akan menjadi sentiasa terisi dengan kebajikan, terhindar daripada segala keburukan dan perkara yang sia-sia.



* Tulisan ini ada merujuk www.hidayatullah.com


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu.

Isnin, 15 Februari 2010

Minum Cara Nabi




Segala puji dan kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerana menjadikan kita umat kepada Insan Agung Muhammad s.a.w. Ya Rasulallah, benarlah kehebatan akhlakmu serta jasa mendidik kami, hatta cara minum pun kau ajarkan kepada kami.

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Nabi Muhammad s.a.w. mengajar kita adab-adab ketika minum:

1. Minum Beberapa Kali Teguk

Rasulullah s.a.w. tidak menggalakkan seseorang menghabiskan minumannya dengan satu teguk. Hadits diriwayatkan Imam At-Tirmidzi, Baginda bersabda:

"Jangan kamu habiskan minuman dengan satu teguk seperti unta tetapi minum dengan dua ataupun tiga teguk. Sebut Bismillah apabila kamu hendak mulakan minuman dan puji Allah apabila kamu selesai."

2. Ketika Minum Juga, Makruh Hukumnya Jika Kita Menghembuskan Nafas Di Dalam Gelas Atau Bekas Minuman

Kita dianjurkan menghembuskan nafas tiga kali di luar bekas minuman. Dalam hadits daripada Imam Bukhari dan Imam Muslim, Anas bin Malik meriwayatkan:

"Rasulullah s.a.w. minum dengan tiga nafas."
3. Baca Doa Sebelum dan Selepas Minum

Sebagaimana disebut dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi:

"Sebut Bismillah apabila kamu hendak memulakan minuman dan puji Allah apabila kamu selesai."


Terjemahan: "Segala puji bagi Allah yang menjadikannya tawar dan sedap dengan kasih sayang-Nya, dan tidak menjadikannya masin kerana dosa-dosa kami."

4. Menjaga Kebersihan

Agama Islam agama yang memberi penekanan tentang aspek kebersihan. Makanan dan minuman perlu ditutup agar tidak terdedah kepada lalat dan serangga. Islam juga melarang kita membiarkan bekas air, tangki kita menyimpan air dalam keadaan tidak tertutup kerana akan terdedah kepada kotoran.


Rujukan: ASUH Mac 2009


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu.

Ahad, 14 Februari 2010

Tersenyum Apabila Berjumpa Orang

Berikanlah senyuman yang ikhlas datang daripada hati dan sentiasa pamerkan wajah yang manis kepada saudara-saudara Islam kita. Rasulullah s.a.w. tidak mempamerkan wajah yang tidak manis kepada para sahabat. Yakinlah, senyuman itu pun ialah satu sedekah. Bukankah dengan senyuman mahabbah sesama umat Islam akan dapat diperkasakan lagi?



Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Kepada semua pembaca yang budiman, saya berasa terpanggil untuk turut memanggil diri sebagai Al-Faqir bagi lebih menyedarkan diri akan hakikat kelemahan diri sebagai hamba yang sentiasa bergantung hajat kepada Allah s.w.t. Jika para 'ulama yang jauh lebih 'arif billah memanggil diri mereka sebagai al-Faqir, maka lebih wajarlah bagi kita yang serba jahil dan lemah ini untuk melembutkan hati dengan menyedarkan diri dengan kefaqiran yang ada.

Al-Faqir sudah jatuh hati dengan penulisan ilmu dan tarbiyyah Sang Murabbi Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki. Al-Faqir sudah pun mendapatkan beberapa kitab yang disusun, ditulis dan diterjemahkan oleh beliau. Al-Faqir memang berasa kesedapan menghayati susunan ilmu yang disampaikan dan sangat berasa berbesar hati untuk dikongsikan dalam blog peribadi ini, moga-moga menjadi amal jariah yang berterusan hingga hari kiamat melalui wasilah penyebaran ilmu yang bermanfaat baik kepada Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam, diri Al-Faqir sendiri dan anda semua yang bakal meneruskan usaha penyebaran 'ilmu yang bermanfaat ini.

