Ulama Benteng

Ulama Benteng

Jumaat, 11 Disember 2020

Respon Masyarakat dalam Ekonomi Akibat COVID-19

Catatan ini dimuatkan dalam kedua-dua platform https://ikhwanzhaki.blogspot.com/ dan https://mohdikhwanzhaki.blogspot.com/.

Susunan Mohd Ikhwan bin Ahmad Zhaki dan Siti Fatimah binti Abdul Hamid, calon Sarjanamuda Pengajian Islam UKM 2019-2023.

Pendapatan Terjejas Akibat COVID-19


COVID-19 memberikan kesan yang begitu besar kepada ekonomi rakyat Malaysia. Pendapatan rakyat terjejas akibat penularan virus tersebut. Lebih 800,000 individu kehilangan pekerjaan sejak negara dilanda pandemik COVID-1. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, kerajaan sedar ramai rakyat yang sedang menderita kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan COVID-19 (Mohd Nasaruddin & Luqman Arif, 2020). Angka ratusan ribu yang begitu tinggi itu menjadi petanda jelas impak signifikan COVID-19 terhadap ekonomi rakyat Malaysia. Sungguhpun demikian, rakyat Malaysia tidak terus pasrah dengan takdir tetapi mereka terus bingkas bangun mencari altenatif bagi meneruskan kehidupan dan perlu berfikir diluar kotak dalam menggerakkan ekonomi mereka.

Menurut Siti Masayu Rosliah & Fatimah Hassan (2020) akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat banyak laporan di media mengenai kesan PKP terhadap perniagaan berskala kecil yang mula hilang punca pendapatan harian   akibat   gangguan   rantaian   bekalan  ekoran   daripada   penutupan   sektor sokongan, selain kekurangan pekerja dan kekurangan wang simpanan tunai. Tinjauan oleh kebanyakan media mendapati  rungutan  peniaga sepanjang musim COVID-19 telah    menjejaskan    sumber    pendapatan    mereka.    Namun, kebanyakan peniaga percaya bahawa keadaan ini semuanya berada di luar kawalan dan tiada  sesiapa  yang  inginkan  krisis  ini  berlaku  sedemikian terhadap kemerosotan jualan sehingga mengalami kerugian hampir 100%.

Di samping itu, kehilangan pekerjaan di negara ini dicatatkan meningkat sebanyak 42 peratus bagi suku pertama 2020, menurut laporan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Ini berikutan banyak perniagaan dan syarikat terpaksa menutup operasi disebabkan pandemik COVID-19 (Sri Ayu, 2020). Apa yang pasti, peningkatan kehilangan pekerjaan diramal terus meningkat pada suku kedua dan seterusnya bagi tahun 2020. Hal ini demikian kerana perkembangan semasa yang tidak memperlihat apa-apa tanda akan surut dan hilang pandemik ini

Kehilangan pekerjaan akibat penularan COVID-19 tidak sahaja menjejaskan pekerja sektor swasta. Penjawat awam juga adalah antara kalangan yang terkesan dengan penularan COVID-19, justeru adalah tidak tepat pandangan pihak tertentu bahawa kakitangan kerajaan tidak seharusnya mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebagaimana yang dilaporkan oleh CUEPACS (Rafidah Mat Ruzki, 2020). Secara keseluruhannya, segenap lapisan dan sektor pekerjaan rakyat Malaysia adalah terkesan.    


Ubah Suai Gaya Hidup

Kesan daripada Pandemik COVID-19 ini secara khususnya dalam aspek ekonomi, rakyat harus mengubah cara hidup yang sebelum ini penuh dengan kemewahan kini kepada kesederhanaan. Menurut Nurul Aini Muhamed (2020), semua individu dalam masyarakat samada yang bujang atau berkeluarga, sewajarnya menguruskan wang mereka dengan bijak dan berhemah. Ilmu pengurusan kewangan individu perlu diamalkan seperti menyediakan belanjawan rumah mengikut tahap keperluan. Pembelian adalah hanya pada perkara yang perlu sahaja mengikut kepentingannya. Di samping itu, wang yang ada hasil dari penangguhan pembayaran pembiayaan bank melalui pakej moratorium dan juga pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu digunakan dengan cara terbaik bagi tujuan perbelanjaan perkara yang perlu, bukannya untuk bermewah. Lebihan wang setelah melangsaikan perbelanjaan asas ini perlu disimpan atau dilaburkan bagi tujuan mendapatkan pulangan yang bersesuaian bagi bekalan masa hadapan.

