Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Kepada semua pembaca yang amat saya hargai, maaf saya pohon andai laman ini lama tak terusik. Hal ini demikian kerana saya turut berkhidmat untuk Portal APIS (www.apisbp.com). Secara kasarnya, apa yang saya muatkan di sana lebih kurang apa yang saya muatkan di sini, kecuali perkara yang agak santai dan menggambarkan pendapat peribadi.
Ada juga sahabat yang tanya, kenapa macam dah tak aktif blog ni. Lagi tersentuh bila dikaitkan dengan tidak istiqamah. =( . 'Ala kulli hal, peringatan yang amat baik.
Jadi, saya ambil pendekatan untuk catat apa sahaja yang boleh dan bermanfaat. Yang penting mesej dan manfaat yang nak dikongsi, kan? Apa guna tulis berjela-jela panjang tapi pembaca susah nak ambil manfaat. Insya Allah, saya cuba catat apa yang boleh.
Kali ni saya sentuh sedikit tentang sekufu, khusus kepada bakal pasangan yang nak dirikan rumah tangga kelak. Saya bukan nak seronok-seronok dengan nafsu remaja bercakap tentang perkara ini. Tapi, saya berfikir tentang keperluannya supaya kehidupan kita insya Allah lebih terancang dan bersedia. Hal ini juga saya peroleh kesedaran mengenainya daripada pemerhatian yang dibuat.
Saya lebih suka untuk memahami pasangan yang serasi ini sebagai pasangan yang tidak terlalu besar jurang perbezaan. Mudah bicara saya katakan, pasangan ini perlulah mudah masuk jiwa mereka, secocok, dan tidak terlalu besar dan banyak pergeseran serta perselisihan.
Saya ambil contoh yang sangat mudah. Bolehkah seorang isteri yang kurang serasi dan tidak faham akan keperluan suami yang terlibat dengan jama'ah, usaha-usaha da'wah dan islah serta keilmuwan yang tidak begitu banyak masa lapang tersedia dengan keluarga, untuk bertahan dengan suasana sebegini?
Saya ambil contoh juga, bolehkah seorang isteri yang tidak serasi bersedia untuk menerima seorang suami yang amat menekankan 'ilmu dan tarbiyyah, ke sana ke sini untuk bertemu dengan 'ulama dalam pengajian? Suami tersebut juga menekankan pengamalan 'ilmu dalam keluarga. Isteri yang serasi yang wajar bersedia dengan keadaan sedemikian yang bakal dilalui.
Insya Allah, masing-masing boleh menjadi serasi dengan saling memahami antara satu sama lain dan bersedia ke arahnya.
Benda ini sangat penting, pasangan kita bukan benda pakai buang, tetapi suatu amanah yang insya Allah akan dipertahankan hingga ke akhirat kelak. Bukannya kata sebulan dua sudah rasa jemu dengan pasangan, boleh terus bercerai.
Sedarlah, pembentukan keluarga Islam yang sejati amat mustahak dalam pembentukan masyarakat Islam yang harmoni dan pembentukan generasi anak-anak yang lebih mengutamakan tuntutan Allah s.w.t.
Wallah a'lam. Sekadar lontaran idea. Anda boleh turunkan komen juga untuk kita bincang. Insya Allah. Jazakumullah khairal jazak.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.