Segala sunnah Rasulullah s.a.w. termasuk 'amalan berjabat tangan adalah sangat berguna untuk kita selaku umat-Nya. Tanamkan kesungguhan dalam diri untuk melaksanakan sunnah Baginda s.a.w. dengan sepenuh keikhlasan, moga-moga menjadi satu keberkatan dan melayakkan kita untuk menerima syafa'at Baginda s.a.w. kelak.
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Apa khabar sahabat-sahabiah pembaca semua? Bagaimana dengan ketenangan hati kita pada hari ini? Insya Allah, lautan rahmat Allah yang tidak bertepi sentiasa menanti kita. Mari bersama-sama kita bersikap optimis dengan keluasan rahmat Allah s.w.t. yang mengatasi kemurkaan-Nya sebagaimana ada disebutkan dalam hadits sahih riwayat Imam Bukhari.
Ketinggian peradaban Islam yang dibawa oleh Saiyyidina Habibina Maulana Nabiyuna Muhammad s.a.w. tidak ada tandingan baginya. Dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara ditunjukkan cara pelaksanaannya dengan penuh tertib oleh Baginda s.a.w. Benarlah firman Allah s.w.t. yang menyatakan Nabi Muhammad s.a.w. adalah rahmat ke seluruh alam, dan dalam keluasan lautan rahmat tersebut, rahmat dalam bentuk akhlak karimah dan hamidah adalah sangat besar.
Beruntunglah bagi mereka yang sentiasa berusaha untuk benar-benar beramal dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dengan kefahaman yang betul dan baik. Cara hidup yang ditunjukkan Nabi Muhammad s.a.w. adalah cara hidup yang terbaik, tiada keraguan padanya.
Pada perbincangan kali ini, insya Allah kita akan merujuk penulisan Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam berkaitan amalan berjabat tangan yang dipetik daripada kitab 40 Hadits Akhlak Mulia.
[Bermula tulisan Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahullah, Hadits ke-21, Kitab 40 Hadits Akhlak Mulia]
Berjabat Tangan
Terjemahan hadits:
Daripada Al-Barak bin ‘Aazib rhodiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
Tidak ada dari dua orang Muslim yang berjumpa lalu keduanya berjabat tangan, melainkan diampuni bagi mereka berdua sebelum mereka berpisah.
Hadits Riwayat Abu Daud
Dan daripada 'Abdullah bin 'Umar rodhiyallahu 'anhuma ada disebutkan satu kisah yang panjang....beliau berkata: "Lalu kami mendekati Rasulullah shollalLahu 'alaihi wasalam dan kami mencium tangannya."
Hadits Riwayat Abu Daud
Keterangan
Berjabat tangan adalah salah satu di antara lambang kasih sayang sesama Muslim. Apabila kita menghulurkan tangan kepada seseorang, itu menunjukkan hati kita bersih terhadapnya. Begitu pula, kalau dia sudi menghulurkan tangannya kepada kita, itu juga menunjukkan kebersihan hatinya terhadap kita. Maka apabila berlaku jabat tangan antara kedua orang yang muslim, bererti mereka telah mengikhlaskan sahabatnya masing.
Mereka tidak menaruh sebarang dendam atau permusuhan. Jadi kalau begitu keadaan antara mereka berdua, maka Allah Taala akan merestui perbuatan mereka itu dengan mengampuni dosa-dosa mereka terhadap Tuhan.
Kalau memang ada sesuatu permusuhan antara dua orang, memang jabat tangan tidak akan berlaku. Masing-masing mengelak dari bertemu dan memalingkan mukanya dari sahabatnya. Maka ini adalah salah satu sifat yang tercela di dalam agama kita.
Selain daripada berjabat tangan, juga disunatkan mencium tangan orang yang lebih mulia daripada kita, seperti kedua orang tua kita atau guru kita, kerana yang demikian itu telah dilakukan oleh para sahabat terhadap Rasulullah shollaLlahu 'alaihi wasalam seperti yang disebutkan dalam hadits di atas.
[Tamat tulisan Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam]
Sekali lagi, 'ibadah dalam Islam adalah terlalu luas. Berjabat tangan sekalipun dapat mengampunkan dosa kita. Namun perlu kita sedari bahawa 'amalan memberikan senyuman dan berjabat tangan turut menuntut kebersihan dan kesediaan hati. Benarlah apa yang disebut oleh 'ulama bahawa tindakan zahiriah (luaran) kita akan menjelmakan apakah sebenarnya keadaan hati (dalaman) kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.