Selanjutnya, menurut kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (2020) wujud perubahan pola perbelanjaan keperluan harian sebelum dan semasa penularan COVID-19. Secara keseluruhan, didapati perubahan pola perbelanjaan keperluan harian yang signifikan sebelum dan semasa penularan COVID-19. Aktiviti membeli bahan mentah untuk dimasak di pasar/pasar raya/kedai runcit menunjukkan pola pembelian semasa penularan COVID-19 mula bergerak ke arah kelompok kekerapan kadang-kadang dan jarang-jarang berbanding sebelum penularan COVID-19. Berlaku perubahan bagi aktiviti makan di restoran, makan di restoran makanan segera dan menonton wayang di panggung wayang di mana kelompok pengguna lebih tertumpu kepada tidak melaksanakan aktiviti tersebut semasa penularan. Aktiviti-aktiviti lain menunjukkan pola perbelanjaan mula tertumpu kepada kelompok kekerapan jarang-jarang dan tidak pernah berbanding sangat kerap dan kerap. Dapatan daripada Jabatan Perangkaan ini mengukuhkan lagi perubahan yang berlaku dalam gaya hidup, yang merupakan respon masyarakat kepada COVID-19.


Membeli Barang Malaysia

Respon masyarakat yang amat dialukan oleh kerajaan selain perubahan gaya hidup adalah membeli barang tempatan iaitu membeli barang Malaysia yang dipasarkan oleh orang tempatan. Hal ini adalah begitu diutamakan sehingga kerajaan melancarkan Kempen Beli Barang Malaysia (KBBM). Perkara ini sangat memberi impak besar terhadap ekonomi negara seterusnya membantu usahawan tempatan dalam negara. Memetik ucapan Alexander Nanta Linggi (2020), beliau menjelaskan kempen itu diadakan secara bersepadu dengan kerjasama daripada pelbagai kementerian dan agensi yang berkaitan. Katanya, kempen itu turut menghimpunkan pelbagai sektor di negara ini terutama yang dikawal selia KPDNHEP seperti sektor perdagangan dan peruncitan serta perdagangan dalam negeri. Menurut Rohaniza Idris (2020) Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata KBBM adalah kempen jualan mega produk tempatan sebagai pilihan kepada masyarakat untuk berbelanja dengan tawaran harga berpatutan. Kempen tersebut juga bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat bagi membantu pengusaha tempatan dengan membeli pelbagai bentuk barangan, produk dan perkhidmatan buatan tempatan. Kempen itu diadakan secara bersepadu dengan kerjasama daripada pelbagai kementerian dan agensi yang berkaitan.


Keprihatinan Masyarakat dan Sikap Saling Membantu 


Di samping perubahan gaya hidup dan kempen membeli barangan Malaysia, tindak balas rakyat Malaysia yang prihatin dan bersatu padu adalah saling menolong antara satu sama lain. Hal ini demikia kerana kesan yang sangat ketara kepada ekonomi rakyat Malaysia. Dalam tempoh PKP semangat #kitajagakita telah dizahirkan dalam kalangan rakyat Malaysia, tidak mengira latar belakang, bekerjasama menghulurkan bantuan kewangan dan barangan kepada golongan yang terjejas akibat daripada pandemik, khasnya kumpulan barisan hadapan (frontliners) dan yang kurang berkemampuan (PNB Insights, Julai 2020). Pelbagai bentuk bantuan diberikan antaranya makanan dan minuman, peralatan pendingin hawa, kipas, alat perlindungan individu (Personal Protective Equipment - PPE) dan sebagainya kepada para petugas barisan hadapan, dan juga kepada rakyat lain.  


