Ulama Benteng

Ulama Benteng

Khamis, 18 Februari 2010

Fenomena Akhir Zaman: Bertambah Anak Zina


Jauhilah segala permulaan kepada zina dan sebarang perkara yang mendekatkan kita kepada perbuatan terkutuk ini. Umat sebelum ini tewas dengan godaan kepada zina. Ada yang akhirnya mati dalam keadaan kufur kepada Allah biarpun pada permulaanya adalah baik. Na'uzubillah min zaalik.


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


Dewasa ini, kita sering didedahkan dengan fenomena dan kejadian yang sangat membimbangkan. Fenomena dan kejadian tersebut pula berlaku sebagai akibat daripada sikap manusia yang mengingkari peraturan yang telah digariskan oleh syar’iat Islam. Kita sememangnya berasa amat risau dengan pertambahan kes seperti pembuangan bayi hasil daripada perbuatan zina.

Saiyyiduna Habibuna Muhammad s.a.w. ialah insan terpilih. Kata-kata Baginda s.a.w. adalah tidak berdasarkan nafsu dan perasaan, tetapi berteraskan wahyu Allah yang diturunkan kepada Baginda s.a.w. Benarlah segala kata-kata Baginda s.a.w. dan akan berlaku apa yang dituturkannya.

Dalam perbincangan kali ini, kita akan melihat dan cuba memahami sebuah hadits Nabi Muhammad s.a.w. berkaitan peristiwa akhir zaman. Secara khususnya, gejala yang berlaku pada akhir zaman adalah bertambahnya bilangan anak zina.

Daripada Ummul Mukminah, beliau berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sentiasalah umatku dalam kebaikan selama belum meluas dalam kalangan mereka anak zina. Kalau sudah ramai dalam kalangan mereka anak-anak zina, maka segeralah mendapat azab dan malapetaka yang bermacam-macam.

Hadits Riwayat Ahmad dan Tabrani

Huraian Hadits (oleh Drs. H. Syahrin Nasution)

Menurut hadis itu kalau sudah ramai atau bersepah anak-anak zina akan muncullah bala yang bermacam-macam. Peperangan dianggap sebagai bala, perpecahan umat dianggap sebagai bala dan mendapat penguasa yang zalim dianggap sebagai bala. Begitu juga dengan penyakit, kemarau, naiknya harga barang, gempa bumi, banjir, angin kencang dan sebagainya.

Semua yang disebutkan itu sudah pasti akan merosak kehidupan dan sudah tentu menyusahkan kita. Kadangkala ketika menerima bencana seperti itu kita lalai dan tidak menyedari bahawa itu semua sebagai peringatan daripada Allah. Sepatutnya kita segera bertaubat dan mencegah terjadinya maksiat itu.

Hadis itu menunjukkan bahawa azab Allah akan segera turun jika sudah melambak-lambak anak-anak haram atau anak luar nikah. Kita berlindung kepada Allah dari yang sedemikian itu. Kita hidup pada zaman bermasyarakat dunia sudah tidak mempunyai malu lagi, tidak mempunyai pertimbangan, tidak memikirkan akibat perbuatannya dan tidak memikirkan dosa. Keruntuhan moral itu bukannya hanya satu segi, sama ada yang berkaitan dengan keagamaan, keduniaan, masyarakat atau individu.

Dalam setiap generasi apabila sudah hancur akhlak masyarakatnya maka akan lahirlah anak-anak zina dan terjadi pembuangan bayi di mana-mana. Ada orang yang membuat bayi di tempat pembuangan sampah, ada yang membuang bayi di semak-semak, di tandas hospital dan ada juga yang membuatnya di halaman masjid.

Inilah fenomena yang kita rasakan sekarang ini. Anak zina memang sudah banyak jumlahnya. Menurut Syeikh Abdullah Al-Talidi dalam bukunya Sebab-sebab Kehancuran Umat , yang saya terjemahkan sendiri, mengatakan: “Di sesetengah negara ada yang jumlah anak zina menyamai anak yang sah. Semua ini menandakan buruknya keadaan masyarakat. Sebab itulah mungkin banyak bala dan macam-macam bencana yang berlaku.

“Di Rusia dan China hampir semua anak-anak yang ada di sana terdiri daripada anak zina. Mereka tidak memerlukan perkahwinan dan tidak ada istilah keluarga. Mereka yang berfahaman komunis itu berkongsi dalam segala hal, termasuk isteri. Mereka boleh berkongsi menggauli seseorang wanita dan anak dari hasil perkongsian itu dianggap sebagai anak negara. Cara berfikir mereka atau fahaman songsang mereka itu kadangkala mempengaruhi cara berfikir masyarakat kita yang beragama Islam.”

[Tamat Huraian Drs. H. Syahrin Nasution]

Amalan zina dan pembuangan bayi yang semakin kritikal ini sememangnya sangat merisaukan. Kita bimbang dengan hari esok dan masa yang akan datang akibat perbuatan 2 dosa yang saling berkaitan ini. Balasan Allah dalam pelbagai bentuk keseksaan tidak dapat dihalang jika diturunkan. Diturunkan bala itu pula ke atas keseluruhan sesuatu masyarakat, bukan kepada golongan tertentu sahaja. Oleh sebab yang demikian, setiap daripada kita perlu mengambil perhatian yang serius, cakna dengan permasalah ini dan segera mengambil tindakan yang praktikal dan efektif. Sedar sahaja tanpa ada tindakan tidak akan mampu menyelesaikan masalah yang melanda.

Allahu Allah, kami pohonkan bantuan dan pimpinan-Mu dalam kami menghadapi masalah dan kemungkaran sebegini. Sungguh tiada daya dan upaya melainkan dengan apa yang Kau pinjamkan kepada kami.

Rujukan: 50 Hadis Menceritakan Dunia Akhir Zaman, Drs. H. Syahrin Nasution.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...