Berikanlah senyuman yang ikhlas datang daripada hati dan sentiasa pamerkan wajah yang manis kepada saudara-saudara Islam kita. Rasulullah s.a.w. tidak mempamerkan wajah yang tidak manis kepada para sahabat. Yakinlah, senyuman itu pun ialah satu sedekah. Bukankah dengan senyuman mahabbah sesama umat Islam akan dapat diperkasakan lagi?
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Kepada semua pembaca yang budiman, saya berasa terpanggil untuk turut memanggil diri sebagai Al-Faqir bagi lebih menyedarkan diri akan hakikat kelemahan diri sebagai hamba yang sentiasa bergantung hajat kepada Allah s.w.t. Jika para 'ulama yang jauh lebih 'arif billah memanggil diri mereka sebagai al-Faqir, maka lebih wajarlah bagi kita yang serba jahil dan lemah ini untuk melembutkan hati dengan menyedarkan diri dengan kefaqiran yang ada.
Al-Faqir sudah jatuh hati dengan penulisan ilmu dan tarbiyyah Sang Murabbi Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki. Al-Faqir sudah pun mendapatkan beberapa kitab yang disusun, ditulis dan diterjemahkan oleh beliau. Al-Faqir memang berasa kesedapan menghayati susunan ilmu yang disampaikan dan sangat berasa berbesar hati untuk dikongsikan dalam blog peribadi ini, moga-moga menjadi amal jariah yang berterusan hingga hari kiamat melalui wasilah penyebaran ilmu yang bermanfaat baik kepada Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam, diri Al-Faqir sendiri dan anda semua yang bakal meneruskan usaha penyebaran 'ilmu yang bermanfaat ini.
Insya Allah pada kali ini, kita akan bersama-sama cuba menghayati Hadits Kekasih kita, Saiyyidina Habibina Nabiyyuna Muhammad shollallahu 'alaihi wasallam berkaitan senyuman. Amalan ini tampak ringkas, namun mampu memberikan kesan positif yang sangat besar dan menyuburkan perasaan mahabbah fillah (kasih sayang kerana ALLAH s.w.t.). Moga kita beroleh kekuatan untuk memahaminya dengan baik, mengamalkannya sekaligus membuktikan kecintaan kepada Baginda s.a.w. dengan mengikuti sunnah Baginda memberikan senyuman. Moga kita tergolong dalam golongan yang bakal menyahut panggilan Baginda nanti; "Ummati, ummati, ummati....." untuk mendapatkan syafa'at Baginda.
Bermulalah penulisan Muallif bagi kitab 40 Hadits Akhlak Mulia, ya'ni Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam hafizahullah.
Hadits yang diberi judul Tersenyum Bila Berjumpa Orang.
Terjemahan hadits:
Daripada Abu Dzar rodhiyallahu 'anhu berkata: Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
"(Wahai Abu Dzar!) Jangan engkau menganggap hina suatu kebaikan, walaupun kebaikan itu berupa senyuman yang manis apabila bertemu saudaramu."Hadits Riwayat Muslim
Dan dalam suatu riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Senyumanmu terhadap saudaramu itu adalah bagimu satu sedeqah."Hadits Riwayat At-Tirmidzi
Keterangan
Tersenyum apabila kita berjumpa sahabat adalah lambang kesucian hati terhadap sahabat. Biasanya senyuman ini beriringan dengan salam yang diberikan. Dengan itu keadaan bertambah mesra dan hati pun bertambah cinta.
Walaupun senyuman ini mudah dilakukan, namun banyak yang tidak melaksanakan, kerana senyuman itu satu lambang luaran yang menunjukkan kecintaan dalam di dalam hati. Kalau hati yang memang tidak cinta kepada seseorang maka senyuman itu tidak dapat dibuat-buat. Kalau dibuat-buat maka ia akan kelihatan tidak begitu manis atau dalam bahasa lain dikatakan senyum kambing.
Jadi, senyuman manis ini pada hakikatnya bukan suatu yang mudah dilaksanakan. Ia memerlukan kepada suatu persediaan yang mantap terlebih dahulu, seperti senang hati, lapang dada, bersih jiwa dari pengaruh sifat-sifat permusuhan atau kesombongan. Oleh kerana itu Nabi shollallahu 'alaihi wa sallam mengatakan bahawa senyuman yang manis itu sebagai satu sedeqah yang akan didapati pahalanya pada hari kiamat nanti.
[Tamat penulisan Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam]
Kehalusan akhlak yang dibawa Rasulullah s.a.w. sememangnya indah dan mempesonakan. Sekecil-kecil senyuman ikhlas pun insya Allah akan membawa rahmat dan membantu kita mencapai keredhaan Allah s.w.t.
Perlu kita ambil kira juga perkara yang dikatakan Al-Ustaz mengenai kebersihan hati dan sifat-sifat dalaman yang membolehkan senyuman manis dan ikhlas itu dapat diberikan. Tidak mungkin hati yang berkarat dan bersarang dengan pelbagai menyakit berupaya memberikan senyuman tersebut.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.