Selanjutnya, rakyat Malaysia juga bertindak dengan begitu prihatin dalam menyokong usaha perniagaan yang dijalankan oleh para peniaga yang terkesan. Warga maya menggerakkan kempen bantu peniaga terkesan antaranya melalui tanda pagar #SokongPeniagaKecil. Melaluinya, media sosial dapat mengetengahkan kewujudan perniagaan yang sedang dijalakan dan para pengguna dapat membeli daripada para peniaga tersebut. Selanjutnya, kempen dalam media sosial melalui tanda pagar Semangat #KitaJagaKita dan #RakyatJagaRakyat turut berjalan terus-menerus sejak negara dilanda wabak COVID-19 malah jauh terpupuk dalam kalangan jiwa rakyat negara. Semangat kekitaan seumpamanya tercetus apabila orang ramai mengambil inisiatif untuk membantu peniaga kecil yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (Nailah Huda, 2020). Tidak sekadar itu, kempen bertanda pagar #Kitajagakita pula adalah satu inisiatif rakyat untuk mengumpul organisasi bukan kerajaan (NGO) dan individu bagi membantu golongan memerlukan sebaik sahaja perintah kawalan pergerakan dijalankan. #Kitajagakita dimulakan oleh penulis Hanna Alkaf, sukarelawan dan beberapa aktivis Pulang Mengundi untuk memastikan golongan memerlukan mendapat bantuan secukupnya.Hanna berkata inisiatif ini dilancarkan kerana beliau tidak selesa untuk berdiam diri sewaktu menghadapi krisis. “Jadi saya menyalurkan rasa tidak selesa ini kepada sesuatu yang baik daripada hanya menjadi negatif (Naziatul Syahira, 2020). Kesemua gerakan kempen kesedaran melalui media sosial itu adalah antara bukti jelas tindak balas rakyat Malaysia berdepan kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19. Dengan saling membantu membeli barangan daripada peniaga kecil dan barangan buatan Malaysia, ekonomi dalam kalangan rakyat dapat dijana dan dipulihkan.

 

Membantu dengan Wakaf Tunai

Keprihatinan masyarakat dalam saling membantu juga dapat diluaskan dalam bentuk bantuan wakaf tunai. Walaupun negara kita dilanda krisis ekonomi lantaran kesan daripada COVID-19 ini, masih ramai individu jutawan diluar sana yang membantu masyarakat dengan memberi bantuan wakaf. Wakaf tunai terutamanya disalurkan kepada agensi yang bertanggungjawab menguruskan kewangan mereka bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas teruk. Ini merupakan salah satu daripada respon masyarakat dalam menghadapi COVID-19 terhadap ekonomi negara. Menurut Muhammad Firdaus Ab Rahman et. al (2018), wakaf tunai telah  dilaksanakan  di  kebanyakan  negeri  di  Malaysia, misalnya yang  diperuntukkan  di  bawah  seksyen  25 Enakmen  Wakaf  Terengganu 2016  dan  bertepatan  dengan  Keputusan  Mesyuarat  Jawatankuasa   Fatwa  Negeri Selangor   kali   ke-5   pada   17  Oktober   2017. Wakaf tunai  merupakan  mekanisme penjanaan dana  yang  pantas  dan berkesan samada dalam   keadaan   tenang   mahupun darurat. Hal   ini   telah dimanifestasi pelaksanaannya dalam   mendepani  pandemik   COVID-19   dengan   menubuhkan  beberapa   tabung   wakaf   untuk   penempatan   pesakit,   pusat kuarantin, peralatan perubatan,dan kebajikan kakitangan barisan hadapan (frontliners).

 

Peluang Kerja dalam Norma Baru

Tidak hanya terbatas kepada keprihatinan saling membantu peniaga kecil, rakyat Malaysia juga bertindak balas kepada cabaran ekonomi COVID-19 melalui penerokaan peluang kerja dalam norma baru. Seiringan dengan perkembangan positif tersebut, keadaan dilihat semakin baik kerana pasaran pekerjaan di Malaysia menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan jumlah pengangguran bagi bulan Ogos turun sebanyak 3,500 kepada 741,600 (Alya Danisha, 2020a). Menurut Mohd Ridzuan (2020a), kehilangan pekerjaan semasa pandemik COVID-19 sudah menjadi sebahagian daripada normal baru namun memberi pengalaman ngeri kepada individu terbabit. Berdasarkan undian atas talian yang dijalankan Pusat Penyelidikan Poll UCSI pada 20 hingga 30 Julai lalu mendapati sebanyak 48 peratus daripada 858 responden bersetuju bahawa kehilangan pekerjaan adalah peluang untuk mereka bekerja sendiri. Dapatan ini menunjukkan ikhtiar rakyat meneroka pekerjaan secara sendiri, lantaran kesan ekonomi akibat COVID-19 yang menyebabkan kehilangan kerja. Di samping itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Poll UCSI, Profesor Madya Dr Pek Chuen Khee berkata, pendapat awam itu menunjukkan bahawa berlaku pengangguran buat sementara waktu kerana ramai yang mengambil peluang untuk memulakan perniagaan sendiri. Ujarnya lagi, bantuan bukan kewangan oleh kerajaan sangat penting apabila hampir 80 peratus responden memilih bantuan sedemikian (Mohd Ridzuan, 2020b).


