Ulama Benteng

Ulama Benteng

Selasa, 15 September 2026

Syaikh Abdul Aziz asy-Syahawi dan Syarahan Tentang Mazhab Imam Syafie

 Sumber : Mohamad Razif




Pesanan yang ringkas, namun membekas dalam hati daripada mahaguru para ulama Shafi’iyyah moden khususnya di al-Azhar Mesir.
Sheikh Abdulaziz al-Shihawi membuka syarahannya dengan membawakan kisah-kisah awal kehidupan Imam al-Shafi’i dan kewibawaannya sejak kecil. Umur 15 tahun sudah diizinkan gurunya Imam Muslim bin Khalid untuk mengeluarkan fatwa. Pujian para ulama terhadap Imam al-Shafi’i sudah memadai untuk menjadi bukti keunggulan beliau.
Biografi beliau boleh kita tekuni dalam Manaqib al-Shafi’i oleh al-Bayhaqi, Adab al-Shafi’i wa Manaqibuh oleh Ibn Abi Hatim al-Razi, Tawali al-Ta’sis bi Ma’ali Muhammad bin Idris oleh Ibn Hajar al-’Asqalani, Manaqib al-Imam al-Shafi’i wa Tabaqat Ashabih oleh Ibn Qadi Shuhbah, Manaqib al-Imam al-Shafi’i oleh Ibn Kathr dan lain-lain.
Sheikh al-Shihawi seterusnya menyentuh tentang peranan tazkiyyatun nafs (penyucian hati) yang saya kira, menjadi antara cabaran utama bagi umat Islam hari ini. Kita terlalu banyak menyibukkan diri dengan hal yang kurang penting sehingga meninggalkan aspek tasawwuf. Natijahnya adalah penyakit hati.
Keutamaan Imam Malik yang disebutkan al-Laqqani dalam Jauharah al-Tauhid, tidak mengurangkan kelebihan 3 Imam mazhab lain. Beliau memetik bait dalam Jauharah al-Tauhid:
وَمَالِكٌ وَسَائِرُ الْأَئِمَّهْ ... كَذَا أَبُو الْقَاسِمِ هُدَاةُ الْأُمَّهْفَوَاجِبٌ تَقْلِيدُ حَبْرٍ مِنْهُمْ ... كَذَا حَكَى الْقَوْمُ بِلَفْظٍ يُفْهَمْ"
[Imam] Malik dan sekalian para Imam [Imam Abu Hanifah, Imam al-Shafi’i, Imam Ahmad] begitu juga Abu al-Qasim [Junayd] adalah petunjuk-petunjuk umat. Maka wajiblah bertaklid (mengikut) salah seorang ulama besar (mujtahid) daripada mereka, demikianlah yang diceritakan oleh para ulama dengan lafaz yang difahami.”
Seterusnya, beliau membawakan kaedah yang diulas antaranya oleh al-Qarafi
المزية لا تقتضي الأفضلية
Kewujudan satu kelebihan/ciri istimewa pada sesuatu perkara tidak semestinya menjadikannya lebih afdal secara keseluruhan berbanding yang tiada ciri tersebut.
Contoh yang lazim dipakai untuk menjelaskan kaedah ini ialah hadis tentang pembaca al-Quran: orang yang mahir membaca al-Quran berada bersama para malaikat al-safarah al-kirām al-bararah, manakala orang yang tersekat-sekat membacanya kerana masih belajar mendapat dua pahala. Satu atas usaha dan kepayahannya, satu lagi atas bacaannya.
Di sini yang kedua memiliki satu "maziyyah" (kelebihan tambahan, iaitu pahala berganda kerana kesusahan), tetapi kelebihan itu tidak menjadikannya lebih afdal daripada yang pertama, kerana yang pertama sudah berada pada darjat yang lebih tinggi bersama golongan malaikat mulia.
Majlis syarahan ditutup dengan ijazah ‘ammah dan khassah semua periwayatan beliau, sebagai tabarruk.*
Syarahan Pengajian Islam ke-9
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
_______________________
* Sebagai muhasabah, dalam satu video di halaman rasmi FB beliau, beliau turut mengkritik keras budaya “mengumpul ijazah” dengan katanya, الإجازات لا تفيد علما، بل هي للتبرك فقط. Ijazah adalah untuk tabarruk dan tidak melambangkan status ilmu seseorang.
Beliau turut menukilkan daripada Alfiyyah al-Tasawwuf oleh Syeikh Mustafa al-Bakri:
ومَنْ تكُنْ تقنِعُهُ إجازهْ *** في وَرَقٍ وادِي الهَوَى ما جَازَهْ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...