Insya Allah pada kali ini, kita akan bersama-sama cuba menghayati Hadits Kekasih kita, Saiyyidina Habibina Nabiyyuna Muhammad shollallahu 'alaihi wasallam berkaitan senyuman. Amalan ini tampak ringkas, namun mampu memberikan kesan positif yang sangat besar dan menyuburkan perasaan mahabbah fillah (kasih sayang kerana ALLAH s.w.t.). Moga kita beroleh kekuatan untuk memahaminya dengan baik, mengamalkannya sekaligus membuktikan kecintaan kepada Baginda s.a.w. dengan mengikuti sunnah Baginda memberikan senyuman. Moga kita tergolong dalam golongan yang bakal menyahut panggilan Baginda nanti; "Ummati, ummati, ummati....." untuk mendapatkan syafa'at Baginda.

Bermulalah penulisan Muallif bagi kitab 40 Hadits Akhlak Mulia, ya'ni Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam hafizahullah.

Hadits yang diberi judul Tersenyum Bila Berjumpa Orang.

Terjemahan hadits:

Daripada Abu Dzar rodhiyallahu 'anhu berkata: Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

"(Wahai Abu Dzar!) Jangan engkau menganggap hina suatu kebaikan, walaupun kebaikan itu berupa senyuman yang manis apabila bertemu saudaramu."

Hadits Riwayat Muslim
Dan dalam suatu riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Senyumanmu terhadap saudaramu itu adalah bagimu satu sedeqah."

Hadits Riwayat At-Tirmidzi
Keterangan

Tersenyum apabila kita berjumpa sahabat adalah lambang kesucian hati terhadap sahabat. Biasanya senyuman ini beriringan dengan salam yang diberikan. Dengan itu keadaan bertambah mesra dan hati pun bertambah cinta.

Walaupun senyuman ini mudah dilakukan, namun banyak yang tidak melaksanakan, kerana senyuman itu satu lambang luaran yang menunjukkan kecintaan dalam di dalam hati. Kalau hati yang memang tidak cinta kepada seseorang maka senyuman itu tidak dapat dibuat-buat. Kalau dibuat-buat maka ia akan kelihatan tidak begitu manis atau dalam bahasa lain dikatakan senyum kambing.

Jadi, senyuman manis ini pada hakikatnya bukan suatu yang mudah dilaksanakan. Ia memerlukan kepada suatu persediaan yang mantap terlebih dahulu, seperti senang hati, lapang dada, bersih jiwa dari pengaruh sifat-sifat permusuhan atau kesombongan. Oleh kerana itu Nabi shollallahu 'alaihi wa sallam mengatakan bahawa senyuman yang manis itu sebagai satu sedeqah yang akan didapati pahalanya pada hari kiamat nanti.

[Tamat penulisan Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam]

Kehalusan akhlak yang dibawa Rasulullah s.a.w. sememangnya indah dan mempesonakan. Sekecil-kecil senyuman ikhlas pun insya Allah akan membawa rahmat dan membantu kita mencapai keredhaan Allah s.w.t.

Perlu kita ambil kira juga perkara yang dikatakan Al-Ustaz mengenai kebersihan hati dan sifat-sifat dalaman yang membolehkan senyuman manis dan ikhlas itu dapat diberikan. Tidak mungkin hati yang berkarat dan bersarang dengan pelbagai menyakit berupaya memberikan senyuman tersebut.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu.

Sabtu, 13 Februari 2010

Hadits Memotong Kuku


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.



Tahukah kita? Sanad bagi hadits memotong kuku hanya diriwayatkan/diijazahkan pada hari Khamis. -Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al-Maliki.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu.

Jumaat, 12 Februari 2010

Buangkan Sifat Pemarah

Orang yang kuat di sisi Islam ialah orang yang mampu mengawal kemarahannya.


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Oleh Ustaz Dr. Nik Yusri

Sifat marah dan panas baran merupakan sifat yang digerakkan dan disuburkan oleh syaitan. Syaitan sentiasa meniupkan api kemarahan kepada manusia supaya bertindak di luar batas kemanusiaan. Apabila seseorang marah maka ia pasti hilang kawalan diri dan masuk ke dalam perangkap syaitan.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
"Apabila seseorang kamu sedang marah, maka berwuduklah. Kalau ia sedang berdiri maka duduklah, sekiranya ia sedang duduk maka baringlah."

Untuk mengelakkan daripada cepat marah antaranya ialah:

  1. Sentiasa berwuduk.
  2. Memahami bahawa sifat marah tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada kita malah lebih memudaratkan.
  3. Sentiasa membaca atau berzikir dengan اعوذ بالله من الشّيطان الرّجيم


Dipetik daripada ASUH Mac 2009

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...