Kerja Lebih Banyak Diwujudkan oleh Digitalisasi

Antara respon masyarakat terhadap kesan ekonomi akibat COVID-19 adalah melalui peluang kerja pada platform digitalisasi. Statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia memaparkan bahawa pada bulan Ogos sahaja 20,000 syarikat ditubuhkan berbanding 20,000 syarikat yang ditutup antara Mac dan September tahun ini (Alya Danisha, 2020b). Digitalisasi menjadi trend masa kini. Lonjakan perniagaan dalam talian berlaku dalam tempoh pandemik COVID-19. Webinar dan media sosial dimanfaatkan sepenuhnya dalam perniagaan. Justeru, bagi membolehkan kemampuan masyarakat seiringan dengan perkembangan tersebut, adalah disarankan agar mereka mempelajari satu set kemahiran baru merangkumi Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan dan data besar. Hal ini membolehkan mereka mempunyai keutamaan dalam pasaran kerja.

 

Perniagaan Kecil dan Keuntungan Besar

Tidak sekadar memanfaatkan digitalisasi perniagaan, masyarakat turut bertindak balas dengan menyesuaikan diri dengan saiz perniagaan yang efektif. Ini sejajar dengan geasaan Pengarah Kanan Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Nik Maheran Nik Muhammad menggesa para usahawan agar menukar gaya perniagaan lama kepada model digital kerana yang lama itu tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa (Alya Danisha. 2020c).Perniagaan kecil dalam talian berpotensi lebih menguntungkan daripada perniagaan berskala besar. Istilah ‘kedai pop-up’ sekarang adalah gaya baru kerana pengusaha berpindah kepada perkhidmatan penghantaran dan perniagaan dalam talian, Kedai pop-up difahami sebagai kedai runcit yang dibuka sementara oleh peniaga e-dagang untuk menggunakan permintaan bermusim untuk jenis barang tertentu. Sejajar persekitaran semasa, sarung tangan, cecair nyahkuman dan topeng muka adalah beberapa barang yang laris di kedai pop-up.

 

Pekerjaan ‘Gig Workers’ Meningkat

Selanjutnya selain skala perniagaan kecil yang bertambah, pandemik ini mendorong masyarkat menceburkan diri dalam  gig economy’ – istilah yang bagi menggambarkan ekosistem bebas di mana pekerja yang menganggur menawarkan perkhidmatan mereka secara bebas, fleksibel atau sambilan – muncul sebagai normal baru (Alya Danisha. 2020d). Peralihan individu kepada ekosistem bebas tidak bertujuan memperoleh pendapatan tambahan atau utama sebaliknya disokong oleh keanjalan dari segi waktu dan lokasi kerja serta kebebasan dalam pemilihan jenis pekerjaan yang ingin dilaksanakan. Tambahan pula, bayaran diperoleh adalah lumayan. Situasi ini dapat disokong oleh kenyataan Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid yang menyebut gig economy nampaknya lebih berjaya semasa wabak ini kerana aksesnya yang mudah, permintaan yang tinggi di samping percambahan teknologinya (Alya Danisha. 2020e). Secara ketaranya dalam tempoh pandemik COVID-19, perkhidmatan penghantaran makanan dan bungkusan menjadi pilihan sebahagian besar masyarakat sebagai respon dalam ekonomi.

