Kredit diambil dari Facebook beliau dengan tujuan rujukan ilmu
https://www.facebook.com/abdullah.hussin1
https://www.facebook.com/share/p/1D71HzQDPj/
Semalam berpeluang duduk dalam majlis bersama Syeikh Abdul Aziz Asy-Syihawi.
Beliau membaca satu hadith yang menggugah hati kita:
«لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ»
"Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada bapanya, anaknya, dan sekalian manusia." (al-Bukhari dan Muslim)
Kemudian Syeikh berhenti.
Beliau tidak terus mensyarah. Beliau pandang kami, dan beliau tanya.
"Adakah kamu benar-benar mencintai Rasulullah ﷺ melebihi dirimu sendiri? Periksalah dirimu."
Saya terdiam.
Selama ini kita sangka cinta kepada Baginda ﷺ itu satu perasaan. Sesuatu yang datang bila selawat dilagukan, bila Rabiulawal menjelang, bila air mata gugur dengar kisah. Malam itu kami belajar cinta ini sebenarnya satu ujian. Bila kehendak kita berlawan dengan kehendak Baginda, siapa yang kita turut?
Lepas itu Syeikh baca lagi satu hadith.
«أَنَا أَوْلَى بِكُلِّ مُؤْمِنٍ مِنْ نَفْسِهِ، فَمَنْ تَرَكَ مَالًا فَلِأَهْلِهِ، وَمَنْ تَرَكَ دَيْنًا أَوْ ضَيَاعًا فَإِلَيَّ وَعَلَيَّ»
"Aku lebih utama bagi setiap mukmin daripada dirinya sendiri. Sesiapa meninggalkan harta, ia untuk keluarganya. Sesiapa meninggalkan hutang atau tanggungan yang terbiar, itu urusan dan tanggungjawabku." (Muslim)
Beliau terangkan, pada mulanya kalau dibawa jenazah orang yang berhutang, Baginda tanya dulu ada tak orang yang menjamin. Kemudian bila Allah bukakan keluasan, Baginda sendiri yang tanggung hutang itu. Termasuk anak-anak yang ditinggalkan tanpa nafkah.
Kemudian Syeikh kata sesuatu yang menutup semua hujah dalam kepala saya.
"Kalau kamu jumpa orang yang sayang kamu macam seorang ayah sayang anaknya, tentu kamu balas kasihnya. Tapi kalau kamu jumpa orang yang sayang kamu lebih daripada dia sayang dirinya sendiri, itulah Rasulullah ﷺ."
Saya masih terkedu bila Syeikh sambung ke satu hadith lain.
«ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ»
"Tiga perkara, sesiapa yang ada padanya, dia akan merasai manisnya iman." (al-Bukhari dan Muslim)
Beliau berhenti pada satu perkataan sahaja. حلاوة. Manis.
"Iman ada rasanya," kata beliau. "Iman ada kemanisannya, dan orang beriman merasainya."
Saya tak sangka satu perkataan boleh buat saya rasa begitu terkesima.
Sebab kalau iman ada rasa, maka soalannya bukan lagi adakah saya beriman. Soalannya, bila kali terakhir saya betul-betul merasainya.
Bila kali terakhir saya bangun daripada sujud dan rasa ringan. Bila kali terakhir nama Baginda ﷺ disebut dan hati saya tergerak. Bukan menangis kerana suasana majlis, tapi mengenang kerinduan yang mendalam.
Tiga perkara itu Syeikh sebut satu-satu. Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada segala yang lain. Mencintai seseorang semata-mata kerana Allah. Dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti bencinya dicampak ke dalam api.
Tiga-tiga bukan amalan anggota. Tiga-tiga kerja hati.
Saya pulang semalam itu tanpa makan jamuan jasmani, kerana jiwa terasa begitu indah apabila Rasul berada di hati.
Terima kasih Menteri Besar Kelantan, Dato Panglima Perang YAB Mohd Nassuruddin Haji Daud atas majlis yang sangat bermakna semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.