Perjalanan kita di dunia ini adalah terlalu sementara dan pastinya akan sampai ke penghujungnya. Pohonlah kekuatan dan bantuan ALLAH untuk merebut segala peluang kebaikan sebagai bekalan menuju negeri akhirat.
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Terjemahan ayat:
Negeri akhirat itu kami jadikan bagi orang-orang yang tidak menyombongkan diri dan tidak membuat kerosakan di bumi. Dan kesudahan yang baik itu bagi orang-orang yang bertaqwa. Barangsiapa yang datang dengan kebaikan, maka dia akan mendapat yang lebih baik daripada kebaikan itu, dan barangsiapa yang datang dengan membawa kejahatan, maka orang yang telah mengerjakan kejahatan itu diberi balasan balasan seimbang dengan apa yang dikerjakan.
Surah Al-Qasas, ayat 83 dan 84.
Di sini dimuatkan juga beberapa cacatan yang diambil daripada Tafsir Al-Azhar tulisan Prof. HAMKA yang berkaitan ayat Al-Quran di atas, seperti yang berikut:
"Itulah dia kampung akhirat." (pangkal ayat 83). Kampung sebenarnya sebagai perhentian terakhir bagi insan; "Yang telah Kami sediakan dia untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri di muka bumi." Mentang-mentanglah lupa kepada diri, dipandang barang pinjaman Allah kepunyaan sendiri, dipandang kecil dan hina orang lain yang tidak mempunyai kekayaan.; "Dan tidak pula berbuat kerosakan." Sombong adalah merosak diri sendiri. Tetapi kalau sudah berani berbuat kerosakan, maka tindakan itu telah mulai merugikan masyarakat. Orang seperti ini kerjanya mengeruhkan yang jernih dan mengusutkan yang selesai. Kesudahan hidup orang yang sebegini tidaklah akan selamat; "Dan kesudahan yang baik adalah untuk orang-orang yang bertaqwa." (Hujung ayat 83)
Sebab jiwa orang yang bertaqwa itu selalu mendapat bimbingan Tuhan. Sebab itu dia tidak terombang-ambing oleh pasang naik atau pasang surut kehidupan.
"Barangsiapa yang datang membawa kebaikan." (pangkal ayat 84). Iaitu yang datang menghadap ALLAH jika pulang ke akhirat itu kelak. "Maka dia akan mendapat lebih baik daripada kebaikannya itu." Satu kebaikan dibalas 10 kali ganda, kadang-kadang 700 kali ganda, bahkan kadang-kadang lebih; "Dan barangsiapa yang datang membawa kejahatan, maka tidaklah akan diganjar orang yang berbuat amal yang jahat itu, melainkan (seimbang) dengan apa yang mereka kerjakan jua." (hujung ayat 84)
Begitulah kasih sayang Allah kepada hamba-Nya, sehinggalah tidak pantas lagi si hamba menderhaka.
Menurut Ikrimah, "Menyombongkan diri adalah bersimaharajalela."
Menurut Sufyan Ats-Tsauri yang diterimanya pula daripada Muslim Albathin: Menyombong ialah takabbur. Merosak di muka bumi ialah mengambil harta orang tidak dengan jalan yang halal.
Menurut Ibnu Juraij: Menyombong ialah membesarkan diri, merasa tidak ada yang di atas dia lagi. Merosak di muka bumi ialah berbuat ma'siat.
Tetapi semata-mata memakai pakaian yang bagus, kenderaan yang bagus, dan rumah yang pantas belumlah pasti bahawa orang itu sombong atau merosak di muka bumi. Yang penting dijaga ialah hati supaya tawadhu'. Ada tersebut dalam sebuah hadits yang sahih daripada Rasulullah s.a.w. :
"Sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku, memesan supaya kamu semua ini bertawadhu' (merendahkan diri) dan janganlah yang seorang membanggakan diri kepada yang seorang dan jangan pula berlaku semau-maunya saja yang satu kepada yang lain."
Tetapi kalau berpakaian bagus semata-mata kerana menyukai yang bagus, yang indah, yang pantas, tidaklah mengapa. Tersebut pula pada sebuah hadits bahawa seseorang datang kepada Rasulullah lalu bertanya: "Ya Rasul Allah! Saya ini suka kalau pakaian saya indah, alas kaki saya pun indah."
[Tamat Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA]
Apa yang dapat kita ambil peringatan secara ringkas ialah:
- Negeri akhirat itu ialah destinasi sebenar kita, disediakan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.
- Ada dua ciri yang perlu dihapuskan daripada diri kita untuk melayakkan kita mendapat tempat yang selamat di negeri akhirat tersebut, ya'ni menghapuskan sifat menyombongkan diri dan membuat kerosakan di bumi.
- Allah menjanjikan kesudahan yang baik kepada orang-orang yang bertaqwa.
- Bekalan amalan kita yang baik menuju ke negeri akhirat pastinya membolehkan kita mendapatkan sesuatu yang lebih baik daripada itu.
- Amalan-amalan jahat yang telah dilakukan pasti akan mendapat balasan yang setimpal oleh Allah s.w.t.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.