 

Rujukan: 

Alexander Nanta Linggi. 2020. Berbelanja dalam Negara Rancakkan Semula Ekonomi Domestik. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/712259/kempen-beli-barangan-malaysia-bantu-kukuh-ekonomi-domestik [8 Disember 2020]

Alya Danisha. 2020a. Peluang Kerja Baharu Semasa Pandemik. WilayahKu. https://www.wilayahku.com.my/peluang-kerja-baharu-semasa-pandemik/#.X8pNDGgzY2w [6 November 2020]

Alya Danisha. 2020b. Peluang Kerja Baharu Semasa Pandemik. WilayahKu. https://www.wilayahku.com.my/peluang-kerja-baharu-semasa-pandemik/#.X8pNDGgzY2w [6 November 2020]

Alya Danisha. 2020c. Peluang Kerja Baharu Semasa Pandemik. WilayahKu. https://www.wilayahku.com.my/peluang-kerja-baharu-semasa-pandemik/#.X8pNDGgzY2w [6 November 2020]

Alya Danisha. 2020d. Peluang Kerja Baharu Semasa Pandemik. WilayahKu. https://www.wilayahku.com.my/peluang-kerja-baharu-semasa-pandemik/#.X8pNDGgzY2w [6 November 2020]

Alya Danisha. 2020e. Peluang Kerja Baharu Semasa Pandemik. WilayahKu. https://www.wilayahku.com.my/peluang-kerja-baharu-semasa-pandemik/#.X8pNDGgzY2w [6 November 2020]

Jabatan Perangkaan Malaysia. 2020. Laporan Survei Khas Kesan COVID-19 kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 1) Secara Atas Talian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi Tempoh 23 – 31 Mac 2020. https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/covid19/ [8 Disember 2020]

Mohd Nasaruddin Parzi, Luqman Arif Abd Karim. 2020. 800,000 Hilang Kerja Sejak COVID-19 Melanda. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/748412/800000-hilang-kerja-sejak-covid-19-melanda [4 November 2020]

Mohd Ridzuan Abu Hassan. 2020a. Hilang Kerja Akibat Covid-19, Ramai Pilih Bekerja Sendiri. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/101903/KHAS/Koronavirus/Hilang-kerja-akibat-Covid-19-ramai-pilih-bekerja-sendiri [4 November 2020]

Mohd Ridzuan Abu Hassan. 2020b. Hilang Kerja Akibat Covid-19, Ramai Pilih Bekerja Sendiri. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/101903/KHAS/Koronavirus/Hilang-kerja-akibat-Covid-19-ramai-pilih-bekerja-sendiri [4 November 2020]

Muhammad Firdaus Ab Rahman. Hussein Azeemi Abdullah Thaidi. Azman Ab Rahman. Siti Farahiyah Ab Rahim. 2018. Peranan Wakaf Dalam Mendepani Pandemic COVID-19. Journal of Fatwa Managemant And Research. 13 (1).

Nailah Huda.2020. #SokongPeniagaKecil: Netizen Gerakkan Kempen Bantu Peniaga Terkesan. Astro Awani. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sokongpeniagakecil-netizen-gerakkan-kempen-bantu-peniaga-terkesan-264086 [4 November 2020]

Naziatul Syahira Mustafa Kamel. 2020. Kempen Kita Jaga Kita Bantu Golongan Terjejas. Malaysiakini. https://www.malaysiakini.com/news/515620 [4 November 2020]

Nurul Aini Muhamed. 2020. Gaya Hidup Kewangan Pasca COVID-19. Tinta Minda BERNAMA. https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=1842587 [17 November 2020]

PNB Insights. 2020. Melindungi Ekonomi Malaysia daripada COVID-19. Isu 1/2020. https://www.pnb.com.my/pdf/PNBInsights/07_Insights%20Julai_Covid19RMCO_BM.pdf [4 November 2020]

Rafidah Mat Ruzki. 2020. Penjawat Awam Juga Terkesan Akibat COVID-19 – CUEPACS. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/748376/penjawat-awam-juga-terkesan-akibat-covid-19-cuepacs. peratus [4 November 2020]

Rohaniza Idris. 2020. Kempen Beli Barangan Malaysia Bantu Kukuh Ekonomi Domestic. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/712259/kempen-beli-barangan-malaysia-bantu-kukuh-ekonomi-domestik [8 Disember 2020]

Siti Masayu Rosliah Abdul Rashid. Fatimah Hassan. 2020. Jurnal Amalan Dan Penglibatan Peniaga Kecil Melalui Perniagaan Digital Semasa Pandemik Covid-19 Di Malaysia. Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Sri Ayu Kartika Amri. 2020. Kehilangan Pekerjaan Naik 42 Peratus. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/585851/kehilangan-pekerjaan-naik-42-peratus [4 November 2020]



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...